Wednesday, November 4, 2009

Pencarian Kumpulan Terhebat Malaysia Bermula!

Twisties Bingit kembali dan kali ini akan bersiaran di kaca TV anda! Twisties Bingit , merupakan sebuah program realiti hasil terbitan bersama Twisties dan 8TV. Program ini diterbitkan untuk mencari pemuzik-pemuzik hebat untuk disatukan di dalam sebuah band dan bakal memulakan siaran setiap Jumaat, jam 9.30 malam bermula 11 Disember 2009.

Musim pertama Twisties Bingit yang diadakan tahun lepas berjaya mendapat sambutan hangat sekaligus memberi platform dan peluang yang luas untuk pemuzik-pemuzik ‘underground’ menunjukkan bakat masing-masing.

Usaha 8TV yang sentiasa mencari bakat-bakat muda yang kreatif sejak lima tahun yang lepas memang tidak boleh disangkal. Program ini sememangnya menjadi sebuah program yang paling diminati oleh pemuzik-pemuzik bebas untuk menunjukkan bakat-bakat mereka.

Twisties Bingit merupakan sebuah program realiti untuk mencari pemuzik yang berkaliber – pemain gitar, bass, dram dan vokalis untuk menjadi sebuah kumpulan muzik yang hebat di Malaysia. Industri muzik Malaysia semakin berkembang dengan kehadiran pemuzik-pemuzik bebas yang cukup kreatif dan berani memancing pendengar dengan muzik yang lebih segar,” ujar Lam Swee Kim, Pengurus Besar 8TV.

Kim menambah “Saya percaya banyak lagi band dan pemuzik di luar sana yang cukup berbakat dan kami cukup teruja untuk melancarkan Twisties Bingit sebagai platform untuk mereka menunjukkan kehebatan dan bakat masing-masing.”

“Sesi ujibakat yang dijalankan di beberapa lokasi terpilih akan memastikan pemilihan berpihak kepada mereka yang benar-benar berbakat. Kami bukan sahaja mencari pemenang untuk pertandingan ini tetapi mencari kumpulan yang bakal menyinar dan memberi saingan kepada band-band tempatan yang sedia ada untuk bertapak dalam industri muzik Malaysia,” ujar Kim lagi.
Tahun lepas, kumpulan Modread telah diumumkan sebagai juara untuk Twisties Bingit. Modread juga mula menjadi tumpuan peminat muzik Malaysia dan media-media tempatan.
Di atas sambutan yang cukup hebat dari orang ramai, musim kedua Twisties Bingit akan disiarkan di kaca TV sebagai sebuah program realiti TV buat julung-julung kalinya. Penggemar muzik kini boleh berehat di ruang tamu anda sambil menonton program realiti ini yang akan disiarkan pada bulan Disember nanti!

Pengarah Pemasaran Kraft Malaysia, Jason Chin berkata, “ Kejayaan yang dicapai melalui program Twisties Bingit tahun lepas amat menggagumkan. Tindak balas positif yang kami terima dari para pengguna telah memberi kami inisatif untuk meneruskan Twisties Bingit 2009 ini. Sebagai hadiah kepada mereka, kami ingin memberi para pengguna pengalaman yang lebih menarik dan menyeronokkan tahun ini.

“Selain dapat menikmati keseronokkan menonton program Twisties Bingit di kaca TV, para pengguna juga berpeluang untuk turun padang bersama-sama memeriahkan `gig-gig’ yang akan berlangsung di beberapa bandar besar di seluruh Malaysia. Alamilah ’gig’ Twisties Bingit bersama rakan-rakan anda dan nikmati muzik hebat di sana. Ini akan menjadikan pengalaman menonton program Twisties Bingit lebih bermakna,” tambah Chin.

Pencarian band terhangat telah bermula. Sesi ujibakat pencarian pemuzik-pemuzik hebat ini telah bermula di Penang dan Johor Bahru dan diikuti di beberapa lokasi lain iaitu Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Sambutan yang diterima cukup menggalakkan dan tahun ini penyertaan dari orang ramai meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding tahun lepas!
Sesi ujibakat dibuka kepada pemuzik-pemuzik berumur dari 18 hingga 28 tahun.

Seramai 532 pemuzik bebas telah muncul untuk menyertai ujibakat yang telah diadakan pada tahun ini. Kuala Lumpur telah mencatatkan kehadiran ujibakat tertinggi dengan penyertaan seramai 214 pemuzik bebas.

Para juri telah memilih 43 orang peserta yang berpotensi daripada beratus-ratus pemuzik yang menyertai ujibakat. 5 orang peserta daripada Kota Kinabalu iaitu dua pemain dram, seorang vokalis, pemain gitar dan pemain bass telah dipilih ke peringkat seterusnya.

Ujibakat di Kuching juga berjaya mendapatkan 5 orang pemuzik iaitu 2 pemain dram dan 3 orang vokalis. Di Pulau Pinang pula 3 orang pemain gitar dan seorang pemain bass berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Sementara itu, ujibakat di Kuala Lumpur yang paling ramai penyertaannya berjaya mendapatkan 6 orang pemain bass, 6 orang vokalis, 5 orang pemain gitar dan 5 orang pemain dram. Manakala di Johor Bahru pula 2 orang vokalis, pemain gitar, pemain bass dan seorang pemain dram berjaya dicungkil bakatnya.

