Monday, September 14, 2009

Filem & Drama terbaik Di TV3 TV9 Aidil Fitri Ini!

HAMPIR sebulan berpuasa, sudah pasti ramai yang sedang menyusun pelbagai agenda bersama sanak saudara dan sahabat handai untuk pulang berhari raya di kampung di samping sibuk menyediakan persiapan untuk menyambut kedatangan Syawal. TV3 & TV9 tidak terkecuali dengan kesibukan ini dengan mengatur pelbagai acara istimewa dan program Aidilfitri yang menarik sempena menyambut kemeriahan lebaran untuk diraikan bersama penonton.

Bertemakan ‘Inspirasi Lebaran TV3 & Riang Ria Raya TV9’, stesen televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad ini tidak pernah menghampakan penonton setiap kali menjelangnya musim perayaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Tagline Inspirasi Lebaran TV3 dipilih bersempena dengan ulang tahun TV3 yang ke-25 di mana kami menggunakan tagline ‘Inspirasi Hidupku’ sepanjang sambutan Jubli Perak ini. Penonton memberikan inspirasi kepada TV3 untuk program-program Aidilfitri yang disusun dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan bagi menyambut kedatangan lebaran seperti pemberian duit raya kepada anak yatim, pengagihan sampul raya kepada orang ramai dan pemberian sumbangan dan baju raya kepada golongan sasar yang memerlukan.

“Setiap tahun kedatangan Syawal memang dinanti-nantikan, jadi sudah menjadi amalan TV3 untuk sentiasa merencanakan pelbagai agenda untuk diraikan bersama bagi memastikan sambutan Aidilfitri menjadi lebih meriah dan bermakna.

Sepanjang Ramadan, TV3 menganjurkan “Majlis Berbuka Puasa” bersama anak-anak yatim dan fakir miskin di beberapa negeri seperti Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak dan Johor dengan menghulurkan sumbangan duit raya kepada mereka. Istimewa lagi tahun ini, krew kami melawat penduduk di Acheh dengan menghulurkan sumbangan duit raya dari Tabung TV3 dan juga baju raya kepada anak yatim dan fikir miskin di sana.

“Pastikan TV3 menjadi pilihan sepanjang Syawal kerana kami menyediakan program-program muzikal, hiburan, dokumentari dan drama istimewa menarik seperti Akustika Raya, Mentor Raya 3, Kasih Siti, Raya di Tanah Tinggi, Raya Terapung, Rumah Kecil Tiang Seribu, Landasan Raya dan lain-lain lagi. TV3 turut menayangkan filem-filem unggul, Movie Blockbuster seperti Jangan Tegur, Duyung, Sifu & Tongga, Evolusi KL Drift dan banyak lagi. ”

Kemeriahan sambutan Aidilfitri turut dirasai terutama kepada pemandu-pemandu yang ingin pulang menyambut Hari Raya di kampung. Untuk tahun kedua, team My TV3 berkerjasama dengan Caltex akan berada di perhentian tol sekitar Lembah Klang selama empat hari berturut-turut untuk mengagihkan 20,000 goodie bag yang mengandungi ‘Angpau Raya’, kurma serta barangan Caltex kepada pengguna lebuhraya yang melalui tol tersebut.

Antara perhentian tol yang terlibat termasuklah Plaza Tol Jalan Duta (12 Sept) dan Plaza Tol Sungei Besi (13 Sept), Plaza Tol Damansara (14 Sept) dan Plaza Tol Gombak (15 Sept). Pastikan pengguna lebuhraya tidakl ketinggalan mendapatkan barangan istimewa ini dengan melalui plaza tol terpilih ketika waktu pengedaran iaitu dari jam 2.00 petang hingga 6.00 petang. Selain dari krew MyTV3 yang bertugas, seramai 20 ahli MyTV3 akan turut serta membantu mengagihkan barangan tersebut.

Sementara itu, TV9 juga tidak ketinggalan untuk menghiburkan penonton setianya sepanjang bulan Syawal ini. Bulan Syawal bulan kemeriahan ini perlu disambut oleh semua golongan masyarakat tidak mengira pangkat dan darjat bersesuaian dengan tagline Riang Ria Raya TV9.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV9 Encik Bukhari Che Muda, “Kedatangan bulan Syawal ini perlulah disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana meraikan kemenangan kita berperang dengan nafsu kita di bulan Ramadhan. Namun begitu, di dalam menyambut Syawal dengan penuh keriangan, kita juga seharusnya tidak lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik yang tidak dapat menyambut Syawal pada kali ini semeriah kita.”

“Ini dapat dilihat menerusi program-program terbitan kami sepanjang bulan Syawal ini seperti program Ketupat Rendang Kopi O yang akan meraikan ibu-ibu tunggal sekitar Kuala Lumpur dan memberi duit raya kepada anak-anak yatim dan banyak lagi program-program yang telah disusun.

Selain daripada itu juga, TV9 dengan kerjasama LG telah menyediakan 15 buah bas bagi 15 lokasi untuk kemudahan orang ramai terutamanya penonton setia TV9 untuk balik ke kampung mereka seperti Sungai Petani, Alor Setar, Georgetown, Butterworth, Kangar, Ipoh, Taiping, Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Bandar Hilir, Seremban, Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.”

Sambil bergembira di samping orang tersayang dan menikmati juadah raya, jangan ketinggalan untuk menghiburkan dengan sajian-sajian menarik khusus untuk penonton-penonton setia TV3 & TV9 sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri. Para penonton bakal disajikan dengan pelbagai aneka ragam masyarakat menerusi filem, telemovie dan program-program hiburan dan jenaka. Program-program yang bakal dipertontonkan ini memberikan inspirasi kepada penonton dengan mesej positif yang disampaikan dan sesuai untuk hiburan seisi keluarga.

Berikut ialah program-program istimewa di TV3 & TV9 sempena Aidilfitri sepanjang bulan Syawal ini:-

TV3: RAYA MOVIES

Filem: Nana Tanjung 2 – Raya Pertama, 20 September, 3.00 petang
Pelakon: Saiful Apek, Fasha Sandha, Waheeda, Jehan Miskin, Azean Irdawaty, Saffi Jaafar
Nana Tanjung 2 menyingkap tentang kesinambungan kisah Nana Tanjung, yang mengisahkan tentang kehidupan anak-anak Nana Kassim yang berubah apabila pelbagai cerita timbul mengenai hubungan anak perempuannya dengan bakal suami. Nana yang mendengar tohmahan jiran memutuskan untuk mengenakan syarat kepada bakal menantunya dan tidak membenarkan bakal menantunya bertemu dengan anak-anak gadisnya sehingga majlis akad nikah dilangsungkan. Syarat tersebut menyebabkan Akhbar Khan dan Zul mencari pelbagai pendekatan dan helah untuk mendampingi anak-anak Nana Tanjung, sehinggalah timbul masalah dan konflik lain dalam hidup ahli keluarga Nana Tanjung. Menerusi syarat dan konflik baru yang bakal timbul dalam Nana Tanjung 2 ini akan menyaksikan banyak sub plot yang disajikan dalam bentuk komedi.

