Tuesday, January 27, 2009

Merah Ekspresi Keghairahan

MERAH ekspresi keghairahan yang luar biasa auranya. Ia pencetus semangat dan rasa teruja dalam mengejar impian. Ayuh! Atur langkahmu penuh yakin, ia bukan saja bisa memercikkan gaya, malah ia juga simbolik seksimu. Tidak percaya? Lihat saja aksi selebriti-selebriti ini!


















NORYN AZIZ – Busana merah hati ini ternyata hebat membaluti tubuhnya


IRMA HASMI - Rekaan ringkas namun tetap menyerlah dengan potongannya yang istimewa


MILA - Renda rona kontra ternyata berjaya membangkitkan lagi ilham dress merah darah paras lutut pilihannya

INTAN LADYANA – Biar pun penampilan dress yang digayakan biasa-biasa saja, tetapi ternyata mengesankan

ANA (TFC) – Ternyata dress merah saga ini berjaya menonjolkan keyakinan personalitinya


EZLYNN – Dress merah hati samar ini membuatkan dia nampak feminin sekali

Tuesday, January 20, 2009

1001 Cerita Persahabatan

SIAPA kata persahabatan tidak memerlukan sebuah pengorbanan. Orang yang tidak berani berkorban demi sebuah persahabatan sebenarnya tidak punya keyakinan terhadap ikatan yang dibina itu.

Dalam menjalin sebuah persahabatan yang abadi sebenarnya amat memerlukan pengorbanan. Sekali kita berkenalan dengan seseorang dan jatuh suka kepadanya, sudah pasti impianmu agar perhubungan itu bisa dieratkan.

Impian itulah yang bisa membuatkan kita alpa untuk berjaga-jaga terhadap rintangan mendatang yang kesannya mampu mengusutkan ikatan persahabatan yang dijalinkan. Ingin tahu apakah api yang bisa membakar persahabatanmu itu?

Enggan Terima Perubahan
Persahabatan Nina, 20 dan Lisa, 20 sudah bertahun-tahun. Pengalaman membesar dan belajar di sekolah sama memberi banyak ruang untuk mereka berkongsi pengalaman suka duka bersama. Malah, Nina sering kali menjadi tempat Lisa berkongsi masalah meluahkan perasaan sedih acap kali dirinya kecewanya.

Namun segala-galanya berubah dengan tiba-tiba. Lisa sudah jarang menghubungi Nina lagi. Nina cuba mendapatkan jawapan daripadanya tapi Lisa seakan ingin mengelak dan hanya diam membisu. Akhirnya, seorang teman Nina memberitahu Lisa berasa kecewa sejak Nina dapat pekerjaan baru. "Lisa fikir kamu sudah berubah dan tidak sama seperti dulu lagi." kata teman itu.

Tindakanmu
Jelas Lisa tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Mungkin dirinya rasa tercabar. Jika sebelum ini kalian setaraf. Tetapi kini kamu sudah punya kelebihan berbanding dirinya. Perubahan besar yang berlaku seringnya melibatkan emosi. Oleh itu, Nina berpendapat dia perlu meluangkan masa agar dapat bersama Lisa walaupun dia sibuk. "Mungkin aku perlu keluar dengan Lisa di hari minggu." katanya.

" Jangan sesekali kamu bersikap talam dua muka ya!"

Pudarnya Kepercayaan
Marlia, 17 telah meluahkan perasaan cintanya terhadap salah seorang senior mereka di sekolah kepada teman baiknya Najwa,17 . "Kami sedang bercakap tentang lelaki dan aku mengakui Roslan adalah seorang jejaka hot dan menarik. Malah, dia pernah meluahkan perasaannya kepadaku tapi aku cuba mengelaknya. Aku mahu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaranku dan tidak mahu melibatkan soal cinta dalam hidupku buat masa ini."

Dua hari kemudian, Marlia terkejut bila semua teman sekelasnya heboh tentang ceritanya dengan seniornya Roslan. Dia cuba mendapatkan penjelasan dari Najwa. Sebaliknya, Nalwa mengatakan Marlia tidak pernah memberitahunya cerita itu adalah rahsia di antara mereka berdua. " Najwa telah memalukan aku di sekolah dan aku tidak puas hati dengan alasannya. Perlukah aku beritahu dia cerita mana yang rahsia atau tidak. Dia kan boleh berfikir...!" ujar Marlia.

