Thursday, February 12, 2009

Apabila Keputihan Menyerang

BERALIH hari, bermakna usiakan bertambah setakuk lagi. Tetapi usia bukan sekadar angka, ia umpama lambang sebuah kematangan dan kedewasaan yang tidak ternilai. Maka apa pula harga sebuah kematangan? Wahai gadis, siapkan dirimu untuk menerima ujian. Peningkatan usia bermakna akan bertambahlah risiko penyakit yang mengintai. Apa lagi andai bulanmu sudah menyapa. Pasti selepas itu keputihan pula akan menyusul.



Apa Pula Keputihan?
Acap kali si gadis runsing apabila kerap diserang oleh cairan lendir yang merimaskan. Tanpa disedari, adakalanya cairan lendir yang juga dikenali sebagai keputihan itu bisa mengakibatkan jangkitan kuman (venereal disease) misalnya siplis atau gonorrhea. Pada kebiasaannya sifat dan rupa lendir atau keputihan itu adalah jernih, cair tanpa berbau dan tidak diiringi rasa gatal.
Malahan, bagi seorang gadis, kemungkinan lain yang perlu digeruni adalah kemungkinan diserang kanser ovari adalah tinggi selain mengancam kesuburan mereka saat hidup berumah tangga kelak.

Peranan Lendir
Namun, sebelum kamu berhasrat mengambil apa-apa tindakan, kamu perlu tahu pengeluaran lendir keputihan tidak semestinya menandakan penyakit. Adakalanya lendir yang terhasil menerusi pangkal rahim oleh sel-sel dan kilang-kilang khas, berperanan sebagai pelindung kepada sel-sel dan dinding saluran faraj. Tanpa lendir, sel-sel tersebut akan kering dan rosak. Bagi gadis, pengeluaran lendir yang berlebihan boleh berlaku di kalangan gadis-gadis yang sedang bercinta dan gadis-gadis yang tinggi syahwat. Sifat dan keadaan lendir di pangkal rahim berubah dengan pusingan haid lantaran dipengaruhi perubahan paras hormon.



"Usah pendam masalah kesihatan. Ibu adalah orang terbaik yang bisa kamu kongsi masalah intimmu itu"

Faktor Pengeluaran Lendir
Pengeluaran lendir sebenarnya di pengaruhi hormon estrogen dan progesteron di dalam darah wanita. Hormon tersebut menambah bilangan kilang-kilang lendir dan membesarkan saluran kilang tersebut. Kenaikan dalam paras hormon tersebut, menambahkan lagi pengeluaran lendir dari dinding faraj dan pangkal rahim. Keadaan ini sering kita temui apabila seorang wanita hamil. Ketika kehamilan kandungan hormon-hormon estrogen dan progesteron meningkat naik dan ini seringkali menyebabkan pengeluaran lendir yang berlebihan dari biasa.

Kesan Pengeluaran Lendir
Pengeluaran lendir yang berlebihan juga boleh berlaku kerana gangguan jiwa seperti keadaan yang menimbulkan kesedihan atau kegembiraan yang amat sangat. Begitu juga wanita-wanita yang bekerja kuat dan memerlukan tenaga fizikal yang banyak, pengeluaranlendir yang berlebihan juga boleh berlaku.

Keputihan Sebagai Tanda Penyakit
Pengeluaran lendir atau keputihan boleh menandakan sejenis penyakit pada faraj dan sistem peranakan. Di dalam keadaan sedemikian, pada kebiasaannya lendirnya bersifat putih pekat, kelihatan seperti nanah, seringkali berbau busuk serta diiringi rasa gatal-gatal pada sekeliling faraj. Adakalanya warna lendir itu berwarna kemerahan atau coklat kerana bercampur darah. Ini adalah tanda yang perlu diawasi kerana ada kemungkinan besar ada sejenis jangkitan kuman berlaku.

Jenis-jenis jangkitan kuman
Beberapa jenis kuman boleh menjangkiti faraj, rahim dan saluran fallopian. Sesetengah daripada jangkitan kuman hanya terhad kepada faraj tanpa melibatkan rahim dan saluran fallopian. Keadaan ini tidak begitu membahayakan. Tetapi apabila jangkitan kuman merebak kepada saluran fallopian di antara perkara-perkara yang akan timbul dalam jangka-masa panjang ialah kemandulan, masalah haid, kesakitan dan lain-lain.

Kuman
Kuman bakteria jenis E-coli adalah kuman yang sering menjangkiti kemaluan dan perkakas peranakan. Kuman lain yang membahayakan ialah kuman gonorrhea atau siplis. Kuman yang digelar dengan nama ‘Trichomonas’ sering juga menjangkiti kemaluan dan menyebabkan pengeluaran lendir yang berwarna kehijauan dan disertai gatal-gatal dan bau busuk

Kulat
Kulat yang digelar dengan nama ‘Monilia’ atau ‘candida’ sering menjangkiti wanita yang sedang hamil atau mengidap kencing manis.

Virus
Virus seperti ‘herpes’ dan ‘chlamydia’ sering menjangkiti kemaluan dan perkakas peranakan.

No comments:

Post a Comment