Monday, April 13, 2009

Inspirasi Warna Pada Ruang Tamu

BAGI kamu yang berhasrat mengundang dan meraikan sahabat handai serta jiran tetangga, sudah tentu mengharapkan kediaman mereka untuk tampil lebih sempurna dan memukau pandangan tetamu.

Selain perabot dan susun atur, penampilan dinding rumah sebenarnya berpengaruh besar dalam mencantikkan sesebuah ruang kediaman. Jadi bagaimana? Cuba kamu perhatikan dinding rumahmu. Adakah masih elok dan bersih?


Sebenarnya, sebelum memilih kamu perlu mengetahui terlebih dahulu kesesuaian warna dengan penggunaan bilik. Bagi ruang tamu yang merupakan nadi kepada sebuah rumah. Kamu perlu menentukan terlebih dahulu gabungan warna dengan koleksi perabot dan perhiasan yang akan diletakkan di ruang berkenaan.

Sebaik-baiknya, cuba elakkan daripada menghias ruang tamu terlalu berat dengan penggunaan warna terang yang digabungkan dengan perhiasan dan perabot yang sarat. Apatah lagi sekiranya ruang tamu anda kecil. Memadailah menata ruang tersebut dengan hiasan yang ringkas.

Memilih Warna
Memilih warna bukanlah satu proses yang sukar, walaupun masih ada yang berasa gugup dan kurang yakin untuk memilih dan mengecat sendiri ruang kediaman mereka. Langkah pertama ialah memastikan kegunaan ruang yang ingin dicat.

Bagi ruang tamu yang sering menjadi tumpuan dan ruang berkumpul, gunakan warna-warna dramatik seperti kuning yang mampu menghidupkan dan menceriakan suasana. Ini kerana, warna cerah secara psikologinya akan memberi mood yang baik kepada tuan rumah dan mengundang suasana mesra untuk tetamu.

Warna garang seperti merah dan oren tampak lebih bernyawa di bawah sinaran lampu manakala warna gelap mendatangkan kesan mesra dan sayu, sesuai untuk bilik kecil tetapi ia memerlukan pencahayaan yang baik. Bagaimanapun, penggunaan cat warna cerah membuatkan bilik tampak lebih besar, ceria, tenang dan sejuk.

Oleh itu, memandangkan kamu akan hidup di dalam lingkungan suasana yang dipengaruhi oleh warna pilihan itu untuk jangka waktu yang panjang, lebih baik jika kamu mengetahui keinginan anda dan keluarga terlebih dahulu. Apa yang penting, pemilihan warna yang tepat adalah kunci kepada tarikan sesebuah ruang yang dihasilkan.

Selain itu, kuasa warna turut memberi kesan kepada mood dan emosi. Misalnya, warna ceria dan garang seperti merah, kuning dan oren mampu menghidupkan emosi dan jiwa manakala warna-warna seperti ungu, biru dan hijau mampu menyerap dan mengurangkan kepanasan terutama kepada pandangan serta perasaan.


" Warna hangat dikatakan boleh memberi keceriaan"


" Warna natural pula bisa memberi kesegaran"


"Warna sejuk mampu menyerap dan mengurangkan kepanasan"

Ambil Kira Pancaran Cahaya
Selain itu, kamu juga perlu mengambil kira cahaya matahari yang masuk ke dalam bilik kerana cahaya berkenaan sebenarnya memberi kesan tersendiri kepada warna digunakan. Malah, untuk memastikan kesannya pastikan kamu meneliti terlebih dahulu arah ruang tamu.

Ruang yang mengadap ke sebelah timur dan utara akan menerima kurang cahaya dan ini bermakna warna yang hangat amat sesuai digunakan. Manakala sekiranya ruang tamu kamu mengadap ke sebelah barat dan selatan, kesannya akan lebih memberi keselesaan dengan gabungan warna-warna sejuk dan lembut.

Selain itu, unsur pencahayaan juga adalah antara unsur terpenting dalam memberi biasan menarik pada ruang tamu. Pilihan warna yang sesuai akan menjadi lebih menarik dengan simbahan cahaya dari sudut yang tepat. Selain dari dapat menonjolkan perhiasan atau warna ruang, ia juga amat penting untuk melakukan aktiviti lain seperti menjahit, menonton atau membaca.

Oleh itu, pemilihan lampu yang sesuai juga merupakan antara faktor yang penting untuk mewujudkan ruang tamu yang sempurna. Menentukan lampu yang sesuai dengan fungsi ruang turut mempengaruhi. Misalnya, lampu yang cahayanya menyorot ke bawah lebih sesuai dipasang di bahagian ceruk atau relung.

Panduan sapuan cat yang sempurna
· Lapisan kayu, gunakan cat asas kayu disusuli dengan satu lapisan cat alas dan dua lapisan cat kilat.
· Permukaan besi dan keluli, satu lapisan cat asas logam oksida merah atau cat asas logam zink kromat disusuli dengan satu lapisan cat asas sebelum mengecat dua lapisan cat kilat.
· Bagi permukaan besi yang baru atau pernah dicat, pastikan permukaan itu kering bersih daripada habuk karat dan minyak.
· Cat ini sedia digunakan dan jika perlu gunakan pencair kegunaan am atau `turpentine'
· Biarkan lapan jam atau hingga kering sebelum mengecat semula
" Penampilan ruang tamu akan lebih berseri dengan pilihan warna yang tepat"

9 Mitos Menarik Tentang Warna

Putih
Bersih dan murni. Sering dikaitkan dengan keluhuran peribadi.

Hitam
Meskipun sering dikaitkan dengan warna kejahatan atau kematian, namun, warna hitam mencipta identiti tersendiri yang eksklusif.

Oren

Warna oren atau jingga dikatakan dapat merangsangkan nafsu makan. Tidak hairanlah ia menjadi warna pilihan bagi dinding ruang makan. Mitos juga mengatakan ia dapat mengurangkan rasa keletihan dan menjadikan anda lebih bertenaga.

Hijau
Hijau sering dikaitkan dengan unsur kehidupan dan kesuburan. Ia turut menjadi pilihan pereka dalaman kerana sifatnya yang segar dan harmoni bagi menimbulkan tema sesuatu ruang. Dari itu, ia dapat memberi impak psikologi kepada manusia iaitu ketenangan fikiran selain meningkatkan daya penglihatan

Merah
Warna merah dikatakan dapat merangsangkan nafsu makan. Justeru tidak hairanlah jika kebanyakan pemilik restoran menggunakan warna ini pada dinding premis mereka.

Kuning
Warna kuning sering dikaitkan dengan keceriaan dan menaikkan semangat. Namun jaga-jaga kerana warna ini juga mampu menjadikan seseorang itu agresif.

Ungu
Warna ini dikaitkan dengan rangsangan seksual, justeru, ia amat sesuai dipadankan pada dinding bilik tidur.

Biru
Unsur ketenangan, tidak hairanlah warna ini dipercayai dapat mengurangkan tekanan darah tinggi dan menstabilkan degupan jantung jika dinding bilik tidur pesakit ini dicat dengan warna biru.

Pink
Pink atau merah jambu dikategorikan sebagai warna yang romantik dan cenderung untuk meningkatkan aktiviti seksual.

1 comment: