INDAHNYA kisah dongeng dulu kala, tidak kira betapa banyak halangan menerpa kisah cinta uda dan dara pastikan berakhir dengan bahagia. Namun itu cuma cerita manis pujangga, realitinya di dalam kehidupan hakikat itu tidak sama.
Bagaimana kehidupan, begitulah juga perhubungan. Adakalanya berolek tenang, namun ada ketikanya kita takkan mampu bertahan menepis masalah apabila tiada lagi ketelusan dan kejujuran.
Tidak semua individu kuat untuk menerima tamparan yang diterima dari perpisahan. Bagi yang pernah merasa tentu sudah sedia memaklumi. Mungkin kamu juga pernah terluka, atau sedang terluka barangkali?
Dilukai memang perit. Tapi bagi kamu yang berhasrat untuk melukai bagaimana pula? Walaupun sekukuh mana perhubungan jika tidak disulami bunga-bunga bahagia takkan ada maknanya. Jadi, sekiranya tiada bahagia antara kamu dan dia haruskah kamu terus berharap dia berubah?
Ramai berpendapat perpisahan itu adakalanya perlu apabila tiba ketikanya. Biarpun momen itu pahit dan sukar di tempuhi namun adakalanya kita perlu sedar mungkin itu adalah resolusi terbaik bagi diri kita.
Kamu perlu sedar adakalanya kejujuran tidak akan memulihkan keadaan, lebih teruk ia hanya akan mengundang lebih banyak penderitaan. Tiada kesudahan jika terus berlagak bahagia jika itu semua hanya pura-pura. Jadi, apa kata kuatkan semangatmu, Frenz sedia membantu.
Harapan Palsu
Usah sesekali mengelak dari masalah yang di hadapi. Bersedia untuk berterus-terang. Yakinkan si dia bahawa perkara itu bukanlah sesuatu yang menyeronokkan bagi kalian berdua. Jangan memberi harapan palsu kerana itu hanya akan menambahkan lagi penderitaan yang dirasai.
Mencipta Pembohongan
Mengada-adakan cerita tentang sesuatu untuk melegakan hati si dia bukanlah satu tindakan yang bijak. Kamu hanya mencipta dan mungkin akan menambah masalah sekiranya semua pembohonganmu itu terbongkar. Buruk padahnya nanti.
Bukan Kita Yang Bersalah, Keadaan Yang Memaksa…
Biasa dengan klausa inikan. Ayat inilah yang sering digunakan oleh insan bercinta yang inginkan perpisahan. Tetapi, sebenarnya, sikap suka menyalahkan pasangan atau perkara lain ini benar-benar menunjukkan kementahan kamu dalam menangani masalah. Lebih baik belajar untuk bertanggungjawab terhadap semua tindakan dan lebih sensitif terhadap kehendak sendiri. Selain itu, baik juga jika kamu tidak perlu memberikan apa-apa alasan. Lagipun, cara ini akan memudahkan dia menyedari sikapnya yang tidak disukai kamu dan seterusnya akan cuba memperbaiki diri.
Melengahkan Perpisahan
Memang sukar melafazkan perpisahan, rasa simpati dan bersalah tentunya akan tambah menyukarkan. Tetapi, janganlah sampai kamu sengaja melengah-lengahkan waktunya. Fikirkan, lambat atau cepat, saat-saat itu tetap akan tiba dan kamu tetap akan juga mengecewakan si dia. Lagipun, sekali terlintas di fikiranmu untuk berpisah, sudah tentu sesuatu telah terjadi pada hatimu. Si dia akan tahu juga akhirnya dan tak mungkin dapat kamu selindungkan lagi.
BAGAIMANA MEMBINA HUBUNGAN BARU
Jika kamu menemui seseorang untuk kali pertama, mungkin akan ada sedikit tekanan. Jangan biarkan semua kerisauan yang dirasakan itu membuatkan kamu hilang fokus dan lupa untuk merancang sebagai penyelamat kala memerlukan.
Biasanya, pertemuan pertama memerlukan kamu saling bertolak-ansur. Biarpun kamu rasakan sudah benar-benar mengenalinya ketika berchatting di internet, tetapi jika kamu mengambil langkah berjaga-jaga, tentunya ia adalah idea yang lebih baik. Misalnya dengan memandu berasingan ke lokasi temujanji, memberitahu teman di mana kamu akan berada ataupun rancangkan first date kalian itu di restoran yang agak terbuka.
Sebenarnya cinta internet juga boleh kekal lama hanya dengan perancangan mudah. Bermula dari berchatting, seterusnya berbual di telefon, kamu sebenarnya sudah hampir berjaya untuk melangkah ke tahap perhubungan yang lebih bermakna. Jika kamu pasti untuk bertemu janji kali pertama jangan lupa untuk mempraktikkan beberapa tips keselamatan di bawah. So, selamat mencuba!
-Jangan sesekali pergi ke kawasan yang sunyi. Lebih baik jika kamu terus saja berbual di kawasan terbuka.
- Jangan membawa atau menjemput temanmu balik ke rumah
- Jangan mengambil minuman beralkohol kerana ia akan mempengaruhi kewarasan kamu membuat pilihan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment