Ada kedukaan yang mula bertandang kalaku singkap semula kenangan itu. Namun sesungguhnya aku sedar sebagai insan biasa yang menyedari kelemahan diri, aku perlu redha dan tabah atas apa yang berlaku kerana Tuhan tidak pernah menjanjikan sesuatu yang buruk terhadap umatnya, hanya insan itu sendiri yang tidak jemu-jemu menggoda derita dan musibah.
Apa yang pasti aku telah berjaya mengharungi pahit-getir hidup ini tanpa cinta yang pernah menjadi penguat semangatku. Hembusan bayu yang berbisik nakal, kubiarkan saja membelai-belai rambutku yang terjuntai di dahi...tiba-tiba ingatan terhadapnya mengundang seribu rasa malah turut menjemput gelora dihati.
Ku seka air mata yang mula berlinang, suara pekikan anak-anak saudaraku begitu riuh-rendah kedengaran, namun jauh di dasar jiwa kudusku ini...jelas terasa keheningan dan kesunyian yang membelenggui diri semenjak pemergiannya...
Ya Allah! Aku pasrah padaMu...tenangkan seluruh jiwa dan kalbuku, berilah aku petunjuk untuk terus mencari kekuatan diri ini, berilah aku keteguhan hati untuk menempuhi hidup tanpanya...walaupun hampir separuh daripada semangat ini telah kuhantar bersama dirinya mengadapMu...
Ya Allah! Biarlah kusemadikan kasih kami disudut hati yang paling dalam, walaupun sukar untuk aku menerima kenyataan ini! masih ada sebak yang berbungkal di tangkai hati lalu air mata ini luruh lagi. Ada keluhan berat yang mengiringinya...keluhan yang tidak mampu untuk kulepaskan semuanya.
Kualihkan pandangan dan kemudian menghantarnya bebas merantau ke seberang sana...jauh kelihatan hamparan sawah padi yang menguning... Ahhh...nostalgia itu kembali lagi! Aku beralih pandang menyusuri mata air yang mengalir lesu di hadapan, selesu jiwaku yang sarat memikul rasa bersalah dan penyesalan yang tidak terhingga...Sememangnya kekecewaan yang sedang kutanggung ini amat berat dan hanya mengundang air mata tidak berkesudahan. Sekilas imbasan kenangan itu kembali, bagai terdengar-dengar riuh-rendah suara hilai tawa dan gurau senda saudara maraku yang sibuk mengemas setelah selesai majlis lewat petang itu.
Pernikahan abang Long selamat berlangsung dengan meriahnya...namun getaran yang masih hangat dan laju terus menekan jiwaku yang tiba-tiba tidak keruan, peristiwa yang berlaku sepantas kilat sebentar tadi bagaikan kejutan elektrik yang terus menghantui perasaan ini. Tidak pernah ku sangka-sangka akan mendapat malu seperti apa yang telah berlaku tadi. Macam mana pula aku boleh tersungkur di depan seorang lelaki yang benar-benar ingin aku hindari?
Mujurlah cepat jua aku bertindak melarikan diri dari ekor matanya yang mengejarku. Tanpa sempat dia mengambil kesempatan untuk menabur budi, awal-awal lagi sudahku lari membawa diri.
Tiba-tiba bayangan itu hilang...aku kembali mencari-cari bayangan kenangan sebentar tadi... kuintai disebalik pohon rambutan yang merimbun...imbasan itu kembali menerjah di depan mata, masih jelas terbayang-bayang di mataku, di sinilah kami sering berbual dan memahami hati masing-masing, disinilah jua cinta kami pernah bertaut, dibawah pohon inilah telah menyaksikan cinta kami mula berputik dan seterusnya berkembang menjadi kasih yang mengharumkan seluruh taman hati. Bayu petang yang meniupkan keasyikkannya, membuatkan aku terleka sementara fikiran ini terus terbang mencari cinta yang telah lama bersemadi.
“ Nora, sebenarnya ada sesuatu yang ingin saya beritahu, sudah hampir 2 tahun saya pendamkannya dan hari ini saya tak ingin menyimpannya lagi. Aku tersenyum mendengar susunan kata yang terbit dari bibir merah itu.
“ Sebelum itu saya minta maaf kerana meminati Nora dalam senyap. Nora marah ke? Soalnya lembut namun cukup untuk menggegarkan jiwa. Aku bagai terlena mendengar bicara itu. “ Saya sudah buat keputusan, dan sekali lagi saya ingin mohon maaf dari Nora tentang masalah Ina tempohari. Saya sudah jelaskan segalanya kepada dia dan saya cuma inginkan Nora seorang...”
Perlahan suaranya...begitu syahdu hingga hampir luruh jantungku mendengarnya. “ So, Saya minta maaf Nora...saya tak sengaja nak mengintai Nora dari jauh selama ini...itupun mujur ada Seri yang memahami saya dan sanggup menolong!” Aku cuma mampu tersenyum tawar tanpa mengambil serius terhadap kata-katanya itu.
Malah ego ini juga membuatkan aku tidak yakin akan kesungguhan lelaki itu untuk memenangi hati. Sesungguhnya tidak dinafikan...keegoanku begitu menebal dan tidak pernah cuba memberi peluang kepadanya untuk mencurahkan perasaan. Bagiku, cinta lelaki ibarat embun dihujung rumput, bila mentari muncul keringlah ia. Namun mungkin sudah ditakdirkan cinta kami tetap bersatu, walaupun pada mulanya aku tidak pernah memberi peluang kepadanya untuk mendekati, kendatipun aku sedar penantian dan kesabarannya cukup membuatkan dia sengsara dalam menghadapi sikapku, namun mungkin campur tangan teman baikku Seri sedikit sebanyak membuahkan hasil padanya di pagi sabtu itu. Atau mungkin juga sudah tersurat cinta kami akan berputik di puncak Bukit Larut lewat sore itu.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan pula berganti tahun, namun cinta kami tetap utuh. Walaupun sudah lama menamatkan alam persekolahan, namun cinta kami tetap teguh, sekukuh tembok besar China yang menjadi salah satu keajaiban dalam hidupku.
“ Terima kasih Nora kerana sudi memberi peluang untuk membuktikan segala janji saya kepada awak. Katanya di suatu petang ketika kami sama-sama pulang dari pekan T sambil menghadiahkan senyuman paling manis, aku tersenyum tawar.
“ Usah terlalu berharap, saya ingin berterus-terang dengan awak, saya menerima awak bukanlah kerana cinta tetapi semata-mata kerana simpati,” sengaja aku mengucapkan demikian, hanya ingin melihat sejauh mana dia benar-benar serius dengan keputusannya. Ternyata, aku cukup pelik dengan sikap lelaki seorang ini, dia langsung tidak memberikan reaksi sepatutnya, tetapi cuma tersenyum sambil merenungku tajam.
“ Ini cuma satu permulaan...saya akan buktikan perasaan simpati itu akan bertukar menjadi sayang!” Sempat dia berbisik perlahan...sebelum berlalu meninggalkan aku terpinga-pinga sendirian. Sejak peristiwa itu aku dan dia bagaikan belangkas, setiap hari pasti ada panggilan telefon yang menjadi penghubung antara kami. Malah, hari berganti hari, hidupku bagai tidak sempurna andai tidak mendengar suaranya.
Kata-kata dan kesungguhan yang ditunjukkan benar-benar meyakinkanku bahawa dia benar-benar menyintai diri ini. Zail...indahnya nama itu padaku, selembut wajah pemiliknya yang masih segar di dalam sanubari ini. Sesungguhnya, tidak mampu untuk aku nafikan sifatku yang keras kepala, tetapi degilku mudah pula dikalahkan kerana kasihku yang terlalu mendalam padanya.
Ahhhh... pergilah kenangan! Usah kau singgah di hati ini lagi, pergilah dan bawalah luka ini bersama...! Ada jeritan bisu yang terus-menerus memekik di hati. Aku mendongakkan kepalaku melewati ke puncak bukit itu...di sanalah kami telah ditemukan...! Tanpa sedar ada senyuman tawar yang mengiringi setiap babak-babak memori yang bersimpang-siur di ingatanku ketika ini.
“ Nora, Zail harap Nora sudi terima pemberian Zail ini,” Tidak dapatku gambarkan perasaan ini apabila Zail menyarungkan sebentuk cincin emas di jari manisku. Dia cuma tersenyum lebar melihat wajahku yang mula merona kerana terlalu terkejut. “ Apa saja akan Zail berikan pada Nora, cinta...kasih sayang dan ini cumalah satu pemberian yang tak seberapa...demi Nora, Zail rela korbankan segalanya, cuma yang paling Zail takutkan..ialah kehilangan Nora...
Noralah satu-satunya milik Zail...entah apa yang akan terjadi jika itu berlaku!” Bisiknya perlahan terus menusuk ke kalbuku yang semakin basah dengan limpahan kasihnya. Sepantas itu juga, dicapai jari-jemariku, lantas digenggam erat. Namun episod itu tidak lama kerana aku cepat-cepat pula cuba meleraikannya. Aku menghadiahkan senyuman paling manis buat lelaki kesayanganku itu lantas mencuit hidungnya yang mancung. Dia membalas senyumanku...
“ Tak sabar rasanya nak menunggu hari bahagia untuk hantar rombongan,” ujarnya dengan nada perlahan. Pandangannya terus meneroka wajahku. Aku menundukkan wajah. Malu pula bila dipandang sebegitu rupa. “ Sabar ye sayang, Zail balik semula minggu depan kita bincang dengan family ye...”
“ Ye...Nora akan tetap tunggu Zail balik, cuma Nora takut Zail yang akan berubah.
Akhirnya aku menyuarakan kebimbanganku. Aku terlalu memahami situasi yang kami lalui ini. Apatah lagi di bandar tempat dia bekerja, sudah pasti ramai wanita-wanita yang lebih cantik jika ingin dibandingkan dengan diriku ini yang serba-serbinya kekurangan. “Janganlah Nora cakap macam tu, sayu hati Zail mendengarnya..Zail janji dengan Nora dan ingat ye janji-janji kita...tunggu Zail...pesannya lagi sebelum menghidupkan enjin kereta selepas menghantarku petang itu. Seperti biasa aku cuma mampu menghantarnya dengan doa diiringi senyuman paling manis.
Malam itu, tidak seperti malam-malam lain, entah mengapa perasaanku begitu resah tak menentu, terasa bosan benar malam ini, jika selalunya aku akan ditemani dengan panggilan dari Zail, namun malam itu dia langsung tidak menghubungiku. Perasaan perempuanku mula menggoda, namun sedaya-upaya, cubaku tepis setiap perasaan jahat yang berbisik di telinga. Aku mula sangsi...mula terdetik perasaan curiga terhadap cinta dan kasih sayang Zail padaku. Baru petang tadi dia berjanji untuk menghubungiku, tetapi malam ini dia sudah melupakan janjinya...Ahhh...hatiku menjerit, cuba kutepis sedaya upaya..hingga akhirnya tanpa sedar aku terlena bersama kerinduan yang mula menggunung terhadap anak muda itu.
Lama....kuamati cincin yang tersarung di jari manisku. Aku tersenyum sendirian. Tiba-tiba muncul Zail berdiri tidak jauh dariku sambil tersenyum mesra. Namun pelik, mengapa dia tidak datang kepadaku? Mengapa dia hanya memerhatiku dari jauh?Adakah perasaannya benar-benar telah berubah kepadaku?Zailllll! bergema suaraku, namun sepi terus menghantui...entah dimana suaraku menghilang hingga tidak dapatku luahkannya....tiba-tiba Zail yang tadinya berdiri di hadapanku hilang ghaib entah ke mana..aku terus mencari-cari wajah lelakiku itu namun hampa...segalanya semakin kabur hingga aku tak mampu untuk melihat apa-apa lagi.
Pagi itu kedatangan Pak Leman bagai satu kunjungan sial untukku. Berita gempar yang kuterima benar-benar meluluh dan menjerut jantungku. Nyawaku bagaikan tercabut seketika. Berkecai segala impian dan harapan yang ku anyam selama ini untuk hidup bersama Zail. Aku terjelepuk...lembik dilantai sambil dipapah semula abang Ngah. Aku meraung sekuat hati. Seluruh tubuhku menggeletar dan terasa lemah tak berdaya. Mataku berpinar-pinar, sayup-sayupku dengar suara ibu memanggil namaku dan suara abang Ngah memujuk dan memesan supaya aku bersabar dan mengucap. Aku lembik di pangkuan ibu. Duniaku gelap..segelap masa depanku tanpa kekasih hatiku Zail...
“ Bagaimana dia boleh accident? Suara Kak Shidah yang baru tiba semalam dari Perlis ku dengar perlahan bagai berbisik dengan Pakcik Leman di beranda rumah. Aku yang masih kebingungan di ruang tamu rumah hanya mendengar hujung-hujung telinga. “ Entahlah...katanya kena pukul 11 malam, dalam perjalanan balik dari sinilah..” “ Bagaimana jadinya? “ AllahHua’lam tak tahu pulak, tapi dengar ceritanya dia terbabas ke gaung tu sebab elakkan dari lori.” Panjang lebar cerita Pakcik Leman setelah hampir seminggu Zail pergi ke hadrat Ilahi. Namun, masih terasa hangatnya renungan dan genggaman tangannya yang bagaikan tidak mahu dilepaskan kala waktu perpisahan kami petang itu.
“ Ingat ye Nora, jangan hilangkan cincin ini, anggaplah ia sebagai lambang kasih Zail yang tak bertepi untuk Nora. Manalah tahu, kalau ditakdirkan Nora tinggalkan Zail sekalipun, simpanlah ia sebagai kenangan kita bersama.” Hanya linangan air mata yang mengiringi ingatanku ketika bersama Zail pada hari terakhir kami bertemu. Kenangan itu hanya merobek jiwaku yang sudah sarat menanggung derita.
“ Sudahlah Nora, dah lama benar kita kat sini. Banyak-banyaklah bersabar dan berdoa, agar dia tenang di sana. Relakan pemergiannya ye...” perlahan Seri bersuara, tersekat-sekat bagai mengandungi duka yang sengaja disembunyikan dariku. Namun aku masih terus kaku di pusara Zail yang masih merah. Semerah cinta ini yang masih teguh terhadap lelaki itu. Aku terus menggenggam erat nisannya lantas kuusap mesra, hangat! sehangat ketika dia menggenggami jari-jemariku...sambil air mataku terus melimpah keluar menuruni curam-curam pipi yang semakin cengkung tak bermaya. Terlalu berat hati ini untuk meninggalkan pusara kekasihku.
Wahai bayu yang bertiup...bawalah seluruh keperitan yang kurasakan terbang dari sisiku, agar derita yang sedang kugalas ini dapat kulupakan selamanya. Wahai burung yang berterbangan... nyanyikanlah lagu rindu hati ini yang masih belum kering-kering lukanya...khabarkan padanya, aku disini masih tetap teguh berdiri bersama kenangan cinta kami. Wahai pepohon nyiur yang melambai-lambai ...lambailah dia untukku...ceritalah padanya tentang tasik kasihku yang tidak pernah kering untuknya. Wahai mentari...sebarkan kehangatan sinarmu padanya, sampaikanlah padanya bahawa cahaya cintaku ini masih hangat untuknya!
Wahai pawana yang berbisik...tolonglah aku...tolonglah katakan padanya...aku terlalu merindui senyumannya, renungan matanya...kehangatan kasihnya dan keriuhan gurau sendanya...Ya Allah! Ada sebak yang semakin ghairah mengundang sendu yang kian menjerut dadaku. Tuhanku...biarlah cinta kami ini menjadi memori paling indah yang dan paling manis buatku.Akan ku simpan ia di dalam lipatan hati yang dalam. Ampunkanlah segala dosa-dosanya...tempatkanlah dia bersama mereka yang Engkau redhai.
Dan...Azman maafkan aku kerna tidak mampu menerimamu. Sesungguhnya aku masih tidak mampu memberi ruang hati ini untuk insan lain. Bayangan Zail masih ada di mana-mana..masih kuat mengekoriku setiap waktu dan ketika. Maafkan aku! Bisik hati ini penuh kesyahduan sambil melangkah longlai meninggalkan pusara Zail ditemani kesepian yang berpanjangan...
Memori 2001
Nukilan, Fidalia
No comments:
Post a Comment