Tindakanmu
Kepercayaan amat penting sebuah persahabatan. Tetapi sebelum bertindak ada baiknya kamu berbincang dan minta penjelasan daripada temanmu itu. Mungkin dia bisa memberikan alasan tersendiri yang munasabah. Tetapi, jika tiada pilihan dan kamu berasa temanmu seakan cuba mengkhianati, berundurlah ke belakang kerana lukanya amat sukar diubati.



Baca Artikel Persahabatan Lain

Monday, January 19, 2009

Awas! Jika Sakit Mata menyerang!

SALAH satu aspek untuk menjamin kebersihan diri ialah melalui penjagaan dan pemeliharaan organ deria seperti mata, telinga, mulut dan kulit. Kesemua organ ini bertindak sebagai reseptor yang mengesan sebarang rangsangan dari persekitaran supaya otot dan kalenjar tertentu yang berfungsi sebagai efektor dapat bertindak terhadap rangsangan.
Sekiranya terdapat kecederaan pada organ deria tersebut, kehidupan kita akan terganggu. Oleh itu, organ deria memerlukan penjagaan dan pemeliharaan agar kesemuanya dapat berfungsi dengan sempurna.

Tetapi tanpa kamu sedar kadangkala organ deria kamu seperti mata juga boleh dijangkiti penyakit kerana berkemungkinan sistem imun tubuh badan kamu lemah. Antara penyakit mata yang boleh menjangkiti kamu jikalau kamu mengabaikan penjagaan ke atasnya adalah seperti:-

Konjuntivitis
Inflamasi atau radang pada konjunktiva yang disebabkan oleh virus atau bakteria. Konjunktiva kelihatan bengkak, kemerah-merahan dan berair. Pesakit akan berasa matanya gatal, pedih, dan kadangkala sakit serta mengeluarkan nanah yang banyak sehingga kelopak mata terlekat. Pendedagan kepada cahaya akan menambahkan lagi rasa yang tidak selesa.Konjunktivitis juga dikenali sebagai ‘mata merah’. Penyakit ini mudah berjangkit dan pesakit tidak seharusnya berkongsi barang milik mereka seperti tuala, bantal, dan pakaian dengan orang lain. Tiada vaksin untuk mencegah penyakit ini dan hanya ubat mata yang digunakan bagi mengawal penyakit ini daripada menjadi lebih mudarat. Penyakit ini jika tidak dirawat akan mengambil masa selama 10 hingga 14 hari untuk sembuh. Ubat mata yang mengandungi sulfa atau antibiotik boleh digunakan untuk beberapa kali sehari.

Glaukoma
Penyakit mata yang disebabkan oleh tekanan bendalir (khususnya dalam gelemair) yang semakin bertambah hingga melebihi tekanan normal. Dalam keadaan normal, bendalir jernih dihasilkan di bahagian gelemair secara berterusan. Bendalir ini juga mengalir keluar secepat ia dihasilkan. Akan tetapi, bagi pesakit yang menghidap penyakit glaukoma, aliran bendalir tersekat dan ini mengakibatkan tekanan di dalam mata meningkat.

Ketumbit
Ketumbit merupakan jangkitan pada kelenjar minyak yang mengakibatkan bisul kecil tumbuh keluar pada pinggir kelopak mata. Kelopak mata pula akan menjadi merah dan sakit. Ketumbit boleh muncul akibat daripada keperluan untuk menggunakan cermin mata atau keadaan hidup yang kotor. Ia juga berlaku kerana anemia (kekurangan sel darah merah) atau kencing manis. Ketumbit merupakan penyakit yang ringan dan untuk mengelakkannya amalkan kebersihan fizikal dalam kehidupan seharian.

Katarak
Katarak berlaku apabila kanta mata yang lutsinar menjadi legap dan mengakibatkan penglihatan menjadi kabur. Biasanya berlaku pada orang yang lanjut usia, khususnya mereka yang meningkat umur lima puluhan. Penyakit kencing manis juga boleh menyebabkan seseorang menghidap penyakit katarak. Ubat mata digunakan untuk melegakan kelegapan kanta mata. Rawatan jangka panjang ialah melalui kaedah pembedahan.

Trakoma
Penyakit mata ini mudah berjangkit dan disebabkan oleh virus yang menyerang selaput kelopak mata. Ini mengakibatkan bahagian hadapan mata terpaksa ditutup. Gejala awal penyakit ini termasuklah selaput mata menjadi merah, terasa gatal, kelopak menjadi bengkak, lelehan berair dihasilkan dan mata peka pada cahaya. Dalam kondisi teruk, ‘biji-biji’ kecil akan muncul pada selaput kelopak mata dan kornea mungkin tercedera yang mengakibatkan mata menjadi buta. Ubat sulfa dan antibiotik digunakan untuk merawat trakoma bagi mengawal keradangan mata.

Jadi rajin-rajinlah kamu menjalankan senaman mata setiap hari dengan menggerakkan bola mata ke atas, ke bawah, ke kanan, dan ke kiri bagi memastikan mata kita sentiasa segar dan cergas. Elakkan daripada menggosok mata dengan tangan atau tuala yang tidak bersih. Amalkan makanan yang berkhasiat khususnya yang kaya dengan vitamin A untuk proses sintesis pigmen penglihatan. Pastikan kamu menerima pemeriksaan atau rawatan dari pakar mata apabila mata tercedera, menghidap penyakit mata, penglihatan tiba-tiba kabur dan dapatkan tidur yang cukup supaya mata tidak dalam keadaan tegang.

Thursday, January 15, 2009

Pengumuman Kepada Follower Esse!

MEMANG sesuatu yang agak mengejutkan, sambutan yang diberikan terhadap majalah online ini begitu memberangsangkan. Apa tidaknya, kami masih terlalu baru dan kami sedang berusaha untuk meningkatkan kualitinya dari semasa ke semasa

Oh ya, kepada mereka yang telah menjadi follower, kami berharap agar kamu semua dapat emelkan kepada kami nama penuh, usia, alamat penuh dan nombor telefon untuk sebarang urusan atau pengiriman hadiah. Terima kasih ya kepada kamu semua kerana sudi menerima esse seadanya!

emel esse:
esseon9@gmail.com

Monday, January 12, 2009

Nak Tengok Wayang Free?

PENGUMUMAN!!!!
MUNGKIN esse masih baru untuk kamu! Tetapi harapan kami, kamu semua dapat menerima dan menjadikan esse sebagai sumber ilmiah dan hiburan yang bisa mengubat kesunyian. Sebagai permulaan, kami ada sesuatu yang ingin ditawarkan untuk pembaca sekitar Lembah Klang!.Tidak sukar, kamu cuma perlu mendaftar sebagai ahli komuniti esse dan kami akan tukarkan kesetiaan kamu itu dengan satu kupon menonton wayang untuk dua orang setiap satu. Jadi, cepat!Hanya ada 5 kupon untuk pendaftar terawal.

Sunday, January 11, 2009

Kisah Pengajaran Dalam Maut

Maut
Karya/Pengarah: Bade Hj. Azmi

Terbitan: Tayangan Unggul

DENGAR pada tajuknya sahaja sudah menggerunkan. Tambah-tambah lagi kepada mereka yang takut pada sapaan kematian. Tapi, memang itulah perasaannya bila saya berpeluang menonton tiga drama bergenre seram ini yang berlaku kepada tiga insan terpilih di majlis pra tontonnya pada 6 Januari lalu.

Maut merupakan sebuah filem berunsur Islam pertama paling mengesankan selepas 48 tahun filem hitam putih berjudul Isi Neraka arahan Jamil Sulong terbitan Malay Film Production pada tahun 1960. Isi Neraka menampilkan Salleh Kamil dan Hj Mahadi sebagai tonggak utama penceritaan.

Sungguhpun apa yang berlaku di alam barzakh, mahupun alam akhirat adalah di luar batas pemikiran manusia, Bade cuba menggambarkan dari sudut pandangan watak itu sendiri, bukan dari sudut pandangan manusia secara keseluruhannya.

Karya hebat Bade kali ini berperanan sebagai media atau naskhah dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, pengalaman dan pemikiran. Bade dilihat sebagai seorang pengarah yang berani mengupas dan memaparkan permasalahan sosial masyarakat masa kini dengan mengambil contoh segelintir kumpulan black metal, gaya hidup bebas, pemakaian tattoo di badan dan sebagainya.

Bagaimanapun, tidak semua kumpulan black metal itu tersasar. Malahan, ada yang mempunyai hala tuju positif dan bermatlamat. Bade hanya menyentuh filem secara bahasa visual dan metafora. Maksudnya tidak bermakna apa yang dipaparkan adalah kebenaran. Ia hanyalah simbol atau perlambangan bagi menggambarkan sesuatu, terpulang kepada tafsiran individu.

Menariknya, buah tangan Bade yang menelan belanja sebanyak RM1.6 juta akan menjadi filem pertama pembuka tirai sinema filem tempatan, dan bagi saya secara peribadi, karya Bade Hj Azmi ini ternyata mengesankan dan berjaya menimbulkan keinsafan di hati. Tahniahlah kepada Abang Bade dan pelakon-pelakonnya!

Kisah Satu (Syaaban):
Pelakon: Liyana Jasmay, Raja Farah, Danny X-Factor, Reza ERA, Zack Taipan


Su seorang pelajar, dalam perjalanan pulang dari universiti. Di dalam bas, selain Su, terdapat seorang lagi gadis, Fadilah. Setelah pulang ke rumah, tiba-tiba pintu rumah Su diketuk. Fadilah dalam keadaan basah kuyup meminta bantuan untuk menumpang teduh. Oleh kerana malam semakin larut, hujan lebat dan Fadilah telah diragut, Su mengizinkan Fadilah bermalam di rumahnya. Keesokan hari, Su dapati Fadilah telah tiada. Di kaca televisyen, berita kehilangan Fadilah ke udara. Berjayakah Su merungkai misteri kehilangan Fadilah?












Kisah Dua (Ramadhan): Pelakon: Sabrina Hassan, Mohamad Bathich, Diana Danielle, Noniswara, Fouziah Gous



Farah, pramugari yang mengamalkan cara hidup bebas. Farah berkahwin dengan Duke, seorang jejaka Inggeris. Setelah Farah pulang daripada penerbangannya, mereka mengadakan parti meraikan perkahwinan mereka. Namun ketika di parti tersebut, Farah cemburu apabila Duke kelihatan intim dengan seorang perempuan lain. Mereka bergaduh besar dan Farah keluar meninggalkan Duke. Apakah kesudahan yang berlaku pada Farah dan Duke? Mampukah mereka mempertahankan rumah tangga mereka? Adakah Farah terus hanyut dengan gaya hidup bebas penuh kebaratan?










Kisah Tiga (Syawal):
Pelakon: Que Haidar, Awal Ashaari, Nana ERA, Syarizad, Eja, Hasnul Rahmat, Fauziah Nawi, Riduan Hashim, Rabecca


JJ, seorang lelaki muda yang telah hilang pegangan agamanya. Tattoo menghiasi badannya, muzik black metal memenuhi halwa telinganya. Teguran ibu dan kakaknya diambil ringan. Satu malam, selepas pulang daripada menghadiri konsert Black Metal, JJ dan kawan-kawan terlibat dalam kemalangan. JJ cedera parah. Apakah yang berlaku pada JJ seterusnya? Bestkan? Jadi, jangan lupa nantikan tayangan filem Maut mulai 15 Januari 2008 …



Baca Ulasan Filem Menarik Lain

Thursday, January 8, 2009

Malam Iluminasi Penuh Cahaya AJL23

NAMPAKNYA malam yang mendebarkan bagi penggiat muzik tanahair semakin menghampiri. Malah, untuk tahun ini Anugerah Juara lagu 23 yang akan berlangsung pada 18 Januari 2009, bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil.

Kali ini, terdapat 14 buah lagu hebat daripada 13 artis-artis popular solo serta berkumpulan yang bakal berentap dan dinilai hasil garapan komposer penulis lirik serta adunan penyanyi menerusi 3 kategori utama iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock.

Mungkin di malam-malam berprestij sebelum ini, AJL sering membawa konsep berbeza setiap tahun dan tahun ini juga bakal memperlihatkan kelainan kelainan berganda yang pasti memukau dengan menyemarakkan konsep Iluminasi Muzik sebagai refleksi kepada keajaiban Irama dan Lagu. Konsep ini juga terpilih untuk menerapkan sinaran serta cahaya berterusan yang pastinya akan memberikan impak bukan sahaja kepada persembahan finalis malah untuk majlis secara keseluruhan sepanjang ia berlangsung.

Petang itu, turut diperkenalkan dua pengacara terpilih untuk menceriakan malam AJL23 iaitu Ally Iskandar dan Faizal Ismail selain set pentas yang bakal menghiasi pentas malam tersebut. Secara rawak, saya rasa ia memang mengagumkan dan paling utama penonton akan dihidangkan dengan permainan visual cahaya yang tentu menarik!

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif tv3, Dato' Amrin Awaluddin, Anugerah berprestij itu bakal dibukai tirainya dengan acara Red Carpet pada jam 7.30 malam dan bakal menyaksikan selebriti tanahair menggayakan busana indah seiring dunia fesyen yang dinamik dan pesat berkembang di mana mekap mereka turut ditaja oleh Stage Cosmetic.

Kamu boleh menonton acara ini bukan sahaja menerusi kaca tv tetapi juga secara online dengan melayari laman web rasmi tv3 iaitu
http://www.tv3.com.my/ selain berpeluang mendapatkan cerita-cerita eksklusif di sebalik tabir AJL 23 menerusi http://www.gua.com.my/. Namun jika tidak berpeluang menonton tetapi tetap tidak ingin melepaskan peluang untuk menikmati kemeriahan malam tersebut, kamu juga boleh mendengar menerusi HOT. FM yang turut akan diadakan di Bukit Jalil bermula jam 4.30 petang. Selain itu, di majlis pelancaran itu juga, buat pertama kalinya tv3 turut memperkenalkan STAGE cosmetics sebagai penaja rasmi AJL 23.

Jadi, bagi kamu yang sememangnya menjadi peminat setia AJL, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket-tiket VIP yang eksklusif menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) dan HOT. FM di samping tiket percuma yang boleh diperolehi di balai pengawal, Sri Pentas mulai Sabtu, 10 Januari 2009.
Berikut merupakan senarai lagu-lagu yang berjaya ke peringkat akhir AJL 23 mengikut cabutan giliran untuk membuat persembahan pada malam tersebut:

Persembahan 1
Tajuk Lagu:Bukan Di Sini
Nyanyian: Kumpulan Sofaz
Komposer/Lirik: Zimi & Ameer Sofaz/One
Kategori: Pop Rock

Persembahan 2
Tajuk Lagu: Dusta Berkalang
Nyanyian: Aiman
Komposer/Lirik: Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya
Kategori: Etnik Kreatif

Persembahan 3
Tajuk Lagu: Lagu Kita
Nyanyian: Aizat
Komposer/Lirik: Aizat
Kategori: Balada

Persembahan 4
Tajuk Lagu: Cuba
Nyanyian: Faizal Tahir
Komposer/Lirik: Audi Mok/Faizal Tahir
Kategori: Balada

Persembahan 5
Tajuk Lagu: Yang Pernah
Nyanyian: Estranged
Komposer/Lirik: Estranged
Kategori: Pop Rock

Persembahan 6
Tajuk Lagu: Bila Naik Saksi Nyanyian: Spider Komposer/Lirik: Tam (spider)/Loloq
Kategori: Balada

Persembahan 7
Tajuk Lagu: Doa Dalam Lagu
Nyanyian: Zahid& Heliza
Komposer/Lirik: Ajai/Loloq
Kategori: Etnik Kreatif

Persembahan 8
Tajuk Lagu: Sampai Syurga
Nyanyian: Faizal Tahir
Komposer/Lirik: Audi Mok/Faizal Tahir
Kategori: Balada

Persembahan 9
Tajuk Lagu: Cuba
Nyanyian: Faizal Tahir
Komposer/Lirik: Audi Mok/
Kategori: Balada

Persembahan 10
Tajuk lagu: Aku Stacy
Nyanyian: Stacy
Komposer/Lirik: Intan Norul Azlin/Intan Norul Azlin Layla Ismail
Kategori: Pop Rock

Persembahan 11
Tajuk Lagu: Dingin
Nyanyian: Ziana Zain
Komposer/Lirik: Azlan Abu Hassan/Azalea
Kategori: Balada

Persembahan 12
Tajuk Lagu: Kalis Rindu
Nyanyian: Elyana
Komposer/Lirik: Aidit Alfian/ Ad Samad
Kategori: Pop Rock

Persembahan 13
Tajuk Lagu: Persoalan Cinta
Nyanyian: Farawahida
Komposer/Lirik: Julfekar/Ku Seman/Izza Rosley
Kategori: Etnik Kreatif

Persembahan 14
Tajuk Lagu: Lagu Untukmu
Nyanyian: Meet Uncle Hussein
Komposer/Lirik: Taja,tass, Lan/Taja, Tass
Kategori: Pop Rock

Selain itu, imbuhan yang bakal dirangkul pemenang-pemenang malam itu adalah:

Juara lagu ke 22
Trofi & wang tunai berjumlah RM25,000

Juara Etnik Kreatif
Trofi & Wang Tunai RM12,000

Juara Balada
Trofi & Wang Tunai RM12,000

Juara Pop Rock
Trofi & Wang Tunai RM12,000

Persembahan Terbaik
Trofi & Wang Tunai RM10,000

Vokal Terbaik
Trofi & Wang Tunai RM10,000

Jadi nantikan ya kejutan yang bakal diberikan pada persembahan artis nanti! Dengar-dengar khabar ramai yang ingin buat kejutan tersendiri...hmmm..tak sabar rasanya!


Baca Ulasan Acara Menarik Lain

Perang 2 Sahabat Dalam 'Bride War'

Tarikh Tayangan: 29 January 2009
Pengarah: Gary Winick
Bahasa: Inggeris
Pelakon: Anne Hathaway, Kate Hudson

INILAH filem yang secara jujurnya memang tidak sabar untuk penulis tonton! Memang menjelang januari ini, banyak filem-filem menarik di pawagam. For sure, aku takkan lepaskan press preview filem ini, lagipun, memang aku gemarkan filem2 bergenre seperti ini! Kalau kamu ingin tahu lebih lanjut, filem yang dilakonkan oleh Kate Hudson sebagai Liv dan Anne Hathaway sebagai Emma ini mengisahkan dua sahabat karib sejak zaman kecil mereka lagi. Mereka sentiasa bersama menempuhi suka duka kehidupan, kerana keakraban itu juga menyebabkan mereka turut merancang majlis perkahwinan bersama. Namun, kemudiannya berlaku beberapa ujian serta kebetulan yang mewujudkan masalah dan perselisihan faham yang membawa kepada pertengkaran dan peperangan mereka untuk mencipta majlis perkahwinan paling menarik. Jangan lupa, saksikan kesudahan kisah mereka di pawagam! Sure best!

Star LG Tema Rock Nyata Hangat!

SETELAH 6 minggu berhempas-pulas meneruskan perjuangan demi mengukir nama di persada seni, malam Ahad lalu menyaksikan gadis manis kelahiran Sabah, Julylen Liew Ei Ling atau lebih mesra dikenali sebagai Gzell tersingkir mengikuti jejak Elaine dan AG (Kumpulan A) dan Jessica (Kumpulan B) yang telahpun meninggalkan pentas My Starz LG.

Selepas persembahan lagu “Darah Muda” pada konsert Mingguan pada 14 Disember yang bertemakan “Lagenda”, Gzell mendapat kritikan pedas daripada pihak juri yang sebulat suara mengatakan yang beliau tidak berjaya membawakan lagu dengan baik kerana kurang penghayatan dan tiada aura menggoda mahupun manja yang sinonim dengan Seniwati Saloma setiap kali beliau mendendangkan lagu ini.

Walaupun terkejut namun Gzell akur dengan keputusan yang tidak berpihak dengannya dan yakin ini bukan merupakan titik noktah bagi perjalanan seninya yang baru bermula. Selesai penyingkiran, persembahan mingguan yang bertema ’Rock’ (Rock, Slow Rock & Pop Rock) dimulakan dengan persembahan bertenaga daripada Nashrin yang membawakan lagu popular Kumpulan Estranged, “Itu Kamu”.

Sedikit kelainan bermula minggu ini, persembahan mereka tidak lagi dibahagikan di dalam kumpulan dan para peserta mula bergabung. Cassie mengambil tempat seterusnya mendendangkan lagu ”Karma” diikuti dengan Hairi yang berjaya menggegarkan pentas membawakan lagu Wings, ”Hukum Karma” sebelum persembahan bersahaja Mimie menyanyikan lagu Ella, ”Sepi Sekuntum Mawar Merah”.

Konsert diteruskan dengan nyanyian Wana ”Bilang Saja” diikuti dengan Feroq yang mendapat pujian juri kerana berjaya menepati tema Rock Malam ini membawakan lagu ”Still Got the Blues” sebelum Fiona dan Azri menutup tirai membawakan lagu ”Akan Ku Tunggu” dan ”Farhana”.

Persembahan mereka diadili oleh pengkritik yang sudah arif dengan dunia hiburan iaitu juri tetap My Starz LG, Liza Hanim, komposer terkenal Edrie Hashim yang menggantikan Hattan pada minggu ini dan disertai juri undangan, penyanyi rock yang tidak asing lagi, Nash. Konsert mingguan malam ini dihangatkan lagi dengan persembahan istimewa Fiq menyanyikan lagu Irama Marakas.


“Seperti minggu-minggu yang lalu seorang peserta akan dipilih oleh para juri sebagai ‘My Starz’ berdasarkan persembahan terbaik keseluruhan yang disampaikan oleh mereka pada malam itu. Setakat ini, Nashrin, Wana dan Mimie berjaya memenangi hadiah istimewa yang ditawarkan saban minggu.

Malam ini, buat kedua kalinya, Nashrin merupakan peserta bertuah yang berjaya menambat hati juri akan membawa pulang hadiah berupa Penyedut Hampagas ‘LG Kompressor’.

Istimewanya Ally Iskandar turut bersama-sama mengacarakan konsert pada hari ini untuk mempromosikan program bual-bicara terbarunya, ALLY yang akan disiarkan pada 31 Disember 2008 nanti ,” ujar penerbit My Starz LG, Tengku Sahilawati Tengku Jehori.

Selain mengundi peserta kegemaran mereka, para penonton juga boleh menyertai kuiz SMS My Starz LG untuk memenangi hadiah peti sejuk LG. Mereka hanya perlu menaip LG dan hantarkan kepada 37898 seterusnya mengikut arahan yang diberikan.

Undian untuk peserta My Starz LG ini dibuka dari jam 10.00 malam 28 Disember 2008 sehingga jam 6.00 petang pada 4 Januari 2009. Format penyingkiran My Starz LG ialah 12 peserta akan dibahagikan kepada 2 kumpulan: A dan B. Kumpulan A akan membuat persembahan pada minggu ini dan penyingkiran salah seorang dari Kumpulan A hanya akan dilakukan pada minggu berikutnya ketika minggu kumpulan B mengambil tempat membuat persembahan.

Seterusnya penyingkiran untuk kumpulan B akan dilakukan ketika minggu Kumpulan A membuat persembahan. Para peserta akan bergabung dalam konsert seterusnya apabila tinggal 4 orang peserta dari setiap Kumpulan A & B. Format penyingkirannya ini berterusan sehingga 4 orang finalis dipilih. Bermula konsert yang ke 6, mereka kembali bergabung dan bertanding tanpa mengikut kumpulan.

Manakala dari segi fornat pemarkahan pula, penyingkiran terhasil daripada keputusan juri (70% markah) manakala 30% selebihnya diputuskan oleh penonton melalui SMS. Selain dari juri tetap, juri jemputan bakal muncul sepanjang musim ini untuk menawarkan khidmat nasihat mereka. Pengacara Nazruddin Habibur Rahman (Naz) kembali memeriahkan rancangan ini dengan pasangan baru, Puteri Andreanna Syigim (Anne), manakala Khairul Ikhwan Rosli (Ikhwan) bakal mengacarakan segmen My Starz LG Star Lives, yang merupakan sedutan siaran selama setengah jam tentang pencapaian pelajar sepanjang minggu tersebut, setiap Ahad pada pukul 5.30 petang.

Penasihat vokal terdiri daripada penyanyi dan pencipta lagu Lah Ahmad, koreografer tarian Raimee Salleh dan Syaiful Baharim yang berperanan sebagai konsultan imej peserta. Pemenang pertandingan My Starz LG berpeluang memenangi wang tunai RM 100,000, produk LG yang menarik, menjadi bintang dan kontrak rakaman bersama label rekod ternama, Warner Music Malaysia.

Kesemua 12 peserta ini menerima tunjuk ajar dan nasihat profesional serta sokongan latihan daripada tenaga pengajar yang terdiri daripada penghibur dan penerbit ternama Malaysia, yang berlangsung di LG House, sebuah bunglo yang diadaptasi khas yang tersedia dengan bilik latihan dan ruang persembahan yang dilengkapi sepenuhnya dengan produk LG.

Pastikan penonton di rumah tidak ketinggalan untuk menonton Konsert My Starz LG dan peluang menangi Peti Sejuk LG dengan menyertai kuiz SMS My Starz LG dengan menaip LG dan hantarkan ke 37898 dan ikut arahan yang diberikan. Maklumat lanjut berkenaan My Starz LG boleh didapati dengan melayari www.tv3.com.my/mystarzlg2


Baca Ulasan Rancangan Realiti Menarik Lain