Keunikan dan sifat tersendiri pemuzik-pemuzik yang terpilih disesi ujibakat adalah kriteria terpenting yang perlu ada dan dilihat oleh juri-juri professional. Kesemua mereka perlu menjalani beberapa siri ujibakat dan akan dinilai melalui persembahan di pentas, teknik dan skil, kebijaksanaan mereka dalam seni muzik dan pemilihan lagu juga memainkan peranan yang penting sebelum terpilih dan melangkah ke peringkat ujian seterusnya.

Setiap peserta akan diberikan satu tugasan setiap minggu dan akan membuat persembahan dalam `gig’ di beberapa lokasi terpilih sebelum menghadiri proses penyingkiran. Proses penyingkiran akan ditentukan oleh pihak juri pada setiap minggu. Walau bagaimanapun impian beberapa peserta untuk menunjukkan skil mereka di atas pentas sebenar mungkin tidak kesampaian apabila kejutan dibuat di episod pertama yang mana hanya 36 peserta bertuah sahaja layak untuk menubuhkan 9 kumpulan terhebat untuk meneruskan perjuangan ke persembahan `gig’.

Persembahan `gig yang pertama akan berlangsung pada 7 Nov 2009 (Sabtu) bertempat di Laundry Bar, The Curve. Peminat-peminat di alu-alukan datang untuk menyaksikan persembahan `gig’ ini secara langsung setiap hari Sabtu yang mana peminat-peminat sendiri dapat menilai persembahan band-band pujaan mereka. Pentas `gig’ inilah yang akan menjadi saksi kebolehan peserta-peserta untuk mengawal pentas dan berinteraksi dengan peminat mereka.

Persembahan siri `gig’ ini bermula dari jam 12.30 tengahari hingga 6.00petang. Selain itu, hadiah-hadiah bernilai RM30,000 boleh dimenangi oleh peminat-peminat di siri `gig’ ini. Dengan hanya membawa 2 pek Twisties (70g) atau Chipster (60g) ke sana, peminat-peminat berpeluang memenangi hadiah berupa iPod Touch, Nintendo Wii, Nokia 5730 Xpress Music atau hadiah wang tunai!

Kumpulan band indie popular PESAWAT yang dianggotai oleh Jipie (penyanyi), Nizam Camel (gitar), Mann (bass) dan Kudux (dram) yang akan muncul membuat persembahan di setiap `gig’ juga bakal menarik perhatian. Antara lagu yang akan di persembahkan oleh PESAWAT adalah lagu tema berjudul `Bingit’ yang diterbitkan khas untuk program Twisties Bingit ini.

Persembahan `gig’ mingguan akan berlangsung seperti yang tersenarai dibawah:

7th Nov 2009 (Sabtu) - 12.30pm – 6.00pm
Laundry Bar, The Curve (KL)

14th Nov 2009 (Sabtu) - 12.30pm – 6.00pm
New World Park, Penang

21st Nov 2009 (Sabtu) - 12.30pm – 6.00pm
CT Sport Café, City Plaza, Johor Bahru

28th Nov 2009 (Sabtu) - 12.30pm – 6.00pm
The Spring Shopping Mall (Car Park Area), Kuching, Sarawak

5th Dec 2009 (Sabtu) -12.30pm – 6.00pm
One Utama – Central Park Avenue Entrance (KL)

12th Dec 2009 (Sabtu) - 12.30pm – 6.00pm
One Utama – Central Park Avenue Entrance (KL)

Hadiah berjumlah RM100,000 ditawarkan kepada pemenang-pemenang di Twisties Bingit. Hanya sebuah kumpulan akan dinobatkan sebagai Juara Twisties Bingit yang bakal membawa pulang hadiah bernilai RM80,000 termasuk kontrak rakaman bersama dengan syarikat rakaman Monkey Bone. Naib juara pula akan membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 sementara tempat ketiga pula akan menerima hadiah bernilai RM6,000. Tempat ke-4 dan ke-5 pula masing-masing akan membawa pulang RM2, 000 sebagai hadiah saguhati.

Twisties Bingit ditaja sepenuhnya oleh Twisties. Juri-juri yang bakal menilai persembahan peserta nyata bukan calang-calang orang kerana kesemua mereka merupakan nama-nama besar dalam industri muzik Malaysia. Edrie Hashim (pemain gitar, komposer dan penerbit) merupakan salah seorang juri untuk program ini selain dari Edris Adrian (Pengurus Label, Monkey Bone). Beberapa juri jemputan juga akan turut dijemput untuk memeriahkan program ini.

Personaliti TV dan bekas pemain dram kumpulan indie terkenal OAG iaitu Qi Razali (popular dengan program “Destinasi Bajet” dan “Field Trip to USA”) telah diberi tanggungjawab sebagai pengacara untuk program Twisties Bingit ini. Program ini akan disiarkan setiap Jumaat jam 9.30 malam bermula 11 Disember 2009 hanya di saluran hip 8TV.

No comments:

Post a Comment