CINTA itu indah. Bertuahlah insan yang ditakdirkan dapat menikmati keindahan cinta hingga ke akhir usia. Namun, cinta yang mendalam juga sebenarnya mampu merubah perasaan itu menjadi benci dan kesumat yang tiada berkesudahan. Namun, itu semua bukanlah satu sumpahan.
Biarpun acapkali bersulamkan air mata, dugaan perlu didepani sebaiknya dan hidup perlu jua diteruskan dengan tekad dan keberanian yang tidak bertepi. Begitulah hakikat yang perlu diharungi Noli, 25. Keperitan hidup langsung tidak menjadi halangan untuk dia meneruskan sisa-sisa kehidupan.
Jatuh air mata mendengar kisah cinta gadis kelahiran Perak ini yang bertukar menjadi musibah mengharukan akibat penangan cinta durjana sang arjuna. Dengarkan rintihannya... Assalammualaikum... Semoga kehidupanmu dilimpahi rahmat. Pertama kalinya, aku mengharapkan kau kini sedang menikmati kehidupan indah di sana. Aku di sini ternyata semakin parah. Mungkin itukah yang kau harap-harapkan?
Malah, adakalanya aku benar-benar hilang semangat untuk meneruskan hidup dan langsung tidak mampu untuk bangun dari pembaringan apabila penyakit ini menyerang. Aku sebenarnya mengaku kalah sayang, kerna kesakitan di kepala dan seluruh urat nadiku ini tidak mampu lagi kubendung. Hingga adakalanya tubuhku yang semakin kurus melidi, wajahku yang kian cengkung dimamah usia penderitaan yang hampir tujuh tahun kugalas penuh siksa ini sering menjatuhkan airmata ibu dan saudara-saudaraku yang lain.
Kau buat aku menanggung dosa yang terlalu berat kerna menjatuhkan air mata orang yang benar-benar menyayangiku. Hingga adakalanya timbul rasa putus asa lantaran tidak lagi berupaya menggalas beban kesakitan misteri yang doktor sendiri tidak mampu merawatnya. Aduh! Hebat benar penanganmu sayang, menyiksa aku hanya kerna melayan dendam kesumat yang beraja di hatimu itu.
Namun aku, dengan penuh ketabahan dan kekuatan yang entah dari mana datangnya ini tetap tega mengharungi badai hidup yang pasti takkan ada kesudahan. Mungkin selama ini aku masih kuat bertahan hanya demi orang-orang yang begitu menyintai dan menyayangiku. Alhamdulilah, menerusi petunjuk dan rasa kasih Tuhan kepadaku, segalanya tetap aku tempuhi dengan tenang.
Sememangnya Zail, sihir yang kau kenakan kepadaku melalui tujuh kuntum ros merah itu benar-benar menjadi. Tahniah sayang! Kau telah berjaya membuatkan aku disini umpama patung tak bernyawa. Inikah bukti cintamu yang mendalam terhadapku? Aku tidak tahu risiko apalagi yang menantiku di hadapan dengan memuatkan kisah kita di dalam ruangan ini, namun ini adalah tindakan nekadku demi meluahkan apa yang terbuku dan sebagai panduan kepada semua remaja di luar sana.
Aku memberanikan diri lantaran naluri hati yang mendesak, hingga kerisauan dan ketakutan yang menebal di dalam diri, ternyata tidak mampu membendung kekecewaan ini. Aku tidak takut pada kesakitan dari hukumanmu ke atasku, tetapi pada cara yang kau gunakan untuk menyakitiku itu. Kita telah berpisah, namun perpisahan ini tidak menghalang aku untuk menyemai perasaan sayang dan mengambil berat tentang dirimu.
Walau hanya kenangan yang menemaniku, bagiku kau masih tetap menjadi antara orang yang terpenting, insan yang pernah bertanggungjawab memberi keceriaan dan kehidupan kepadaku suatu waktu dulu. Aku terlalu ingin mendengar alasan dari mulutmu sendiri, mengapa begini jauh tindakanmu menghukum aku?
Terlalu besarkah dosaku hingga kau tergamak menganiayai aku? Biarpun kau begitu berang dengan tindakan aku menolak lamaranmu untuk seketika waktu, aku ulangi hanya buat ketika itu, saat aku sedang kalut mengharungi kekalutan hidup bergelar siswi. Malah, kau tuduh aku lupa diri, hanya kerna aku berjaya bergelar siswazah dan kau pula sebaliknya. Tiada secubitkah rasa simpati terhadap perempuan yang suatu waktu dulu pernah kau pernah cintai separuh mati ini? Atau mungkinkah bagimu semua itu tiada ertinya lagi?
Mungkin benar kata orang yang ku dengar di mana-mana, semua lelaki sama, hanya tahu menyalahkan perempuan, tapi enggan menerima penjelasan dan hakikat sebenar kelemahan mereka. Apa yang mereka inginkan perlu segera diperolehi, walau dengan apa cara sekalipun, tanpa terfikir oleh mereka bagaimana kepayahan orang lain untuk memenuhi keinginan mereka itu.
Tetapi itulah yang sebenarnya terjadi kepada kita, kau dan aku berkongsi perasaan yang sama tetapi punya cara berfikir dan halatuju berbeza. Kau sering meminta tanpa ingin memahami masalah aku yang terpaksa bergelut dengan perasaan untuk memenuhi kehendakmu. Benar, kau memang bebas melakukan apa saja. Malah aku sanggup mati di tangan orang yang aku sayangi jika inilah takdir hidupku.
Terpulanglah padamu, tapi seandainya kau berhasrat untuk membuang namaku jauh dari hatimu dan mungkin masih berniat untuk melakukan sesuatu yang lebih buruk selepas ini, aku nasihatkan agar kau tidak menggunakan cara yang terkutuk dan dimurkai Tuhan ini lagi. Memang tak dapat kunafikan, aku juga bersalah dalam hal ini, melarikan diri dari lelaki yang aku sayangi.
Bersikap dingin setiap kali kau menghubungiku. Aku sendiri telah lama menyedari kepincangan dalam perhubungan kita, tapi tidak mampu untuk bersuara dan berterus terang denganmu. Pernahkah dirimu cuba mengambil tahu masalah yang menyebabkan dia tidak dapat menerimamu? Aku sering terfikirkan kelemahan diri, kekurangan yang aku rasakan itu sering menguasai diriku hingga gagal untuk dikawal.
Peristiwa silam yang gelap buat aku takut. Aku takut untuk menghadapi malam pertama. Takut andai tiap persoalan itu akan berbangkit semula dan merosakkan cinta kita, sedangkan itu semua bukan berpunca dariku. Aku telah dipaksa dan semua itu memberi stigma yang bukan sedikit terhadap emosi dan masa depanku. Itulah puncanya sayang, aku ingin berterus terang padamu tapi aku tidak berdaya.
Mungkin aku pentingkan diri sendiri tapi aku juga ingin menatang cinta kita. Oleh kerana itu, aku mengambil keputusan untuk menjauhkan diri darimu, demi kebaikan bersama, aku sanggup dianggap lupa diri. Demi Tuhan yang menjadikan aku, aku benar-benar tertekan bila berada di sampingmu, tidakkah kau turut merasakan serpihannya?
Cerita cinta kita begitu indah, malah hingga kini aku masih kuat mengingati saat-saat indah ketika bersamamu, bagaimana hangatnya genggaman jemarimu, renunganmu, senyumanmu dan segala kebaikan dirimu sering saja mengalirkan air mataku. Andai ditanya, aku sendiri tidak tahu dimana patut kumulai, sejak mula aku menerimamu bukan kerana cinta, namun aku menghargaimu kerana kau mengotakan janjimu untuk melindungi aku dan kasih kita. Dari situ aku mula belajar untuk mencintaimu.
Sepanjang 7 tahun perhubungan kita, sebelum aku benar-benar menyepikan diri darimu, aku sering diganggu perasaan bersalah, aku keliru sama ada kau benar-benar ingin memilikiku dan berkongsi segala kepayahan dan kebahagiaan bersamaku atau ibarat sebagai tempat kau menghilangkan sepimu sahaja?
Aku kenal wajah sebenar lelaki yang bernama Zail, lelaki yang suatu ketika dulu pernah kucintai sepenuh hati yang pernah ku sayangi dulu. Tahukah kau andai kau tidak menggunakan sihir sekalipun, hatiku sememangnya milikmu! Kini aku berserah segalanya kepada Dia. Biar Dia yang menentukan sejauh mana untung dan ruginya nasibku. Aku tidak tahu, sampai bila aku harus terus menggalas beban penyakit yang kau tujukan pada aku ini, namun aku percaya, Tuhan sentiasa mendengar doa insan teraniaya.
Biarpun, hidupku menjadi tidak keruan dan huru hara sejak menerima jambangan ros darimu itu, aku tetap bersyukur. Ini mungkin adalah takdirku. Untuk kali terakhir, ingin aku pohonkan kemaafan serta keampunan daripadamu di atas segala keterlanjuran kata dan perbuatanku sepanjang kita bersama. Malah, dari jauh aku berdoa agar kau akan berubah hati dan seterusnya berpaling semula kepada kuasa Tuhan. Berdoa dan bertawakallah sayang kerana kudratnya lebih mengatasi segala-galanya.
Salam sayang, Nora, Ampang
Baca Kisah Catatan Menarik Lain
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment