KALA bercinta pastinya pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa dihadapi untuk menguji sejauh mana keteguhan hubungan pasangan yang sedang masyuk bercinta. Setelah hubungan yang terjalin semakin erat, pastinya akan berputiklah cinta di hati. Kamu akan menjadi semakin sayang padanya.
Jika sesekali ada rajuk manja, itu sudah menjadi lumrah dan kebiasaan. Namun, jika berpanjangan dan si dia nampaknya sentiasa mengelak setiap kali diajak berbincang tentang masa depan, kamu perlu realistik dan inilah waktunya untuk kamu mengkaji semula sejauh mana keteguhan cinta kalian berdua. Dalam kata lainnya, kamu perlu tahu membezakan sejauh mana usaha yang perlu dikorbankan demi mempertahankan jalinan kasih itu. Tapi bagaimana?
Kebimbangan Yang Tidak Realistik
Sebagai pasangan kekasih, mungkin sesetengah dari kamu pernah berdepan dengan si dia yang enggan memberi komitmen dalam perhubungan kalian. Ini memandangkan ketidaksediaan si dia untuk serius berfikir tentang masa depan apatah lagi untuk melangkah lebih jauh di dalam hubungan kalian.
Sekiranya dahulu si gadis begitu takut akan kehilangan seorang lelaki, tetapi kini ada juga lelaki begitu. Mereka terlalu serius pada sesebuah hubungan kerana takut akan kehilangan gadis idaman mereka. Fenomena ini tetap juga berlaku pada seorang perempuan.
Si teruna hari ini sudah bijak bergaya dan menggoda wanita dengan wang ringgit. Manakala, si dara pula beranggapan saham mereka semakin tinggi dengan adanya paras rupa dan tubuh yang seksi, jadi mereka lebih gemar memilih dan inginkan kebebasan dalam membuat keputusan serta menentukan perancangan hidup mereka sendiri.
Oleh itu, sebagai pasangan kamu perlu mengkaji ego kekasihmu itu. Ini memandangkan setiap insan yang tercipta telah dibekalkan dengan ego mereka tersendiri. Sikap semulajadi itu menyebabkan mereka lebih suka si kekasih hanya menurut kata dan bukannya memerintah.
Malah, mungkin keseronokan kehidupan bujang, menyebabkan mereka sering dihantui oleh ketakutan untuk melangkah ke dunia baru dan terpaksa memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami dan hilang kebebasan yang selama ini dapat dinikmati sepenuhnya.
Sebenarnya perasaan itu sama sekali tidak realistik memandangkan dalam membina sebuah perhubungan yang serius, pasangan masih boleh bebas menjalani kehidupan mereka, cuma apa yang perlu ditanam adalah rasa kepercayaan dan saling memahami batas-batas tertentu bagi mewujudkan istilah pasangan bahagia.
Apa Yang Perlu Kamu lakukan?
Sememangnya bukanlah satu perkara mudah untuk mengubah persepsi dan gaya berfikir seseorang. Apatah lagi apabila ia melibatkan komitmen seseorang. Kamu perlu tahu si dia akan berkomitmen sekiranya kamu:
Bersikap Tidak Mengongkong
Sekiranya kamu ingin menjadi kekasih yang baik, kamu perlu sedar tidak sepatutnya kamu terlalu mengongkong dan mengawal hidupnya. Memang tidak salah jika kamu sekadar ingin membantu dan merencana masa depan dengannya tapi itu bukanlah satu ketentuan yang boleh kamu tentukan.
Kamu perlu sedar, segalanya bergantung kepada takdir dan jodoh. Malah, tidak adil sekiranya kamu bersikap dominan kerana menganggap kamu disayangi dan perlu diutamakan! Sebagai seorang manusia, si dia juga memerlukan ruang untuk diri seperti orang lain. Malah, apa yang lebih memburukkan keadaan jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil si dia akan memberontak dan memprotes tindakan kamu.
Mencipta Perubahan Baru
Pasangan kekasih yang benar-benar setia sememangnya cepat bosan jika orang yang dicintai sering bersikap rambang mata dan suka menggoda. Selain daripada perhatian yang diperlukan, mereka biasanya lebih suka sikap yang spontan dari pasangannya.
Pada hakikatnya, sesebuah hubungan sebenarnya memerlukan perubahan agar ia tetap hangat. Ini semua bergantung kepada kreativiti kamu dan bagaimana cara kamu untuk mewujudkan hubungan mekar di dalam sesebuah hubungan. Namun, perubahan dan pembaharuan bukan hanya sekadar fizikalnya sahaja, malah cara berfikir dan impian kamu itu akan membuatkan personaliti kamu semakin menarik.
Beri Ruang Si Dia Berdikari
Tidak semua orang yang gemar kekasihnya terlalu bergantung kepadanya dalam menghadapi sebarang masalah. Bagi sesetengah perkara, ada antara mereka yang lebih gemarkan kekasih berdikari dan bijak membahagi waktu bersama teman-teman.
Berilah peluang si dia mendampingi teman-temannya. Malah, kamu juga perlu buktikan bahawa kamu juga tidak terlalu bergantung kepada si dia.
Namun, jika masalah yang melanda kamu itu terlalu sukar dan kamu benar-benar memerlukan bantuan si dia, usah ragu-ragu untuk meminta nasihat. Usah mengabaikan keinginan si dia untuk membantu kamu.
Mempercayai
Sering berlaku di dalam perhubungan, masalah tiada kepercayaan antara satu sama lain akibat dari rasa cemburu dan kekhuatiran. Ingat! Ia lambat-laun boleh menjejaskan hubungan kamu berdua. Mungkin selama ini apabila mendapat reaksi dingin darinya tentang sesuatu membuatkan kamu sering berfikiran negatif terhadapnya. Mungkin juga apa yang sentiasa ada di benak kamu sekarang ini adalah kecurangan si dia dibelakang kamu dan selama ini orang yang kamu sayangi itu hanya berpura-pura walaupun hakikatnya belum dapat kamu buktikan.
Dalam menghadapi saat begini, kamu perlu ingat, seandainya si dia tahu apa yang kamu fikirkan tentangnya, jangan harap dia akan memberi komitmennya pada kamu. Sebenarnya, si dia mungkin memiliki keinginan yang sama terhadap kamu, tapi mungkin ada sikap kamu yang membuatkan dia berasa ragu untuk mencurahkan sepenuh komitmennya. Fikirkanlah...
Usah Terlalu Berharap
Apa lagi alasan yang kamu rasakan si dia sudah tidak menghargaimu? Dia sering lupa pada tarikh penting kalian? Inikah yang buat kamu kecewa? Tapi di dalam kes ini berkemungkinan si dia sebenarnya sedang menghadapi masalah hingga tidak lagi dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap hubungan kalian. Bertanyalah dengan lembut, dan elakkan daripada berkasar dengannya. Apapun, kamu patut tahu untuk membezakan perkataan komitmen dan mengongkong.
Bagi memastikan si dia sanggup untuk berkomitmen, kamu juga sebenarnya perlu menyumbang usaha dan memainkan peranan penting. Namun, paling penting kamu jangan terlalu berharap si dia akan berubah dan jika keadaan memaksa kamu patut bersedia dari segi mental untuk menghadapi apa saja kemungkinan.
Apa yang perlu ada pada kamu? Paling penting kamu perlu lebih proaktif untuk memastikan si dia benar-benar ikhlas untuk menjadi pasangan kamu dan bukan sekadar suka-suka semata. Selain itu, apa kata kamu bantu si dia untuk merencanakan masa depan. Ingat sekadar MERENCANA dan bukan MENENTUKANNYA!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment