Assalammualaikum! Tiba-tiba sambil mataku meliar melihat jualan murah di butik pakaian PDI, aku dikejutkan dengan suara dan sentuhan lembut di bahu. Aku segera berhenti dan berpaling mencari suara yang begitu familiar. Seorang perempuan berdiri betul-betul membelakangiku.
“ Ini Nadiakan? Terukir senyuman manis pada raut wajah yang cengkung itu. Aku pula! Bagaikan hampir luruh jantung! Serta merta babak kenangan lama hinggap di ingatan.
“ Alin! Aku terjerit kecil, lantas kami saling berdakapan gembira tanpa memperdulikan mata-mata yang memandang. Ada sebak yang tiba-tiba bertamu di dada ini. Lama kami berpelukan. Masih terasa kehangatan yang menjalar di segenap uratku. Bagai hangatnya kasih yang kami bina hampir 10 tahun lalu.
“ Apa khabar Nadia? Kau sihat ke?Dia masih menggenggam erat jemariku. Aku hanya mampu mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum. Lidahku bagaikan kelu, tak mampu untuk berkata-kata. Hanya air mata yang mampu meluahkan betapa pertemuan ini menjadi satu anugerah paling bermakna untukku.
“ Bila lagi ada di KL? Aku menarik tangan Syazlin ke tepi. Rupa-rupanya beberapa ketika itu tanpa sedar kami telah menambahkan kesesakan kerana menghalang laluan orang ramai. Itupun mujur aku cepat tersedar kerana terdengar bebelan beberapa orang yang lalu lalang di situ.
...................................................
Aku baru saja selesai solat Isyak bila lagu Januari dendangan Glenn mengejutkan sunyiku. Ku alih pandangan ke arah jam di dinding. Baru jam 9 malam. Suara Glenn menjerit-jerit lagi, lantas aku bingkas bangun mencapainya. Tertera nama Syazlin di skrin. Aku tersenyum, baru petang tadi bertemu, malam ini dah telefon. Seperti dulu-dulu, tidak pernah kering idea kami bersembang, lepas satu...satu, lepas satu...satu!
“ Nadia, buat apa tuu? Kedengaran suara haluss dari sana.
“ Kau kat mana ni? Bising je dengar?
"Nadia, kita jumpa jap boleh tak? Aku ada hal nak bincang dengan kau kejap! Aku mengerutkan wajah. Pelik juga bunyinya. Sedangkan baru petang tadi kami berbual panjang.
“ Hal apa Alin cemas saja bunyinya tuu? Aku cuba menduga.
“ Tolonglah Nadia, penting sangat! Dengan suaranya yang perlahan dia merayu-rayu.
“ Oklah, kalau macam tuu kita jumpa kat tempat semalam dalam sejam lagi! Aku memberi cadangan.
“ Ok! Terima kasih Nadia! Ada nada ceria di suaranya. Tanpa sedar ada senyuman yang terukir di bibirku bila tiba-tiba sahaja semua memori kami dulu berlegar di kepala.
“ Ok. No hallah...kita kan kawan baik!”
“ Ok! Klik. Syazlin mematikan telefon bimbitnya. Aku pula segera bingkas bangun dari tikar sembahyang dan mula berdandan seadanya.
“ Tiada masalah yang yang tidak boleh diselesaikan Alin, kau patut lebih banyak bersabar jika masih sayangkan dia,” ujarku sugul sambil terus meneroka wajah pucat Syazlin yang semakin ketara cengkungnya.
“ Entahlah Nadia, aku betul-betul bingung , tak tahu apa yang patut aku buat. Aku betul-betul kasihankan Sarah!” Aku mendongak menyorot ke mata Syazlin sambil mengerutkan dahiku.
“ Sarah? Siapa Sarah? Ada keluhan berat yang mengiringi pertanyaanku itu, dia mendongak merenungku sambil cairan jernih mula bergenang di pelupuk matanya.
“ Anak kami Nadia, dia baru empat tahun, terlalu kecil untuk memahami semua penderitaan yang ditanggung mamanya ini!
“ Syazlin! Spontan aku menarik jemari Syazlin dan menggenggamnya erat. Dalam sebak dia tersenyum tawar sambil mengangguk-anggukkan kepalanya dengan lemah.
“ Aku perlu mencari dia Nadia! Kami perlu berbincang! Itulah sebabnya kau bertemu aku di sini!”
“ Alin, aku tak tahu..!” Tiba-tiba Syazlin memotong kata-kataku.
“ Nadia! Aku sendiri tak tahu apa yang telah terjadi antara kami! Aku tak tahu di mana silapku hingga dia sanggup meninggalkan kami tergantung seperti ini!
“ Memang dasar jantan sial! Alin, kalau begini keadaannya...aku nasihatkan kau tinggalkan saja dia, bina hidup baru bersama Sarah! Syazlin hanya tersenyum kelat mendengar kata-kataku. Terima kasih Nadia...” Syazlin menggenggam jemariku. Terasa kehangatannya!
“ Untuk apa?
“ kerana tetap menyokong aku seperti dulu...!” Hanya senyuman tawar yang mampu aku berikan padanya.
“ Kita sudah seperti adik beradik Alin, kau tahukan aku tetap ada ada di belakang kau walau apapun terjadi! Ku lihat Syazlin hanya mampu merenung jauh, entah apa yang difikirkan, mungkin mencari jawapan yang entah di mana pengakhirannya.
.........................................
Hari ini tugasku di pejabat agak memenatkan. Aku bercadang untuk terus pulang ke rumah. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan getaran telefon bimbit dari dalam beg tangan yang tersandang di bahu. Apa lagi, mesejlah tuu...! Aku tersenyum sendiri apabila melihat mesej yang tertera di skrin.
Hi syg, abg confirm blk bln dpn, i really mis u – cyg, Ikmal
Aduh!! Tak sabar rasanya menantikan saat untuk dia kembali! Dalam pada itu, hatiku terasa berbunga bahagia. Empat tahun bukanlah jangka waktu yang singkat. Bahkan apa saja boleh berubah dalam waktu itu. Apatah lagi tiada paduan janji antara aku dan dia sebelum ini. Malah, terus terang aku langsung tidak pernah bermimpi untuk dipertemukan semula dengan kekasih hatiku itu.
Apatah lagi waktu itu kami sentiasa tidak mendapat peluang untuk mengenali satu sama lain. Walaupun belajar di universiti yang sama, kami jarang sekali dapat bersua wajah, Cuma adakalanya kami terserempak dan hanya saling membalas pandang dan senyuman.
Mungkin juga waktu itu rasa malu masih menebal di dalam diri, hingga kami terpaksa memendamkan perasaan masing-masing. Ikmal... insan yang pernah cuba aku lupakan tapi hakikatnya mungkin jodoh kami begitu teguh untuk bersama.
Indahnya saat bercinta...tapi bila sudah berkahwin, lain pula jadinya! Tapi aku pasti Ikmal takkan sesekali mengecewakan aku, apatahlagi kesungguhan yang ditunjukkannya sejak kami bertemu semula lebih setahun lepas.
Tiba-tiba saja aku teringatkan Syazlin. Kasih pada temanku itu tidak pernah pudar. Malah, tidak pernah aku terfikir untuk bertemu dia selepas lebih 10 tahun terpisah oleh keadaan waktu itu yang ketika itu begitu menghimpit.
Kasihan Syazlin, sejak dulu hidupnya sering dilanda derita, bermula daripada kematian ibu bapanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika kami di tingkatan empat. Segala-galanya berubah mendadak. Dia terpaksa berpindah mengikut ibu saudaranya berpindah ke Johor. Sejak dari itu, bermulalah detik perpisahan kami.
Kini, dia dilanda masalah lagi. Namun, perempuan mana di dunia ini yang meminta untuk bertemu jodoh dengan lelaki yang kaki perempuan dan kaki pukul seperti itu! Manis kala bercinta tidak bermakna ia akan kekal apabila bersama. Hakikat itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.
Menurut Syazlin, selepas dia berpindah ke Johor, dia telah berhenti belajar memandangkan ibu saudaranya tidak lagi mampu untuk menyara persekolahannya. Lantas Syazlin bekerja di kilang dan di situlah mereka bertemu dan seterusnya mengikat kasih dan mendirikan istana bahagia.
Akhirnya, perkenalan yang hanya tiga bulan itu telah diakhiri dengan ikatan janji untuk sehidup semati. Namun, semua itu menurut Syazlin cuma mampu bertahan selama dua tahun saja. Selepas sarah lahir, semuanya mula berubah!
Ahhh...Segalanya masih segar diingatan, tiap kenangan pahit dan manis itu yang pernah kami lalui bersama...bagaikan baru semalam ia berlalu. Kini, selepas mengetahui kisahnya itu aku jadi pedih dan marah pada lelaki dayus itu.
....................................................
Sebulan berlalu, petang ini Ikmal akan kembali ke Malaysia selepas hampir sebulan dia di China. Aku tersenyum sendiri... bolehlah aku perkenalkan Sarah pada Ikmal yang memang aku tahu begitu sayangkan kanak-kanak.
Selepas hampir setiap hari aku bercerita kisah dua beranak itu kepada Ikmal, dia juga ternyata teruja untuk bertemu Sarah, katanya si kecil itu bagai mengingatkan dia pada seseorang! Malah, jangan katakan Ikmal, si kecil itu pun sudah seperti anakku sendiri. Semua permintaannya akan sedaya upaya kutunaikan!
“Nadia, aku ingat nak balik Johor esok pagi, sudah hampir sebulan lebih aku di KL, tapi papa Sarah masih entah di mana. Aku rasa baik kami balik ke Johor dahulu, takut mungkin dia kembali ke kampung untuk cari kami,” Syazlin mengelus-ngelus rambut Sarah yang menari-nari ditiup bayu petang.
“ Ikut suka kaulah Lin, Aku tak kisah pun kalau kau nak terus tinggal dengan aku kat sini. Sarah pun sudah seperti anakku sendiri, lagipun aku nak perkenalkan korang dengan Ikmal!”
“ Ikmal? Tiba-tiba Syazlin merenung tajam kepadaku. Aku tersenyum tawar melihat reaksinya yang tiba-tiba seperti orang kehairanan.
“ Yelah, Ikmal yang selalu aku ceritakan tulah...” kataku lagi.
“ Ohhh... lelaki yang kau jumpa di universiti dulu tuu!” Sengaja Syazlin memuncungkan bibirnya...Sarah Cuma ketawa nakal melihat keletah mamanya. Aku turut tersenyum, sekadar berkongsi kebahagiaan sementara bersama insan-insan paling kusayangi ini.
“ Alin...sampai bila kau nak menunggu si Din tu? Tiba-tiba saja soalan serius terbit dari bibirku. Syazlin juga ku lihat segera bertukar mood! Serius!
“ Entahlah...aku masih sayangkan perkahwinan ini!
“...walaupun dia langsung tidak pedulikan kau dan Sarah?
Kau sendiri dah lama sedar lelaki jenis apakah dia tuu!” Aku mendengus, bengang juga dibuatnya bila mendengar Syazlin masih terus mengharapkan lelaki bodoh tuu!
“ Aku masih percaya, Ikmal Shaudin masih sayangkan cinta kami, walaupun kebahagiaan itu hanya mampu bertahan untuk dua tahun. Tapi sekurang-kurangnya Sarah adalah bukti kasih kami berdua!” Ada nada sebak dari suaranya. Aku pula bagaikan terpana mendengar kata-kata Syazlin sebentar tadi. Tapi tak mungkin segala persoalan yang tiba-tiba hinggap di kepalaku itu benar! Aku bagaikan tidak percaya!
.....................................................
Pagi itu hujan renyai-renyai. Bagai turut merasai kepedihan hatiku. Dalam waktu yang sama aku telah kehilangan tiga orang yang paling aku sayangi dari pandangan mata. Hanya air mata yang mampu meluahkan segala perasaan yang terbuku di dada dan semakin menyendat ini. Kami bertiga berpelukan erat. Sarah pula asyik merengek-rengek supaya aku mengikut mereka. Kini, aku kembali sendiri. Walaupun perpisahan ini hanyalah sementara tapi bukanlah perpisahan ini yang aku tangisi!
Mal, x perlu cari Nadia slps ni. Kt clash! Mgkn mmg kt x ada jdh – Nadia
Ku gagahi menekan kekunci send walaupun seluruh tubuhku gementar yang amat sangat. Sama ada aku rela atau tidak, aku harus tabahkan hati menerima keputusan yang telah kubuat ini. Memang aku pasti ia bukan satu kesilapan. Malah aku yakin selepas melihat dengan mata kepalaku sendiri foto yang tersimpan rapi oleh Syazlin di dalam dompetnya. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan getaran telefon bimbit digenggaman. Kubuka dua mesej yang masuk bertalu-talu itu...
Why ...Mal sentiasa setia! Apa silap Mal?
Ada titisan air mata yang jatuh. Aku melepaskan keluhan paling berat. Memang aku amat menyintai lelaki ini... tapi aku tak sanggup...
Silap Mal hanyalah kerana Mal bernama Ikmal Shaudin!
Tap! Aku terus mematikan telefon bimbitku selepas menghantar sms itu...biarlah ia meenjadi mesej terakhir dan penamat bagi segala-gala yang berlaku. Bas yang ku naiki mulai bergerak, laju dan semakin laju meninggalkan kota yang curang ini! Di luar hujan renyai-renyai kian berhenti.
Nukilan,
fidalia
No comments:
Post a Comment