Wednesday, February 18, 2009

Hinakah Saya Kerja Kilang?

SEMEMANGNYA, telah lama penulis menerima emel kiriman Amy (bukan nama sebenar), dan pernah diterbitkan tidak lama dulu. Tetapi, sengaja penulis muatkan di dalam ruangan ini untuk menjadi renungan kita semua. Terutama di kala musim kegawatan ini. Walau apapun, terima kasih kepadanya yang sudi berkongsi dukanya.

SAYA perlukan pandangan dari kamu semua. Jawapan untuk satu persoalan yang sejak dulu bermukim di benak, satu jawapan yang hingga sekarang buat saya tidak bisa tidur malam. Satu jawapan yang mungkin bakal merubah haluan hidup saya selepas ini...

Sejak kecil saya sudah lali menjadi bahan kutukan adik beradik. Sudahlah rupa tiada, ditambah pula dengan otak udang ( gelaran adik beradik), saya sering menjadi bahan lawak mereka. Tapi kini tidak cukup dijadikan bahan jenaka, saya sudah mula menjadi bahan umpat keji lantaran tidak layak memasuki mana-mana IPT atau IPTS.


Lahir sebagai anak ke tiga dari empat orang adik beradik. Memang saya agak rendah diri berbanding yang lain. Sejak dua tahun lalu, saya hanya bergelar pekerja kilang sedangkan abang sulung saya, Nizam kini sudah bergelar akauntan, Kak Salmi pula kini bakal bergelar cikgu sekolah menengah menjelang tahun hadapan. Manakala, adik lelaki bongsu saya pula kini sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Memang saya sedar, emak dan abah sedih kerana semua anak-anaknya yang lain berjaya menggenggam segulung ijazah. Sedangkan saya hanya mampu memberi mereka malu yang mungkin terlalu berbekas barangkali! Yalah! Mereka sendiri mengaku terpaksa mengambil cuti tiga hari apabila mendapat tahu kegagalan saya di dalam peperiksaan, alasannya malu kalau-kalau ditanya teman sepejabat.

Saya sudah kalis dengan semua sumpah keramat mereka umpamanya bodoh, bangang, tolol dan bermacam lagi hanya kerana kekurangan saya yang satu itu. Bila marah, tentulah semua perkara negatif tentang saya dilagukan semula. Memang sakit telinga hingga adakalanya terlintas di fikiran untuk lari membawa diri.
Memang waktu emak dan abah marah, saya hanya mampu berdiam diri dan adakalanya hanya linangan air mata yang mengiringi kekecewaan hati. Tetapi sebenarnya di dalam saya menjerit tidak puas hati! Adakah bergelar pekerja kilang itu hina?

Saya sudah terlalu memaklumi impian emak yang mahu saya bergelar doktor, jurutera atau pegawai bank. Malah, bukan saya tidak pernah berusaha untuk menggapai impian itu. Malah, seperti anak-anak lain, saya juga menyimpan impian untuk menjadi anak kebanggaan orang tua. Tetapi, saya akur kerana saya sudah melakukan terbaik dan saya telah lama redha dengan nasib saya ini.

Saya percaya, untuk berjaya di dalam kehidupan, tidak bermakna perlu bergantung sepenuhnya kepada taraf pendidikan. Hari ini, untuk berjaya macam-macam cara boleh dilakukan, asalkan rajin dan tidak mudah patah semangat, segala-galanya tidak mustahil.

Saya katakan begitu kerana sebenarnya saya begitu teruja untuk menjadi seorang jurusolek profesional. Malah satu impian hati saya adalah untuk mengikuti kursus solekan secara bertauliah. Tetapi tidak dibenarkan orang tua saya dengan alasan kerja itu haram.

Apabila emak dan abah mula menyentuh soal halal haram, memang saya sudah tidak mampu untuk mempersoalkan lagi, biar pun sebenarnya jauh di sudut hati saya membantah alasan mereka itu.

Terlalu banyak perkara yang membuatkan tidak bersetuju terhadap perkara-perkara yang mereka lebelkan sebagai haram. Tetapi tidak berani hendak berhujah panjang lantaran tidak cukup ilmu di dada.

Saya teringin untuk melihat orang tua saya membuka mata, hati dan cuba menyelami jiwa saya ini. Saya ingin mereka memahami dan usah terlalu enteng melebelkan sesuatu pekerjaan itu sebagai haram. Bagi saya, tidak salah menjadi jurusolek kerana ia satu pekerjaan yang baik juga. Hanya untuk peringkat permulaan, saya tidak ada wang untuk membiayai kursus.

Emak dan abah sanggup berhabisan puluhan ribu ringgit untuk membiayai pengajian abang, kakak dan adik saya belajar tetapi mereka sudah mengakui tidak akan sesekali berhabisan wang mereka semata-mata untuk kursus solekan profesional yang sangat saya idam-idamkan. Jadi, apa pandangan kamu?

1 comment: