SUDAH menjadi satu kebiasaan, ruang tamu merupakan antara ruang penting yang perlu diutamakan penataannya. Selain perlu tampil menarik dan cantik, fungsinya juga perlu lebih praktikal dan sesuai dengan konsep yang diketengahkan.
Jadi bagaimana dan di mana perlu dimulakan? Tentu inilah antara persoalan yang sentiasa timbul ketika kamu berhasrat menghias kediaman. Jika rumah baru tentulah tidak banyak masalah untuk menata riasnya, kamu boleh terus memulakan kerja menghias berdasarkan fungsi dan keperluan yang sudah dirancang. Tetapi, sesungguhnya memilih konsep yang benar-benar sesuai dengan jiwa adakalanya memang memeningkan kepala.
Terdapat pelbagai jenis konsep yang boleh diketengahkan pada setiap ruang kediaman, umpama trend berpakaian, begitu juga konsep moden yang kini sedang melalui satu pembaharuan dan penerimaan semula. Sama ada moden, klasik, kontemporari mahupun urban, tepuk dada dan tanyalah pada seleramu.
Namun, sebelum meneruskan impian untuk melaksanakan konsep idaman, ketahuilah bahawa kamu tidak digalakkan menghias ruang tamu secara berlebihan hingga ruang tersebut menjadi sesak dan sarat dengan barangan dan aksesori yang tidak perlu. Walaupun keberkesanan penggunaan sesebuah ruang tidak seharusnya diukur berdasarkan saiz ruang tersebut dan ia bergantung kepada bagaimana anda menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada tetapi ada baiknya anda tetap mengambil kira masalah tersebut.
Selain itu, faktor-faktor seperti siling tinggi, tingkap yang luas dan aspek seni bina adalah antara unsur utama yang mempengaruhi sesuatu gaya hiasan. Kamu juga perlu tahu fungsi sebenar ruang tamu tersebut. Dengan mengambil kira perkara-perkara tersebut akan membantu untuk menghias ruang tamu secara lebih praktikal dan sesuai dengan fungsinya.
Siling Tinggi
Bagi kamu yang mempunyai dilema menata ruang dengan siling tinggi, terdapat banyak cara memastikan dekorasi ruang terutama pada masalah dindingnya dapat diatasi. Faktor-faktor seperti bagaimana kita mampu menempatkan elemen utama agar dinding tidak kelihatan janggal dan luas misalnya, kamu boleh memasang rak buku tinggi serta cermin berukuran besar. Ini memandangkan fungsi cermin mampu menambah efek visual yang menarik, menciptakan semacam jendela kecil yang merefleksikan gambaran di sekitarnya. Selain itu, langsir bercorak dengan potongan yang sesuai juga boleh menutup ruang tingkap yang tinggi dan luas selain mewujudkan keindahan seri dengan coraknya yang berwarna-warni.
Titik Tumpuan
Apabila kaki melangkah ke ruang tamu, mata tiba-tiba sahaja tertumpu ke bahagian dinding tertentu. Bagi kamu, tarikannya ternyata mampu memikat mata dan hati kamu. Inilah yang dikatakan titik tumpuan sesebuah ruang yang sebenarnya berfungsi untuk mencuri perhatian dan tumpuan. Susunan perabot di ruang tamu sebaiknya menghadap ke satu objek yang boleh dijadikan titik tumpu. Contoh titik tumpu yang boleh diwujudkan ialah sebingkai cermin hiasan dinding yang menarik dan unik, bingkai gambar, atau menghadap ke arah tingkap kaca besar bertentangan taman atau landskap.Selain itu, ia juga boleh diwujudkan di dinding, sekitar kabinet hiasan atau di meja kopi, semuanya bergantung kepada kreativiti dan daya ilham penghuninya untuk menyerlahkan apa sahaja unsur yang mampu memberi kesan.
Ruang Terhad
Bagi kamu yang mendiami rumah yang berkeluasan terhad, sudah tentu penataan ruang menjadi masalah utama. Sebenarnya, sama ada suka atau tidak, gaya ringkas adalah tatarias paling baik untuk ruang terhad. Ruang kecil sebenarnya akan nampak lebih kemas, teratur dan besar jika bijak mengolahnya. Selain itu, pemilihan perabot juga perlu teliti bagi mengelakkan kesesakan tanpa fungsi khusus. Ruang lebih lapang sekiranya kamu boleh membuang perabot yang tidak perlu dan mengenepikan aksesori yang tidak sesuai. Bagi yang gemar bekerja di ruang tamu, kamu tetap boleh menyisipkan meja kerja asalkan tidak dibiarkan berserabut.
Dwifungsi Ruang
Bersesuaian dengan ruang untuk sesetengah kediaman seperti rumah flat, apartmen atau kondo hari ini, ruang tamu diwujudkan dengan fungsi yang pelbagai. Misalnya, ia menjadi ruang untuk berehat selain ruang tidur, berkumpul dengan teman dan saudara, ruang bekerja atau ruang menonton. Kehadiran televisyen biasanya akan mewujudkan keselesaan yang lebih. Bagi ruang tamu yang memiliki pelbagai fungsi seperti ini, susun atur dan pemilihan perabot juga perlu lebih ringkas dan selesa. Misalnya, kamu boleh menyusun kerusi mengadap kabinet televisyen manakala meja kopi diletakkan di tengah-tengah. Pastikan aksesori di gantung di dinding agar suasana tidak kelihatan hambar.
Hiasan Aksesori
Tiada masalah sekiranya kamu memiliki ruang tamu lapang, gaya dan susun atur perabot boleh dihias bebas. Namun, sebaliknya pula pada ruang tamu berkeluasan terhad, kamu perlu berhati-hati memilih tempat untuk mempamerkan perhiasan tambahan. Selain itu, gantungan gambar berbingkai juga perlu diseimbangkan dengan deretan perabot berukuran besar selain perlu kelihatan serasi dengan konsep dan perabot yang diketengahkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment