Monday, January 19, 2009

Awas! Jika Sakit Mata menyerang!

SALAH satu aspek untuk menjamin kebersihan diri ialah melalui penjagaan dan pemeliharaan organ deria seperti mata, telinga, mulut dan kulit. Kesemua organ ini bertindak sebagai reseptor yang mengesan sebarang rangsangan dari persekitaran supaya otot dan kalenjar tertentu yang berfungsi sebagai efektor dapat bertindak terhadap rangsangan.
Sekiranya terdapat kecederaan pada organ deria tersebut, kehidupan kita akan terganggu. Oleh itu, organ deria memerlukan penjagaan dan pemeliharaan agar kesemuanya dapat berfungsi dengan sempurna.

Tetapi tanpa kamu sedar kadangkala organ deria kamu seperti mata juga boleh dijangkiti penyakit kerana berkemungkinan sistem imun tubuh badan kamu lemah. Antara penyakit mata yang boleh menjangkiti kamu jikalau kamu mengabaikan penjagaan ke atasnya adalah seperti:-

Konjuntivitis
Inflamasi atau radang pada konjunktiva yang disebabkan oleh virus atau bakteria. Konjunktiva kelihatan bengkak, kemerah-merahan dan berair. Pesakit akan berasa matanya gatal, pedih, dan kadangkala sakit serta mengeluarkan nanah yang banyak sehingga kelopak mata terlekat. Pendedagan kepada cahaya akan menambahkan lagi rasa yang tidak selesa.Konjunktivitis juga dikenali sebagai ‘mata merah’. Penyakit ini mudah berjangkit dan pesakit tidak seharusnya berkongsi barang milik mereka seperti tuala, bantal, dan pakaian dengan orang lain. Tiada vaksin untuk mencegah penyakit ini dan hanya ubat mata yang digunakan bagi mengawal penyakit ini daripada menjadi lebih mudarat. Penyakit ini jika tidak dirawat akan mengambil masa selama 10 hingga 14 hari untuk sembuh. Ubat mata yang mengandungi sulfa atau antibiotik boleh digunakan untuk beberapa kali sehari.

Glaukoma
Penyakit mata yang disebabkan oleh tekanan bendalir (khususnya dalam gelemair) yang semakin bertambah hingga melebihi tekanan normal. Dalam keadaan normal, bendalir jernih dihasilkan di bahagian gelemair secara berterusan. Bendalir ini juga mengalir keluar secepat ia dihasilkan. Akan tetapi, bagi pesakit yang menghidap penyakit glaukoma, aliran bendalir tersekat dan ini mengakibatkan tekanan di dalam mata meningkat.

Ketumbit
Ketumbit merupakan jangkitan pada kelenjar minyak yang mengakibatkan bisul kecil tumbuh keluar pada pinggir kelopak mata. Kelopak mata pula akan menjadi merah dan sakit. Ketumbit boleh muncul akibat daripada keperluan untuk menggunakan cermin mata atau keadaan hidup yang kotor. Ia juga berlaku kerana anemia (kekurangan sel darah merah) atau kencing manis. Ketumbit merupakan penyakit yang ringan dan untuk mengelakkannya amalkan kebersihan fizikal dalam kehidupan seharian.

Katarak
Katarak berlaku apabila kanta mata yang lutsinar menjadi legap dan mengakibatkan penglihatan menjadi kabur. Biasanya berlaku pada orang yang lanjut usia, khususnya mereka yang meningkat umur lima puluhan. Penyakit kencing manis juga boleh menyebabkan seseorang menghidap penyakit katarak. Ubat mata digunakan untuk melegakan kelegapan kanta mata. Rawatan jangka panjang ialah melalui kaedah pembedahan.

Trakoma
Penyakit mata ini mudah berjangkit dan disebabkan oleh virus yang menyerang selaput kelopak mata. Ini mengakibatkan bahagian hadapan mata terpaksa ditutup. Gejala awal penyakit ini termasuklah selaput mata menjadi merah, terasa gatal, kelopak menjadi bengkak, lelehan berair dihasilkan dan mata peka pada cahaya. Dalam kondisi teruk, ‘biji-biji’ kecil akan muncul pada selaput kelopak mata dan kornea mungkin tercedera yang mengakibatkan mata menjadi buta. Ubat sulfa dan antibiotik digunakan untuk merawat trakoma bagi mengawal keradangan mata.

Jadi rajin-rajinlah kamu menjalankan senaman mata setiap hari dengan menggerakkan bola mata ke atas, ke bawah, ke kanan, dan ke kiri bagi memastikan mata kita sentiasa segar dan cergas. Elakkan daripada menggosok mata dengan tangan atau tuala yang tidak bersih. Amalkan makanan yang berkhasiat khususnya yang kaya dengan vitamin A untuk proses sintesis pigmen penglihatan. Pastikan kamu menerima pemeriksaan atau rawatan dari pakar mata apabila mata tercedera, menghidap penyakit mata, penglihatan tiba-tiba kabur dan dapatkan tidur yang cukup supaya mata tidak dalam keadaan tegang.

No comments:

Post a Comment