Tuesday, April 14, 2009

8 Dosa Cinta

KAMU dilamun cinta? Apa buktinya? Jangan ingat bercinta itu mudah! Lantaran ia bukanlah satu permainan yang boleh bermula dan berakhir sesuka hati. Oleh itu, bagi mempertahankan sebuah percintaan, jangan sesekali melakukan perkara yang tidak patut dalam cinta. Kamu perlu jujur dan tidak perlu berpura-pura. Tunjukkan sifat naturalmu dan percayalah pencinta yang setia akan sentiasa menerima kamu seadanya. Jadi, ESSE! nasihatkan kamu tidak melakukan perkara di bawah demi cinta kalian ok!

Cinta Simpati
Kamu tidak perlu menjadi dewa/dewi penyelamat untuk memaksa diri menerima cinta si dia. Perasaan ikhlas dan jujur itu semestinya tidak akan wujud dalam diri kamu seandainya simpati menjadi sebab mengapa kamu sudi bertaut cinta dengan si dia. Pastikan kamu menerima dirinya kerana kamu benar-benar suka dan lebih baik kamu berterus-terang padanya, jika perasaanmu cuma sekadar teman biasa. Si dia lebih kecewa andainya tahu kamu sebenarnya tidak mencintainya seperti mana dia mencintai kamu. Perlu ingat dalam cinta tiada paksaan semua orang berhak membuat pilihan mengikut naluri diri sendiri.

Bermain Mata
Sememangnya tidak dinafikan, cinta bukan penghalang untuk kamu meluaskan pergaulan tetapi ia memerlukan batasan sewajarnya. Jika mata kamu biasanya mudah saja melirik kepada jejaka/gadis lain. Walaupun niat kamu hanya sekadar untuk mencuci mata, namun ia sebenarnya boleh membawa kepada kecurangan. Mula-mula jeling-jeling, seterusnya berkawan dan tidak mustahil kamu akan jatuh hati padanya pula di kemudian hari. Hargailah setiap yang ada di depan mata. Tidak perlu menjeling pada yang lain selagi yang ada di depan mata kamu sudah cukup sempurna.

Hipokrit
Kamu tidak seharusnya berpura-pura tekun memasang telinga kala dia berbicara tentang perkara yang kamu tidak suka. Usah memaksa diri untuk berhadapan dengan semua itu kerana ia langsung tidak berfaedah. Fikirkan! Jika apa yang di cerita sebenarnya langsung tidak singgah di otak kamu, untuk apa terus menerus berpura-pura. Itu hipokrit namanya! Biarlah si dia sedar apa yang tidak kamu gemari dan mungkin di lain kali si dia takkan mengulangi perkara sama. Namun, perlu diingat, tegurlah secara baik dan janganlah sehingga membuatkan dia tersinggung dengan kritikan kamu itu.

Sanggup Menyerah Kalah
Kamu sanggup menyerah kalah ketika berlawan dengannya semata-mata mahu menjaga hati. Usah bimbang, tidak salah sekiranya kalian ingin bersaing dan tidak perlulah berpura-pura semata-mata untuk membuatkan si dia gembira. Hubungan kamu dan si dia akan menjadi lebih ceria andainya wujud persaingan sihat. Hari ini mungkin kamu mengalahkan si dia, mungkin di lain masa si dia pula yang akan mengalahkan kamu. Namun persaingan perlulah positif dan bisa menerbitkan variasi pada hubungan tersebut. Tetapi ingat, usah sehingga menjejaskan hubunganmu dan si dia hanya lantaran kalian terlalu serius bersaing.

Terlalu Merelakan Kesilapannya
Usah sesekali membiasakannya! Elakkan berdiam diri sahaja andai si dia melakukan sesuatu perkara yang tidak kamu sukai. Bukanlah menjadi satu kesilapan andainya kamu menegur perbuatannya yang kurang menyenangkan itu supaya si dia menyedari dan sanggup berubah demi kebaikan. Biarpun mungkin si dia sedikit tersinggung dengan teguran kamu, namun berterus-terang itu perlu untuk kebaikan kamu berdua untuk perhubungan lebih bermakna di masa hadapan.

Perlu Bersama
Adat kebiasaannya bagi kebanyakan pasangan bercinta, setiap waktu hanya mengidamkan masa berdua sahaja. Ke mana sahaja pergi tidak mahu ada orang lain mengganggu. Namun, ini tidak bererti teman-teman kamu harus singkirkan terus semata-mata kamu sudah menemui cinta yang menghiburkan. Apa salahnya kamu masukkan sekali si dia dalam kelompok teman-teman kamu agar si dia boleh membiasakan dirinya. Ada masanya memang kamu perlukan masa untuk berdua, tetapi janganlah asyik berdua sahaja kerana ia boleh menimbulkan rasa bosan juga.

Akrab Dengan Teman Si Dia
Kamu sememangnya perlu bergaul dengan orang-orang yang rapat dengan si dia supaya apabila kamu bersama si dia dan teman-temannya, kamu tidak mempunyai masalah untuk bergaul. Namun hati-hati supaya tidak terlalu akrab terutama dengan sahabat karib si dia. Ini boleh menimbulkan pelbagai rasa sangsi atau lebih teruk lagi kalau temannya jatuh cinta padamu. Oleh itu jalan yang paling baik berkawan setakat kenalan biasa. Jangan terlalu baik sehinggakan ambil berat makan minum dan kesihatannya. Daripada kamu terlalu baik sehingga ke tahap itu lebih baik kamu mengenali keluarganya dan berusaha merebut hati kedua ibu-bapanya.

Pura-Pura Tiada Cemburu
Kamu harus dapat membezakan antara sikap percaya dan berdiam diri apabila melihat si dia asyik berbicara dengan jejaka/gadis lain. Cemburu itu perlu ditunjukkan andainya ianya keterlaluan supaya si dia sentiasa menghormati kamu dalam apa jua keadaan. Apabila melihat si dia terlalu asyik berbual dengan jejaka/gadis lain kamu perlu tegur si dia dengan cara yang terbaik. Biar si dia tahu perasaan kamu ketika itu. Tidak perlu sorokkan perasaan kamu hanya semata-mata mahu menunjukkan sikap terbuka kamu sedangkan kamu sakit hati melihat kemesraannya bersama orang lain.

No comments:

Post a Comment