Friday, March 13, 2009

Jom Ke Sesi Ujibakat Mentor -3!

JIKA kamu punya suara dan bakat terpendam dalam bidang nyanyian, satu sesi ujibakat program realiti Mentor Musim ke – 3 kini akan bermula! Barisan Mentor yang menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar pada musim ini ialah Jaclyn Victor, Mas Idayu, Lah Ahmad, Adibah Nor, Ajai dan Awie.

Jika pemilihan para peserta tahun-tahun sebelumnya berdasarkan penilaian pihak juri dan pihak pengurusan, musim ini menampilkan kelainan apabila para Mentor akan turun padang menghadiri sesi uji bakat sekaligus memilih sendiri protege mereka. Mentor mempunyai hak 100% untuk memilih protege mereka berdasarkan kriteria dan kelayakan yang ditetapkan oleh mereka.

Antara kriteria Protégé yang layak memasuki gelanggang Mentor adalah:

1. Berusia antara 17-25 tahun
2. Memiliki bakat, vokal dan pakej lengkap serta mantap
3. Mampu menambat hati Mentor yang menjadi pilihan mereka,
4. Menyanyi secara solo
5. Tidak terikat dengan sebarang kontrak dan boleh memberikan sepenuh perhatian terhadap program Mentor.

Jadi, jika kamu berminat, jangan lupa menghadiri sesi ujibakat yang bakal diadakan dan jangan lupa untuk membawa bersama kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta minus one lagu-lagu yang bakal mereka persembahkan untuk penilaian Mentor pilihan mereka.

Jadi apa lagi, jika kamu ingin Jac dan Mas Idayu sebagai mentor kamu, jangan lepaskan peluang untuk menghadiri sesi ujibakat yang bakal dikendalikan mereka mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu:

Jaclyn Victor
Hari/Tarikh: 14 Mac 2009 (Sabtu)
Waktu : 10.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : Theatrette, Sri Pentas Bandar Utama

Mas Idayu
Hari/Tarikh: 15 Mac 2009 (Ahad)
Waktu : 10.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : Theatrette, Sri Pentas Bandar Utama

Sunday, March 8, 2009

Tonton Sirah Junjungan - Tahajud Cinta 9 - 22 Mac Ini!

Penganjur: Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia
Karya:Eirma Fatima
Genre: Teater Muzikal
Tempat: Istana Budaya

Pelakon• Ahmad Yatim • Mazlan Tahir • Vanida Imran • Wong Sip Nen • Rosdeen Suboh • Lakshman • Jeganathan • Rabecca Nur Islam• Jesse Lim • Aman Graseka • Sahronizam Noor • Rachmad Abadi • Pak Dini • Sallehuddin Abu Bakar • dan ramai lagi...
Penyanyi Undangan:Jamal Abdillah (9-14 Mac) Siti Nurhaliza (18-20 Mac) Mawi (21 Mac)
Amy Search (22 Mac)
Tiket:RM30 • RM50 • RM80 • RM100 • RM150
Hubungi: 03-4026 5558



Di ANTARA… kebatuan cadas, padang pasir, panas matahari membakar kulit. Di tanah Mekah, bangunan kukuh Kaabah yang sejak awal dibangun untuk menyembah yang Maha Kuasa kini telah berubah dikelilingi berhala. Kejahiliahan membuat perilaku menjadi amat rendah dan nista. Budak dan hamba abdi menjadi binatang yang tak berharga, wanita hanya jadi pemuas nafsu belaka, anak perempuan dikuburkan hanya untuk ditertawa riakan oleh sang ayah yang tidak rela memiliki anak perempuan. Berhala-berhala disimpan, dijadikan penyembahan kepada jalan kegelapan. Berhala menjadi sesembahan mereka bernama Lata Uzza.Dalam pada kerosakan dan kejahiliahan kaum Quraisy. Seorang wanita dirundung kepedihan tatkala suami tercinta pulang ke alam baqa, padahal di perut dikandung janin yang amat dicinta. Ketika terlahir bayi yang amat molai rupawan, bayi inilah yang menjadi cahaya menerangi gelitanya kesesatan. Di saat bayi ini dilahir- kan, tangisannya menyebabkan dinding Istana Kisra retak dan beberapa menaranya runtuh. Api di kuil Parsi padam. Air di tasik sawah menjadi kering. Berhala-berhala di sekeliling Kaabah tumbang. Bayi yang kelak menjadi perkasa, mengukuhkan empat tembok tinggi kisah. Bayi inilah yang terlahir menjadi pemadam api sesembahan kaum Majushi. Di tahun gajah, telah lahir bayi mulia Muhammad bin Abdullah.Muhammad tampil menjadi cahaya bagi lingkungannya. Tidak hanya sebagai penyejuk tetapi juga sebagai penegak hilar-bilar keadilan. Beliau tegak bagai karang yang kukuh menghadapi kebatilan. Hiful fudul adalah cahaya yang mulai berkibar untuk menegakkan kebenaran dalam kegelapan kejahiliahan.Di telapak tangannya Muhammad terdapat api yang menyala yang dapat menunjukkan jalan yang benar sedangkan di dalam darahnya mengalir akidah yang kuat yang sentiasa siap untuk menentang sesiapa yang membangkang, dan sesungguhnya sudah menjadi sunatullah, setiap perubahan selalu mendapat tentangan. Kaum Musyrikin Quraisy seakan tidak rela, Muhammad mencerai-beraikan keluarga mereka, Muhammad akan menggantikan sembahan mereka, Muhammad akan meruntuhkan peradaban mereka. Maka, bermulalah siksaan datang.Cinta kepada Allah… Cinta kepada Rasul! Membuat ringan setiap derita. Ujian tidak terhenti. Kekejaman bermaharajalela. Kehilangan sanak saudara. Yang lebih menyedihkan ialah apabila Muhammad kehilangan bapa saudaranya Abu Talib yang meninggal di saat belum sempat memeluk agama Islam. Derita semakin terusai dan yang lebih memilukan apabila isteri tercinta pula, Siti Khadijah, penyejuk di kala batin resah, yang meneguhkan di kala goyah, yang rela menafkahkan harta, tenaga demi dakwah, dipanggil oleh Yang Maha Pencipta. Rasulullah Muhammad S.A.W betul-betul pilu kehilangan isteri, kekasih, penyejuk dan peneguh. Hampir seperempat abad mendampingi suka duka. Itulah tahun kedukaan bagi baginda.Kematian Abu Talib telah meruntuhkan benteng-benteng penghalang kemarahan orang-orang Quraish terhadap Muhammad. Kalau dulu Abu Talib adalah pembela Muhammmad tetapi sejak ketiadaan bapa saudaranya itu, orang-orang Quraisy makin bermaharajalela. Ke mana sahaja Muhammad pergi, pasti baginda akan direjam dengan batu bahkan ditaburkan pasir di atas kepala, dibaling dengan najis namun baginda menghadapi kekejaman musuh dengan perisai kesabaran dan istiqamah.Kesakitan yang dilalui sama sekali tidak mampu menghentikan nafas perjuangan kaummuslimin sehingga kemajuan Islam semakin pesat. Baginda Muhammad berjaya memujuk tokoh-tokoh utama Quraish untuk masuk Islam lantaran golongan Quraish menjadi marah dan mengadakan pakatan untuk menyekat ekonomi kaum muslimin. Setelah 3 tahun kaum muslimin terpaksa berdepan dengan berbagai rintangan dari kaum Quraish dan selama itu juga mereka berlindung di Lembah Abu Talib, akhirnya Muhammad sudah tidak lagi sanggup melihat kesakitan dan kezaliman orang-orang Quraish terhadap kaum muslimin. Ramai yang menderita lalu Muhammad mengarahkan supaya kaum muslimin kembali ke rumah masing-masing untuk berdepan dengan orang Quraish manakala sahabat-sahabatnya diputuskan berhijrah ke Madinah untuk mencari penempatan baru.Hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah merupakan langkah awal dari proses terbentuknya Darul Islam yang pertama di muka bumi saat itu. Rasulullah berjaya meletakkan asas-asas penting bagi negara ini iaitu pembi- naan masjid, mempersaudarakan sesama kaum Muslimin dan mengatur kehidupan sesama kaum Muslimin. Dalam masa yang cukup singkat, Baginda berjaya dengan cemerlang untuk membentuk Madinah menjadi Daulah Islamiyah yang bertamadun tinggi.Bagi kaum Quraisy , tidak ada sebab yang lebih berkesan untuk membangkitkan pertempuran dan kemarahan orang Islam selain tumpahnya darah melalui peperangan. Bahkan Nabi pun terhujam di Bukit Uhud. Luka menganga. Hamzah singa Allah terhujam, dirobek, dikunyah jantungnya oleh Hendon. Tidak pernah rugi bagi seorang yang beriman, diberi nikmat dia bersyukur maka syukur menjadi kebaikan, Diberi ujian dia bersabar maka sabar menjadi kebaikan Rasulullah dengan para sahabat masih meneruskan dakwah dengan berangkat masuk semula ke Mekah. Perjalanan untuk menunaikan kewajipan yang pasti penuh dengan pengorbanan tetapi tidak pernah ada kerugian bagi orang-orang yang mahu berkorban ke jalan yang diredhai Allah S.W.T. Akhirnya, baginda berjaya membawa Abu Sofyan mengakui “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah”.

Jangan lupakan untuk saksikan dan menyokong teater dakwah ini ok, !

Saturday, March 7, 2009

Sekitar Preview Sayang You Can Dance

MINGGU lepas, bertempat di GSC Mid Valley, telah berlangsung majlis pelancaran Filem Sayang You Can Dance yang merupakan filem musikal pertama Malaysia. Menggabungkan bintang-bintang hangat seperti Syarifah Amani, Samuel Rizal, aktor popular Indonesia menerusi lakonannya di dalam filem Eiffel….I’m In Love dan Apa Artinya Cinta, Bintang realiti Dafi Ebi Kornelis dan Alam yang mula memberanikan diri mereka untuk menongkah arus di arena lakonan serta Carmen Soo.

Sebenarnya tidak banyak yang bisa diperkatakan tentang filem ini usai ia dipertontonkan kepada media. Lantaran buah tangan terbaru daripada Bjarne Wong ini terlalu kabur. Nampaknya, konsep merojakkan tema di dalam filem ini agak tidak berkesan hingga mesej mesej penting filem ini gagal disampaikan dengan baik.

Namun, mungkin pemilihan peneraju utama filem ini bisa menggairahkan penonton untuk ke panggung. Siapa tahu? Malah, filem yang akan mula ditayangkan di sinema bermula 12 Mac ini, mungkin boleh dianggap sebagai platform terbaik untuk meluaskan pasaran ke Indonesia dengan pemilihan aktor Samuel Rizal yang pekat bertutur bahasa Indonesia menerusi filem ini.

Namun, pertaruhan kepelbagaian bahasa dalam filem ini iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Indonesia dan loghat Sarawak yang dijalinkan bersama agak mengelirukan.


Sayang You Can Dance mengisahkan tentang Mia watak Sharifah Amani, seorang anak gadis lincah dan periang yang baru pulang ke Kuala Lumpur setelah tamat pelajaran di Singapura. Mia gemar menari tetapi hobinya itu mendapat tentangan dari ayahnya.

Samuel Rizal aktor Indonesia ini mungkin platform penting untuk filem ini di pasaran Indonesia

Di Kuala Lumpur, Mia rapat dengan sepupunya, Daniel lakonan Dafi yang telah memperkenalkannya dengan satu kumpulan penari bergelar DanceStarz. Mia kemudian jatuh hati dengan salah seorang ahli kumpulan tersebut bernama Remie watak Samuel Rizal.

Tanpa disedari teman baik Remie iaitu Robby lakonan Ebi yang telah jatuh hati kepada Mia. Kehadiran Mia menyebabkan hubungan persahabatan antara Remie dan Robby renggang.
Apabila Robby menarik diri daripada gelanggang cinta tiga segi itu untuk memberi peluang kepada Remie, Mia mulai sedar banyak lagi liku-liku cinta yang lebih besar yang menghalang cintanya dan Remie.


Mungkinkah kemesraan dua bintang peneraju filem ini akan berlanjutan di luar?

Halangan yang paling besar sudah tentu melibatkan status dan kehadiran Remie sebenarnya tidak disenangi oleh bapa Mia yang mahukannya memutuskan hubungan dengan Remie.
Pada waktu yang sama, Dance Starz pula bersedia untuk bertanding di dalam sebuah pertandingan tarian yang bakal mengubah hidup mereka.

Jika melihatkan perjalanan cerita dan plot cerita agak berterabur mencacatkan jalan cerita. Mungkin juga pengarah Sayang You Can Dance ini mahu memaparkan kehebatan tarian dan cerita cinta sekali gus sehingga mengabaikan kelancaran cerita ini.

Jalinan babak demi babak yang tidak kemas sedikit merencatkan cerita dan membuatkan penonton tertanya-tanya apa yang terjadi sebelumnya.

Unsur nyanyian yang terdapat dalam filem ini bagaikan sebuah filem muzikal. Paling mengesankan apabila lagu tema yang terlalu banyak melatari perjalanan cerita tanpa memberikan kesan kepada mood penonton.

Bjarne Wong sebenarnya bukanlah satu nama yang asing dalam industri seni. Dia yang menerajui Hock Star Entertaiment Industry Berhad pernah menerbitkan filem The Legend Of The Red Curse dan Possessed sebelum ini.Ini bermakna filem Sayang You Can Dance merupakan filem Melayu pertama bagi Bjarne Wong dan menggunakan khidmat kru daripada Hong Kong

Friday, March 6, 2009

Slot Sinema Ahad Hebat Mac Di TV2

Filem: Jatuh Cinta lagi (2006)
Tarikh Siaran: 1 Mac 09
Pelakon: Krisdayanti, Gary Iskak, Cornelia Agatha, Endhita

Filem ini mengisahkan Lila yang menaruh kepercayaan bahawa lelaki yang dikenalinya bernama Andre bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Dia menjadi hilang sabar dan tidak mempercayai lelaki yang padanya hanya tahu mengambil kesempatan terhadap kaum wanita. Sementara Andre pula tidak berminat mahu berurusan dengan orang yang mementingkan diri dan wanita yang tidak ada unsur jenaka dalam dirinya. Tanpa diduga, mereka terpaksa bekerjasama dalam menyelesaikan kes penceraian penyanyi kelab dangdut terkenal dengan suaminya. Andre berpihak di sebelah suami penyanyi itu yang mahu menuntut hak penjagaan anaknya berusia 7 tahun manakala Lila pula di pihak penyanyi itu. Lalu mereka mengaturkan strategi masing-masing dan tanpa diduga terbit perasaan cinta di hati masing-masing yang sukar untuk dinyatakan antara mereka berdua.

Filem: Puteri Impian 2
Tarikh Siaran: 8 Mac 09
Pelakon: Amy Mastura, Cico Harahap, Aliah Lee, Azri Iskandar, Sarimah dan Azman Hassan

Filem Puteri Impian 2 arahan Aziz M.Osman yang mengisahkan Nora, bekas gadis kilang yang telah menolak lamaran kerabat diraja, Tengku Faizal. Tengku Farid, adik Tengku Faizal tersinggung Nora menolak cinta abangnya. Dia telah bertekad untuk membersihkan kembali nama baik keluarganya serta membawa Nora kepangkuan abangnya. Sementara itu, Nora masih menaruh harap kepada Zul, jurukamera stesen televisyen yang dikenalinya. Tetapi Zul telah menjalinkan hubungan dengan Lisa.

Begitu pun kepada anda peminat setia filem Indonesia, usah ketinggalan meluangkan masa menonton Jangan Panggil Aku Cina, filem Indonesia yang popular sekitar tahun 2003 hasil skrip oleh Viva Westi yang pastinya mampu menghiburkan penonton dengan plot ceritanya yang menarik sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
Filem: Lang Buana
Tarikh Siaran: 22 Mac 09
Pelakon: Kumpulan Senario

Kepada peminat filem komedi, kamu bakal dihiburkan dengan filem popular Lang Buana lakonan Kumpulan Senario yang membawa penonton ke era zaman lampau iaitu sebelum abad ke-19 tetapi kisah yang dipaparkan berkaitan dengan masyarakat Malaysia hari ini. Ia mengisahkan tiga orang pemuda - Gunung, Daik dan Bercabang - yang melarikan diri daripada menjadi hamba abdi kepada Orang Kaya Seri Bentan. Mereka bertiga berhenti di sebuah kota bernama Lang Buana di pinggir sebuah sungai. Setibanya di kota itu, mereka disambut meriah kerana disangka putera raja yang dapat menyelamatkan kota itu daripada serangan Sang Nira. Terperangkap oleh keadaan, ketiga-tiga pemuda berkenaan terpaksa menyamar menjadi putera raja dan merangka taktik peperangan bagi memperkuatkan benteng pertahanan Lang Buana.

Justeru, jangan ketinggalan meluangkan masa menonton Slot Sinema Ahad @ 2 yang diyakini mampu memberikan peluang kepada penonton berhibur seisi keluarga.

Monday, March 2, 2009

Mengerbang Seksi

TIDAK kira apa gayanya, pasti ada saja gaya pilihan bintang selebriti yang menjadi ikutan dan inspirasi. Malah antara yang paling hangat adalah gaya loose yang segar. Rambutmu dibiarkan mengerbang sebebasnya tanpa perlu dirapikan setiap masa dan percaya atau tidak, semakin mengerbang rambutmu, semakin seksi kamu! Jom tengok artis remaja yang sudah menggayakannya!



Fasha Sandha


Miley Cyrus


Emma Roberts

Sarah Paxton