Bertuahnya kali ini, PGLM telah mendapat sokongan dan penajaan kuat daripada sektor korporat terkemuka iaitu Kumpulan Perbankan RHB, Public Bank Berhad dan kumpulan UEM Berhad.Malah, ntv7 juga dilantik sebagai media rasmi selain penajaan daripada jenama alat solek terkemuka, M.A.C Cosmetics.
Hati bagaikan dipanah sakti mentera. Apatah lagi bila jiwa dibelai keindahan lenggok liuk penari jawa sudah cukup meninggalkan misteri dan mistikal yang dipenuhi gelodak perasaan.
Bukan itu sahaja, Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah berkolaborasi dengan Enfini Productions Sdn. Bhd. juga menyokong PGLM musim ketiga ini di samping Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Malah, sokongan padu daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah yang berkenan menyaksikan pementasan malam itu juga membuktikan bahawa usaha PGLM untuk memancing kepercayaan serta kredibiliti menaiktarafkan teater di negara ini sudah berhasil dan kepercayaan tersebut pasti takkan goyah lantaran sudah menjadi satu jenama yang sinonim dengan pementasan teater muzikal di negara ini.
Tidak keterlaluan jika saya meluahkan rasa bangga terhadap semangat lebih 60 orang pelakon termasuk pemegang watak utama, Datin Seri Tiara Jacquelina yang telah memberi persembahan bertenaga dan luar biasa impaknya.
Ida Mariana sebagai Bayan, iaitu penjaga dan pengasuh Gusti Putri berjaya membuatkan penonton kagum dengan lakonannya yang begitu menyakinkan dan sesekali bakal pengganti Tiara ini berjaya mendapat tepukan gemuruh penonton.
Bagaimanakah perasaannya?
Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Namun apa yang saya boleh katakan, keindahan persembahan yang berlangsung hampir 3 jam itu bagai tidak terasa lantaran setiap saat ada saja magis dan aura daripada pelakon yang memukau mata hingga mampu membawa seluruh penonton terawang-awang bersama ke alam ilusi ciptaan mereka.
Dan, impaknya biarpun puas dicungkil dan diintai sebarang cela yang mungkin terselindung, nyata ia tiada di mana-mana. Nyata persembahan yang saya tonton malam itu benar-benar cemerlang, sempurna dan tidak keterlaluan jika saya mengganggap ia sudah bertaraf dunia!
Biarpun tidak dapat dinafikan, kehebatan sesebuah teater bukan saja terletak kepada kehebatan naskah dan emosi pelakon-pelakonnya, tetapi ia lebih dari apa yang dibayangkan! Dalam PGLM misalnya, kecemerlangan rekaan set pentas dan busana yang indah turut menyumbang kepada fenomena untuk teater ini. Namun, kesemua aspek yang disebutkan itu sebenarnya tidak cukup untuk melengkapkan PGLM sehingga ia menjadi sebuah karya yang cukup gah jika tidak mengambil kira peranan alunan indah muzik nusantara yang ditampilkan.
Hasilnya, kemanisan perasaan terhadap dua watak agung Gusti Putri dan Hang Tuah itu semakin mendalam dengan penyatuan gemalai irama muzik yang unik hasil sentuhan pengarah muziknya, Roslan Aziz serta gandingan prop, kostum, efek khas, skrip yang benar-benar hebat! Sememangnya, perasaan itu sukar digambarkan dengan ayat selain kamu sendiri menonton dan menikmatinya!
Penonton berjaya ditenggelamkan dalam kesibukan pelabuhan Melaka dengan set pentas yang begitu hebat dan mengesankan.
Bagi peminat dan penonton yang akan menonton PGLMIII yang akan berlangsung selama 17 hari termasuk penambahan satu hari lagi pada 22 Februari, nikmatilah keindahan cerita cinta agung ini antara dua insan yang akan terus bersemadi dalam hidup kita.
Biarpun baru saja kaki ini melangkah keluar dari Panggung Sari, hati kembali teruja untuk masuk dan menonton pementasan yang serupa!Rasanya jika diberi peluang untuk saya duduk selama hampir tiga jam lagi saya masih sanggup! Sayangnya pementasan ini cuma mampu dilanjutkan selama 1 hari saja iaitu bermula 6 Februari hingga 22 Februari 2009 selama 17 hari.
Kemanisan perasaan terhadap dua watak agung Gusti Putri dan Hang Tuah ternyata semakin mendalam dengan penyatuan gemalai irama muzik dan liriknya yang unik
No comments:
Post a Comment