Katamu... “Dia Tidak Menyintaiku Lagi!”
Bagi kamu, insan yang sedang dilamun cinta perlu mengekspresikan perasaan kasih sayang kepada kekasih hatinya. Ya. Mungkin kamu mengidamkan sebuah ikatan yang hangat kerana terbawa-bawa dengan kebanyakan filem romantis yang ditonton. Namun timbul pula curiga di hati apabila usahamu untuk menguji si dia acap kali gagal. Lantas fikiran kotor mula bermain di kepala. Sesungguhnya dia tidak mencintai dirimu! Tetapi soalnya di sini sejauh manakah kebenaran idea nakalmu itu?
Tetapi Hakikatnya...
Sebelum berhasrat menguji, beritahu diri sendiri kekasihmu itu hanya seorang insan biasa. Lantaran itu, jika hanya kecewa yang menjengah setiap kali kamu menagih bukti cinta daripada si dia, mungkin kekasihmu itu tidak mampu menjadi kekasih 'luar biasa' yang kamu idamkan. Elakkan perkara ini berterusan, cari kelebihannya daripada terus menguji si dia. Selagi si dia tidak buat perangai, peganglah kata-kata janjinya. Itulah yang sebaiknya selain daripada terus menyimpan perasaan curiga terhadap si dia.
Katamu... “Dia Tidak Memenuhi Syarat!”
Tentu banyak syaratnya jika berbicara kriteria kekasih idamanmu, Antaranya mungkin tampan, bergaya, kaya, jujur, penyayang dan bla..bla..bla... Tapi bagaimana jika pada pertemuan pertama sahaja, hatimu telah terpaut. Nampak gayanya, segala syarat yang ditetapkan sebelum ini lebur begitu sahaja. Sayangnya, setelah sekian lama bersama si dia, perlian teman-teman mula menghakis cintamu kepada si dia. Kamu mula berkata pada diri sendiri dia bukanlah kekasih yang kamu cari selama ini.
Tetapi Hakikatnya...
Kamu sebenarnya keliru pada diri sendiri. Memasang impian tidak salah. Tetapi, usah berharap impian menjadi kenyataan. Syarat cuma impian yang memang ada pada naluri manusia. Sekiranya si dia tidak mencangkupi syaratmu, ia bukan alasan untuk memutuskan kasih yang terbina. Malah, jadikan ia sebagai panduan.
Katamu... “Aku Boleh Jadikannya Mr Right!”
Saat bercinta, adakah kamu mula menyenarai perubahan yang perlu dilakukan si dia demi menjadi kekasih terbaik kamu? Bagi kamu jika si dia ingin menjadi kekasihmu, dia patut mengubahnya.
Tetapi Hakikatnya...
Ya. Memang tiada salahnya. Tetapi tidak adil jika sentiasa berkeras. Ia memberi petunjuk yang kamu hanya mementingkan diri sendiri. Sebaiknya, biar dia sendiri menilai baik atau buruk sesuatu perkara itu. Jika tidak puas hati, kamu boleh terus mencubanya tetapi dengan syarat setiap perubahan yang kamu mahukan itu harus disertai sokongan moral kamu sendiri. Dengan dorongan daripada kamu, tentu akan lebih menyakinkan dirinya. Jika gagal juga, kamu bolehlah bertanya pada diri sendiri. Adakah si dia yang berada di depanmu, boleh menjadi kekasih pada kamu? Jawapannya, pasti kamu temui nanti.
Katamu... "Aku dibiarkan sendiri!"
Memang bosan bila acap kali si dia lebih mementingkan teman-temannya berbanding menghabiskan waktu terluangnya dengan kamu. Bagi kamu, sebagai pasangan kekasih, kalian perlu sentiasa bersama untuk berkongsi setiap momen yang ada.
Tetapi Hakikatnya...
Benar. Tiada juga silapnya di mana-mana. Tetapi fikirkanlah ya, jika semalam si dia sudah menghabiskan seharian hari cutinya melayan karenahmu, apalah salahnya jika hari ini dia melepaskan giannya bermain bola bersama teman-temannya pula. Kamu sebenarnya dipengaruhi perasaan 'takut'. Oleh kerana kamu menganggap si dia adalah 'pelindung', maka perasaan bimbang mula menguasai dirimu bila setiap kali berenggang dengannya. Kamu sepatutnya bertanggungjawab untuk membentuk kegembiraan pada diri sendiri. Buat sesuatu yang boleh menghiburkan diri kamu dan tidak sekadar mengharapkan si dia sentiasa dapat menemani kamu setiap masa. Belajar berdikari dan pastinya kamu akan menjadi kebanggaannya.
No comments:
Post a Comment