Friday, July 10, 2009

Impian Musim 2

MASIH ingat lagi Aleeya? si gadis manis berusia 24 tahun yang baru setahun setengah berpindah ke Malaysia. Aleeya yang merupakan graduan dari Universiti Undang-Undang Melbourne merupakan adik tiri Kak Ju yang mempunyai keyakinan yang tinggi, sangat sukakan cabaran, sentiasa berfikiran positif dan memotivasikan dirinya.
Temui semula Aleeya dalam ‘Impian’ musim ke-2 yang bakal menemui penonton setia TV3, setiap Selasa mulai 14 Julai 2009. Kali ini siri ini mengetengahkan isu-isu persahabatan dan kekeluargaan yang lebih menyentuh perasaan.

Siri Impian 2 yang dibawakan oleh Sunsilk ini akan menemui penonton selama setengah jam sebanyak 26 episod. Diterbitkan oleh Red Communications Sdn. Bhd., siri ini mendapat gabungan sentuhan pengarah Shamyl Othman dan Imri Nasution yang menjadikan ianya sebuah sitkom yang lain daripada yang lain.


Siri ini masih mengekalkan pelakon Diana Amir sebagai pelakon utama yang memegang watak Aleeya yang turut dibantu oleh Wardina Saffiyah yang memegang watak Kak Ju. Turut membantu ialah Kamal Adli (Johan), Esma Daniel (Azri), Al-Hafiz (Kay), Junad (Nik), Azwan (Kechik), Liyana Hisham (Tuti), Lufyah (Lily) dan Nadiya Nisaa (Rehan).

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, Nurul Aini Abu Bakar berkata, “Siri Impian musim pertama sebelum ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kami gembira dengan sambutan penonton terhadap siri ini dan berharap siri Impian musim ke-2 ini juga mendapat sambutan yang sama.

Siri ini bukan sahaja menghiburkan malah ia memberi inspirasi kepada penonton terutama kepada golongan remaja yang baru memulakan hidup berkerja. Sebagaimana kami memberi inspirasi kepada penonton kami, siri ini menggalakkan kita berusaha menangani segala dugaan dan ujian tanpa berputus asa dalam mengejar impian.”


Manakala Penerbit Eksekutif Lina Tan berkata, “Musim baru ini menampilkan pelakon-pelakon baru, kisah mencuit hati dan mudah difahami,” ujarnya

Dalam Impian musim ke-2 ini, Aleeya mempunyai impian baru, iaitu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Dengan pengalamannya dalam bidang penulisan, minatnya yang mendalam untuk IT serta pembelajarannya sebagai hos dalam program TV ‘Life Can’t Wait’, Aleeya membuat keputusan untuk membuka syarikatnya sendiri, ‘GangofGirls TV’ yang menghasilkan program khas untuk internet.

Bersama dengan Kay, Aleeya menerbitkan program web berinspirasi ’Tentukan Hidup Anda’ dan program ’Layar Leeya’ yang mempamerkan isu-isu dekat di hatinya, yang merangkumi isu-isu seperti kebersihan alam sekitar, sindiket peminta sedekah dan isu soal hati! Menjayakan syarikat ini hanyalah salah satu daripada cabaran Aleeya musim ini. Dia juga menghadapi pelbagai cabaran dalam aspek hubungan barunya dengan teman lelakinya, Johan.

Bila Rehan muncul bersama Johan, Aleeya menjadi kurang selesa dengan perhubungan mereka. Lebih-lebih lagi apabila Rehan kelihatan terlalu mesra dengan Johan dan semua kawan-kawan Aleeya berpendapat bahawa Rehan berniat untuk merampas Johan dari Aleeya. Walaupun Aleeya mencuba sedaya upaya untuk berkenalan dengan Rehan, Aleeya masih merasakan yang Johan dan Rehan merahsiakan sesuatu daripadanya. Persoalannya, bolehkan Aleeya menerima persahabatan Rehan?

Kak Ju yang kini merupakan seorang ibu kepada 2 anak kembar cuba menyesuaikan diri dalam kehidupan barunya, iaitu menjaga anak–anak di rumah sementara Azri mengendalikan kafe/salon mereka. Konsep kafe/salon dicetuskan oleh Azri sebagai usaha untuk memajukan bisnes mereka. Kak Ju yang hampir kehilangan semangat disebabkan situasinya, akhirnya berjaya menangani masalahnya apabila mendapat idea bagaimana untuk mencapai kepuasan hidup yang diingini.

Kafe/Salon mereka menjadi lebih ceria dengan kehadiran Lily, seorang pendandan rambut yang mula bekerja di sana. Apabila Lily jatuh cinta, dia bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk mendapat perhatian buah hatinya. Malangnya, jejaka idamannya itu sudah berpunya dan Lily terpaksa akur.

Tuti, sepupu Azri yang muncul secara tiba-tiba di rumah Azri mempunyai misterinya sendiri. Tuti merupakan seorang gadis yang amat meminati bidang perekaan fesyen, namun telah hilang keyakinan diri dan patah semangat untuk meneruskan usahanya demi mencapai impiannya itu apabila gagal dalam satu peraduan. Bolehkah Aleeya memulihkan semangat Tuti?


Siri ini juga memberi peluang kepada penonton untuk menentukan pengakhiran setiap episod. Pada setiap episod, pengakhirannya akan tergantung dan penonton akan menentukan pengakhiran yang bagaimana menjadi pilihan mereka. Minggu yang berikutnya, siri akan bermula dengan pengakhiran yang telah dipilih oleh penonton. Melaluinya, penonton berpeluang memenangi hadiah mingguan dan 10 sms terawal dari penonton juga turut berpeluang memenangi hadiah.

Saksikan kisah lucu dan menyentuh hati persahabatan 4 orang gadis yang berbeza dan ikutilah perjalanan mereka dalam mengejar impian masing-masing melalui ’Impian’ 2 setiap Selasa, mulai 14 Julai 2009, jam 11.00 malam hingga 11.30malam hanya di TV3.

1 comment: