Sunday, February 1, 2009

Hadiah Paling Terindah

INDAHNYA perasaan kala menerima bingkisan dari insan teristimewa. Sememangnya, tidak dapat dinafikan lagi setiap insan mendambakan buah tangan daripada sang kekasih, ia bagaikan satu tradisi bagi meluahkan perasaan yang terbuku di dada di samping menyemai kasih agar semakin bersemi. Itulah ironiknya percintaan hari ini.

Tidak dapat lari dari skeptikal, cinta sejati perlu disulami pemberian bagi mewakili keikhlasan dan kata hati. Semakin tinggi dan besar nilainya, bermakna semakin teguhlah cinta. Semakin kuatlah kasih sayang lantaran pengorbanan kerana sanggup berhabisan. Tapi kali ini, apa kata Esse membantu kamu untuk ciptakan kelainan.

Cubalah berusaha untuk mengubah tradisi kepada sesuatu yang lebih bermakna dan berkekalan. Pemberian ini lebih dalam keikhlasan dan ketelusannya. Malah lebih eksklusif, mahal dan tidak ternilai harganya. Namun, usah berharaplah kamu dapat menemuinya terjual di mana-mana. Memandangkan keunikannya yang tersendiri sehingga tidak ada sesiapa pernah terfikir untuk menjualnya...

KEHADIRAN
Kata orang, cukup sekadar bingkisan yang diterima di tangan, tanpa pengirim ia sudah mampu menggembirakan. Benar. Namun, itu adalah usaha bagi pasangan yang berjauhan. Tetapi, bagi kalian yang hanya tinggal sepelaung jauhnya, cara itu tentu akan mengecewakan. Apatah lagi andai kesibukan menjadi halangan. Tahukah kamu, bagi seorang kekasih yang telus cintanya. Kehadiran insan dikasihi sebenarnya lebih diperlukan berbanding segala-gala. Memandangkan, dengan adanya kamu, si dia dapat berbahagi perasaan, perhatian, dan kasih sayang dengan lebih utuh dan intensif. Pendek kata, hadiahkan si dia dengan meluangkan waktu emasmu di sisi mereka terutama pada hari-hari penting. Pasti akan lebih membahagiakan.

MENDENGAR
Dalam dunia percintaan, tidak ramai yang mampu menghadiahkan penghargaan ini kepada kekasih mereka. Ini memandangkan kebanyakan pencinta hari ini lebih gemar didengar kata-katanya. Manakala untuk mendengar jarang sekali. Bagaimana pula denganmu? Sememangnya, keharmonian sesebuah hubungan percintaan turut di pengaruhi oleh komunikasi yang berkesan. Tanpanya sesebuah ikatan pastikan hambar dan hilang serinya. Jadi, usah lokek menghadiahkan si dia dengan curahan perhatianmu yang tidak berbelah-bahagi. Berikan dia ruang bercerita, meluahkan perasaan, sesekali manjakan dirinya dengan gurau senda dan rayuanmu, pasti cinta kalian akan mekar semula.

"Cipta kebahagiaan dalam cinta dengan kejujuran"

MEMBISU
Menerusi lontaran kata-kata, dikatakan mampu melemahkan hati seorang wira. Seperti mana tajamnya sebilah pedang diam juga ternyata memiliki kekuatan tersendiri. Diam mampu memberi makna berbeza, sama ada menghukum, mengusir malah mampu membingungkan insan yang intim denganmu. Malah, membisu juga mampu memberi ekspresi lebih bermakna dan bisa menyampaikan rasa kecintaanmu kepada insan tersayang. Memberi si dia ruang tersendiri pasti akan membuatkan si dia terharu. Apatah lagi sekiranya setiap hari dia sudah muak dengan nasihat, kritikan dan omelanmu.

KEBEBASAN
Menyintai seseorang tidak bererti kamu berhak menyekat kebebasannya. Biar pun si dia sudah pun berjaya kamu miliki, mencampuri perihal peribadi dan mengatur kehidupannya sehari-hari bukanlah tugas kamu. Bisakah kamu mengaku mencintai seseorang itu dengan selalu mengekang hidupnya? Memberi kebebasan adalah salah satu cara kamu menunjukkan rasa cintamu. Namun, makna kebebasan itu bukanlah, "Kamu bebas berbuat semaumu?" Lebih dalam dari itu, memberi kebebasan adalah menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada si dia untuk bertanggung jawab atas segala tindakannya.

KEINDAHAN
Siapa yang tidak bahagia, jika insan tersayang tiba-tiba tampil lebih cantik atau tampan dari biasa? Tampil menarik juga merupakan antara hadiah istimewa untuknya. Bahkan tidak salah seandainya kamu melakukannya setiap kali janji temu!


TANGGAPAN POSITIF
Tanpa sedar, sering kali kamu memberikan penilaian negatif terhadap buah fikiran, sikap atau tindakan orang yang di sayangi. Seolah-olah tidak ada yang terbaik dan benar pada dirinya dan kebenaran mutlak hanya pada kamu semata. Namun kali ini, apa kata cuba hadiahkan tanggapan kamu yang positif. Nyatakan dengan jelas dan tulus. Cubalah kamu renungkan semula, bila kali terakhir kamu mengucapkan terima kasih di atas segala yang dilakukannya demimu. Ingat-ingat pula, pernahkah kamu memujinya.


KESEDIAAN MENGALAH
Tidak semua masalah yang layak menjadi bahan pertengkaran. Seharusnya kamu pertimbangkan kebaikan dari pertengkaran itu? Tentunya tidak akan menjaminkan apa-apa bukan? Jadi apa kata sekiranya kamu luahkan sahaja "kesediaan mengalah" kepadanya. Mungkin utuk satu jangka masa, rasa kesal dan amarahmu buat kamu hilang pertimbangan. Tetapi tidak ada kebaikan apa-apa sekiranya kamu memanjangkan permusuhan Kesediaanmu untuk mengalah sudah tentu akan melunturkan rasa sakit hati dan mengajar kalian untuk menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini.


SENYUMAN
Percaya atau tidak, kekuatan senyuman sebenarnya amat luar biasa. Senyuman yang dihadiahkan dengan ketulusan, bisa menjadi pencair hubungan yang beku dan dingin, memberi semangat dalam rasa putus asa, menceriakan kala suasana muram, bahkan menjadi ubat penenang bagi jiwa yang resah. Jadi bagaimana dengan kamu pula? Kapan terakhir kali kamu menghadiahkan senyuman manismu buat orang yang dikasihi?

No comments:

Post a Comment