Filem: Duyung – Raya Pertama, 20 September, 9.00mlm
Pelakon: Maya Karin, Saiful Apek,. Yasmin Hani, Awie, Yassin Yahya
Duyung merupakan filem komedi fantasi romantik menceritakan tentang Jimmy yang merupakan pencinta alam sekitar. Dia tinggal di perkampungan nelayan menghabiskan masa seharian mengutip sampah untuk memelihara kebersihan perkampungan tersebut. Dia percaya kisah lagenda dahulukala yang diceritakan oleh ibunya, bahawa jika persekitaran bersih, duyung akan muncul. Adakah kepercayaan tersebut benar? Dapatkah dia bertemu dengan duyung seperti yang diimpikannya itu?
Filem: Cicakman 1 - Raya Kedua, 21 September, 3.00 petang
Pelakon: Saiful Apek, Fasha Sandha , Aznil Hj Nawawi, Yusry KRu, AC Mizal, Yasmin Hani
Hairi (Saiful Apek) tinggal di Metrofulus dan bekerja di makmal. Satu hari dia terminum kopi yang mengandungi virus. Selepas itu, dia mula berkelakuan aneh, seperti melekat di dinding, berbunyi seperti cicak dan mula menggemari serangga. Pelik dengan perkara aneh yang membelenggunya dia meminta rakan serumahnya, Danny untuk menyelidik apakah yang sebenarnya berlaku. Sementara itu, penduduk Metrofulus berterusan dijangkiti virus baru dan hanya boleh diubati oleh profesor Klon di makmalnya. Hairi kini mula semakin membiasakan diri dengan kuasa luar biasa yang dimilikinya. Hairi dan Danny menjalankan penyiasatan di atas wabak virus yang melanda Metrofolus di mana mereka mengesyaki profesor Klon merupakan dalang virus ini tersebar.

Filem: Cicakman 2– Raya Kedua, 21 September, 9.00mlm
Pelakon: Saiful Apek, Sharifah Amani , Fasha Sandha , Aznil Nawawi
Bandar Metrofulus sekali lagi dilanda musibah dan kelam kabut apabila krisis pencemaran air yang teruk berlaku diakibatkan oleh rancangan ‘Planet Hitam’ yang dipelopori oleh Profesor Klon. Profesor Klon mengupah Rama untuk menghapuskan semua musuhnya terutama Cicakman. Sementara itu Ginger Ghosts 1 dan 2 kembali untuk membalas dendam di atas kematian Tania dan ingin mendedahkan identiti sebenar Cicakman. Cicakman terus berusaha untuk mempertahankan kedamaian dalam bandaraya tersebut dan memerangi kejahatan.

Filem: Dunia Baru The Movie – Raya Ketiga, 22 September, 3.00 petang
Pelakon: Elyana, Pierre Andre, Iqram Dinzly, Anne Ngasri, Anita Bahrom, Baizura Kahar, Almy Nadia
Filem ini bermula apabila Opie (Elyana) mendapat kejutan melalui surat yang ditulis oleh Anizah (Anita Baharom) menyatakan hasratnya untuk ke Thailand dan kahwin lari dengan Fazley (Mohd Hafiz). Menurut kandungan surat itu, Anizah begitu nekad hingga sanggup melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di UK. Perkara ini mengusarkan teman-teman rapatnya iaitu Opie, Madihah (Ann Ngasri), Suzanna (Almy Nadia), Adif (Pierre Andre) dan Tajol (Wan Elyas). Mereka berpakat untuk mengejar Anizah dan mengubah fikirannya. Pengembaraan pencarian Anizah merupakan suatu perjalanan yang semakin lama semakin kecoh dan berperistiwa, membuat penonton teruja khasnya pengikut setia siri Dunia Baru - kisah geng kolej paling popular di Malaysia.

Evolusi KL Drift - Raya Ketiga, 22 September, 9.00mlm
Pelakon: Fasha Sandha , Shamsul Yusoff, Diana Daniel , Farid Kamil, Aaron Aziz
Zack dan Sham merupakan kawan rapat yang berkongsi minat dan hobi yang sama, perlumbaan drift. Kebiasaannya perlumbaan drift dimonopoli oleh lelaki namun ia tidak menghalang Fasha, teman wanita Zack memecah tradisi ini dengan menjadikan drift sebagai hobinya. Zack mula mengongkong pergerakan Fasha memandangkan dia pernah mengalami krisis identiti dan pengaruhi kurang sihat dari rakan-rakannya. Manakala Joe dan Karl merasa tergugat apabila mereka tidak berjaya mempengaruhi budak-budak baru untuk menyertai perlumbaan drift. Apakah kesudahan filem menarik ini?
Filem: Qabil Khushry Qabil Igam – Raya Keempat, 23 September, 3.00 petang
Pelakon: Hans Issac, Rusdi Ramli, Erra Fazira, Ziana Zain, Khatijah Tan

Sebuah kisah cinta yang berkisah tentang dua orang adik-beradik bernama Qabil Khushry dan Qabil Igam, anak kepada Ismail dan Tijah. Qabil Khushry amat sayang akan adiknya semenjak dari adiknya di dalam kandungan ibunya. Ketika dewasa, Rani jatuh hati kepada Khushry manakala adiknya, Karisma memuja Igam walaupun pada awalnya Karisma tidak dapat menerima kenakalan Igam. Bagaimanapun, kerana satu kesilapan, mereka sekeluarga bagaikan tersepit, lalu satu keputusan terpaksa dibuat yang membabitkan satu pergorbanan yang besar.

Filem: Sifu & Tongga - Raya Keempat, 23 September, 9.00mlm
Pelakon: Nabil, Saiful Apek, Fouziah Gous, Erra Fazira
Filem ini mengisahkan tentang dua wartawan, Tammy dan Azad mencari generasi Watson yang masih hidup di bumi. Azad kemudiannya berjaya menculik Mila dan membawanya pulang ke
bandar. Ketua kumpulan Watson sangat kecewa dan marah dengan penculikan tersebut. Sifu dan teman baiknya, Tongga berjanji pada ketua tersebut untuk pergi menyelamatkan Mila dan membawanya kembali. Sifu yang mempunyai kebolehan luar biasa mampu berkomunikasi dengan dunia ghaib banyak memberi petunjuk kepada mereka untuk mencari jalan ke kota Kuala Lumpur.
Filem: Waris Jari Hantu – Raya Kelima, 24 September, 3.00 petang
Pelakon: Maya Karin, Rusdi Ramli, Azean Irdawaty, Nanu Baharuddin, Liza Othman, Kavita Sindhu, Zahim Albakri, Riezman Khuzaimie, Rashid Salleh, Zaidi Omar, Jit Murad
Tina dan Ari berkawan baik, dan bersaudara dengan Tok Wan Rimau, penjaga harimau saka keluarga Tina, yang sedang mencari waris perempuan untuk menurunkan ilmu sakanya. Tok Wan dan harimau saka melindungi keluarganya dan Pekan Mendekar dari bahaya. Ari sering diejek oleh penduduk kampung dengan gelaran ‘Mat Kepit’, atau ‘Mat Patah’. Walaupun begitu, Tina setia berada di sisi Ari, malah menyimpan perasaan cinta yang mendalam terhadap Ari, dan berharap akan berkahwin dengannya satu hari nanti. Ari memendam rasa luka yang mendalam disebabkan ejekan-ejekan itu, lantas menyembunyikan dirinya untuk melupakan realiti yang pahit melalui persahabatannya dengan Tina. Walaupun dihalang keras oleh keluarga, ternyata Tina pilihan Tok Wan untuk menjadi pewaris saka.

Filem: Jangan Tegur – Raya Kelima, 24 September, 9.00mlm
Pelakon: Julia Ziegler, Nadia Mustafa, Ellie Suriati, Pierre Andre, Almy Nadia
Natasya (Julia Ziegler) telah terlibat dengan kemalangan jalan raya dan koma selama beberapa minggu. Sewaktu di dalam koma, Natasya telah bermimpi tentang seorang gadis bernama Baizura (Nadia Mustafa) yang disyaki telah hilang 2 tahun secara misteri tanpa khabar berita. Tersedar dari koma, Natasya mula mengalami perkara yang sama seperti yang telah dialami oleh Baizura. Daya penglihatannya tidak membataskan dia melihat makhluk-makhluk halus itu. Ini menambahkan kerunsingan suami Natasya iaitu Kamal. Kamal (Pierre Andre) pula adalah seorang yang tidak mempercayai benda-benda khurafat ini sehinggalah dia melihatnya sendiri. Melalui mimpi-mimpi yang dialami, Natasya mula menyiasat apakah yang telah berlaku kepada Baizura. Siasatan yang dilakukan telah menyebabkan dia sering diganggu oleh makhluk-makhluk yang menganggu Baizura seperti dalam mimpinya. Apakah yang berlaku kepada Baizura? Mengapakah Natasya dibayangi dengan kemunculan Baizura? Apakah kaitan mereka berdua?
Otai – Raya Keenam, 25 September, 3.00 petang
Pelakon: Saiful Apek, Yassin, Nasha Aziz, Saleh Yaakob, Azean Irdawaty, Maimon Talib, Ainul Aishah
Kisah dimulakan apabila Aiman (Saiful Apek) yang sudah mempunyai seorang isteri Azura (Nasha Aziz) yang telah berkahwin selama tiga tahun dan tidak dikurniakan anak. Aiman dan Azura telah mendapat tekanan dari ayah Aiman, Tan Sri Mansur (Saleh Yaakob) iaitu, jika Aiman dan isterinya tidak mendapat zuriat dalam tempoh setahun, seluruh harta bendanya akan diwariskan kepada rumah anak yatim. Setelah menjalani pemeriksaan Azura disahkan mengalami masalah peranakan yang tidak memungkinkan dia mengandung. Maka Azura terpaksa merelakan Aiman berkahwin lagi seorang tetapi mestilah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Azura dan ibunya (Azean Irdawaty). Aiman berpakat dengan Sammy supaya mencari Mawar (Faeza) bekas kekasihnya untuk menjadi calon isteri lalu diubah penampilan Mawar supaya menjadi kurang cantik yang akhirnya telah dipersetujui oleh Azura. Berjayakah Aiman memperisterikan Mawar? Dapatkah Aiman mewarisi harta Tan Sri Mansur? Semuanya akan terjawap pada Hari Raya Ke dua di TV3.

Filem: Sepi - Raya Kesepuluh, 29 September, 10.00mlm
Pelakon : Afdlin Shauki , Nasha Aziz , Vanidah Imran, Riezman Khuzaimi, Tony Eusoff , Baizura , Pierre Andre
Filem romantik ini mengisahkan tentang tiga individu yang belajar mengenai cinta, kehilangan dan kesepian. Adam, merupakan chef yang berjaya sering menyediakan juadah yang istimewa di majlis-majlis perkahwinan namun dirinya masih lagi belum berteman. Manakala Sufi pula terpaksa menghadapi hari-hari yang sukar lantaran dihantui tentang memori silam bersama isterinya yang telah meninggal dunia. Sementara itu, Ariel yang merupakan anak seni akhirnya mendapati bahawa pementasan teater merupakan pentas di mana masa depannya terbongkar. 3 orang asing ini secara tidak langsung saling berkaitan kerana terjebak dengan peristiwa dramatik yang akhirnya merubah kehidupan mereka selamanya…

Filem: Akhirat - Raya Kesebelas, 30 September, 10.00mlm
Pelakon: Vanida Imran, Tony Eusoff, Nabila Huda
Akhirat merupakan filem menarik yang menceritakan tentang Mira (Vanidah Imran) yang berusaha meneruskan kehidupan dengan mengetepikan hakikat bahawa dia dijangkiti HIV positif. Dia nekad untuk merahsiakan penyakitnya dari pengetahuan suaminya, Amran (Tony Eusoff) malah dia cuba untuk menjodohkan Amran dengan sepupunya yang liar dan bermasalah, Noni (Nabila Huda). Sejauh mana dia boleh menyimpan rahsia ini dan bilakah keluarganya akan menyedari bahawa Mira kini sedang menuju ke ambang kematian?

Filem: Gondoruwo – Raya Kedua belas, 1 Oktober, 10.00malam
Pelakon: Diana Daniel, Remy Ishak, Norish Karman, Rozita Che Wan, Normah Damanhuri
Zarina ialah seorang anak yatim yang tinggal bersama neneknya di sebuah kampung di Johor. Dia membesar dalam masyarakat Jawa Melayu. Sejak kecil lagi, penduduk kampung memulaukan neneknya dan Zarina tidak mengetahui apakah sebabnya. Hubungan Zarina dengan neneknya, Mbah Wangi menjadi renggang setelah dia berpindah ke bandar dan jarang pulang. Jika Zarina pulang ke kampung, neneknya selalu memintanya untuk mewarisi ‘sesuatu’. Selepas kematian neneknya, ‘benda’ tersebut masih tidak diturunkan kepada Zarina. Apabila Zarina pulang ke bandar, dia mula menghadapi pelbagai masalah dan hampir putus asa sehinggalah Eto muncul. Gondoruwo yang dibela oleh neneknya telah hadir dalam kehidupan Zarina tanpa disedarinya. Banyak perkara buruk terjadi dengan kehadiran Gondurowo. Apakah Zarina dapat menyelamatkan dirinya daripada Gondurowo?
TV3: TELEMOVIE RAYA
Drama: Salam Terakhir- Menjelang Raya, 9.30malam
Pelakon : Rosyam Nor, Zarynn Min, Adi Putra, Azman Nor & Anna Dahlia.
Telemovie Salam Terakhir pasti mengundang airmata yang menggandingkan pelakon terkenal tempatan. Filem ini mengisahkan tentang Nazman yang menghidapai penyakit yang tidak boleh disembuhkan lagi. Di saat menghadapi kesakitan ini dia terpaksa berhadapan dengan adik-beradiknya yang tamakkan harta arwah ayah mereka dan kesengsaraan cinta tiga segi yang dihadapi antara dia, tunangnya dan adik angkatnya. Namun, Nazman menghadapi penderitaan ini keseorangan kerana mereka semua tidak tahu bahawa dia cuma ada masa selama sebulan sahaja untuk terus hidup. Apakah kesudahan drama ini?

Drama: Kuih Goyang Seha, Raya Ketujuh, 26 September, 10.00malam
Pelakon: Rozita Che Wan, Eizlan Yusoff, Nabil, Irma Hasmie.
Drama kekeluargaan ini mengisahkan tentang Seha yang nekad mahu meraikan sambutan Hari Raya di kampung keluarganya selepas tujuh tahun meraikan lebaran di kampung suaminya. Suaminya yang bertegas mahu meneruskan tradisi pulang ke kampung halamannya membuatkan Seha bertekad untuk berbuat sesuatu! Saksikan bagaimana dia menggunakan taktik untuk mengubah pendirian suaminya dengan meminta bantuan rakan sekerjanya untuk melaksanakan rancangannya itu. Adakah hasratnya akan tertunai pada perayaan kali ini?

Drama: Tragedi Malam Raya, 3 Oktober 2009. 10.00malam
Pelakon: Beego, Eyzendy, Amanda Misbun, Ben Kenobi, Kamarul Hj Yusuf, Azhar Che Ree
Faizal pastinya tidak akan melupakan tragedi malam raya ini! Faizal terpaksa bekerja sehingga lewat malam menjelang lebaran. Dia berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka apabila dia menumpangkan gadis misteri, Salmah untuk pulang ke Melaka. Salmah, ketika malam raya itu melarikan diri dari rumah kerana tidak mahu dikahwinkan dengan tunangnya. Malanynya, ketika dalam perjalanan kereta Faizal mengalami kerosakan di ladang getah yang secara kebetulan merupakan kampung halaman Salmah. Faizal yang tersepit dengan keadaan tersebut terpaksa membantu Salmah menyelamatkan diri dari tunangnya yang amarah..

No comments:

Post a Comment