Monday, April 13, 2009

Hady Mirza Menjulang Populariti

NAMANYA melonjak sejak dinobatkan sebagai juara musim kedua Singapore Idol (SI) setelah berjaya mengaut 70% daripada lebih kurang sejuta undian para penonton televisyen di negara itu. Manakala, pada 16 Disember 2007 pula, dia sekali lagi berjaya merangkul gelaran juara menerusi program realiti Asian Idol dan telah menewaskan lima yang lain dari Indonesia, India, Filipina, Vietnam dan Malaysia.


Ya, mungkin juga namanya kurang popular di Malaysia, namun bagi mereka yang mengikuti perkembangan industri hiburan tanah air, pastinya akan mengingati jejaka kelahiran Singapura ini pernah dikaitkan dengan pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin. Siapa lagi jika bukan Hady Mirza.

Sejak berusia 8 tahun, Hady sudah mula jatuh cinta terhadap bidang nyanyian. Malah, minatnya itu tertumpah kepada semua jenis genre muzik. Ini memandangkan baginya ia adalah antara cara beliau meluahkan emosi dengan bebas.

Lantaran itu, menerusi Singapore Idol Hady ternyata berjaya mempamerkan kebolehannya untuk menyanyi lagu R&B, Pop, Rock dan juga berentak Soul. Malah, Bohemian Rhapsody daripada Queen adalah lagu yang benar-benar berjaya menonjolkan kredibilitinya sebagai penyanyi berkaliber memandangkan keupayaannya untuk menjiwai lagu itu serta cara penyampaiannya yang menarik hati peminat.

Album Hady yang pertama, yang bertajuk Hady Mirza, telah dikeluarkan di Singapura pada 13 November 2006 dan dia menerima anugerah Platinum selepas 4 hari albumnya dikeluarkan.

Sebelum bergelar penyanyi, Hady hanyalah seorang penyanyi pub. Biarpun, cita-citanya sejak kecil ialah untuk bergelar pemain bola sepak profesional. Namun, semakin usianya meniti dewasa, jiwanya semakin dekat dengan muzik. Bahkan, dia sering mengimpikan dapat menjadi sehebat penyanyi-penyanyi kegemarannya seperti Lion King, Robbie Williams, Babyface, Boyz II Men, Peter Cetera dan Jamie Cullum.

Sudah menjadi adat resam, juara bagi setiap pertandingan realiti TV sudah pasti akan dibanding-bandingkan. Hady Mirza juga tidak terlepas daripada tempias itu apabila dirinya turut dibandingkan dengan juara SI musim pertama, Taufik Batisah.
Namun bagi Hady, dia sememangnya tidak boleh lari apabila ramai yang cuba membandingkan dirinya dengan Taufik. Malah, dia sendiri mengakui penat dengan keadaan itu.

Tentang Hady Mirza
Nama penuh: Muhammad Mirzahady Bin Amir
Nama Samaran: Hady Mirza
Tarikh Lahir: 28 Januari1980
Hobi: Bermain bola, melayan tetamu dan menggoreng telur dadar
Album: Hady Mirza, diedarkan pada 13 November 2006
Lagu Popular: You Give Me Wings, Freedom 90, What's Left
Prinsip Hidup: Tiga perkataan yang menggambarkan diri Hady ialah 3S's iaitu, mudah, tabah dan degil (simple, strong-willed and stubborn)

No comments:

Post a Comment