Monday, April 13, 2009

Pergilah Godaan Cinta

DINGIN. Sememangnya kedinginan ini begitu mencengkam. Menusuk dan menjalari hingga ke segenap urat saraf. Namun entah mengapa ia masih tidak mampu membunuh gelora perasaan yang sedang membara di lubuk hati.

Ohh Tuhan! Perasaan apakah ini? bagaikan getar yang sukar diterjemahkan. Tidak sudah-sudah menggoda ingatanku untuk hanyut mencari kenangan manis dulu yang umpama hempedu kurasakan! Gurau senda, kerlingan matanya....hangat sentuhannya...bagaikan masih segar dikotak fikiranku bagaikan baru semalam ia mewarnai hidupku. Semua itu benar-benar menghimpit dan biar jenuh ku cegah, ia tetap mengundang keluar air mata ini hingga menyesakkan dada! Sungguh! Aku tidak tegar lagi untuk menanggung kerinduan ini!

Ada sebak yang mula bertamu. Sisa-sisa air mata yang sekian lama membeku jauh di dasar tasik kasih, kini mencair dan mengalir bagaikan empangan pecah. Berguguran tidak tertahan lagi. Ku kuak jendela kamar seluas-luasnya. Serta merta hembusan angin berselang seli tempias gerimis menerpa rakus wajahku. Terasa benar kesyahduannya!

Di luar, rintik-rintik gerimis masih tidak jemu-jemu memuntahkan kesedihannya. Bagai lara hati ini yang sukar terpadam. Ada keluhan berat mengiringinya. Sepanjang bernafas di bumi bertuah ini, terlalu banyak yang telah aku depani. Terlalu banyak iktibar yang telah aku pelajari...

Sesungguhnya betapa sukar melewati lorong realiti kehidupan ini yang tidak pernah memberi peluang untuk kita terus bermimpi dan hanyut dalam fantasi. Dan seperti malam semalam, kelmarin dulu dan malam-malam sebelumnya, aku cuba lagi untuk bermuhasabah diri. Mencari kembali fitrah diri dan sekaligus berusaha memadamkan raut wajahnya dari terus menerus bergentayangan di kotak memori!

Aku tahu perlunya untuk melupakan segala kenangan yang pernah kami cipta. Malah aku cukup sedar dia pastinya sudah melupakan bait-bait nostalgia yang pernah kami karangkan bersama. Ahhh...alangkah bagusnya jika aku dapat meminjam kudratnya. Agar bisa ku lemparkan namanya sekuat tenaga jauh dari singgahsana hatiku yang semakin tepu...

Entahlah...sukar untuk mengartikan misterinya kehidupan ini. Biarpun seringkali pula berlegar-legar persoalan yang bermain di benakku ini, mengapa begitu ramai lelaki yang cuba mendekati hanya dia yang tiba-tiba bisa menguak pintu hati? Mengapa? Mengapa? Dalam ramai-ramai lelaki yang menjadi dambaanku untuk berjaya mencuri hati, mengapa dia juga yang bisa menyelinap dan mencuri pandangan ini? Mengapa?

Ya Tuhan!!! Aku perlu tegar seperti dia...tegar melawan gejolak jiwa dan getar rasa yang masih subur membenih di segenap kalbu ini. Biarpun kala itu, aku faham benar apa yang sedang tersirat biar betapa sukar sekali membaca matanya... Menterjemahkan senyuman dan mendengar bisikan halusnya. Namun, naluri ini seakan memahami sememangnya sulit untuk dia lafazkan biarpun kami sedia memaklumi perasaan itu sememangnya ada.

Mungkin ketika itu aku dan dia sedar betapa dalamnya jurang yang berada di hadapan. Yang andainya tersilap langkah menongkah haluan, bisa menjerumuskan kami ke dunia penuh noda. Aku sedar itu. Aku sedar betapa perihnya dia berperang dengan perasaan sendiri.Betapa sakitnya hati apabila kami terpaksa merelakan tindakan untuk saling menyakiti satu sama lain, semata-mata demi mengharamkan perasaan yang sudah berputik ini dari terus mekar berkembang!

Apatah lagi destinasi dan mimpi kami berbeza. Kami takkan mungkin dapat berkongsi dan menyatukan perasaan ini sewajarnya, kerna kasih yang terpupuk ini nyata melebihi apa yang dibayangkan kami sendiri.

Baru kiniku sedar, betapa hebatnya penangan godaan cinta yang sesungguhnya bisa membutakan mata dan hati dua jiwa. Namun, demi impian dan mimpi yang dianyam, hingga kini aku masih tidak pernah putus asa mencuba, biarpun menepis namanya dari hinggap di fikiran bagai menghiris-hiris jantungku sendiri... biarpun membencinya umpama hukuman maha hebat yang perlu ku galas di bahu ini! Segalanya aku sedia depani.

Aku harus belajar mencari realiti kehidupan. Biar pahit, biar perih segalanya pasti punya hikmah yang menanti di penghujung destinasi. Kerana kebahagiaan yang sedang menjadi miliknya kini aku pasti sememangnya menjadi impiannya selama ini. Dengan kehidupan dan kerjaya di samping insan glamor pastinya ia adalah mimpi yang mendatangi lenanya setiap malam...

Dan aku bukanlah orangnya yang tegar untuk memadamkan semangat kentalnya yang sedang marak itu. Dan demi dia, aku sanggup menjauhkan diri, melenyapkan diriku dari pandangannya untuk selama-lama. Itu tekadku di pengakhirannya....

Diluar, gerimis sudah berhenti. Namun, dingin udara dan bayu malam yang menghembus sepoi-sepoi itu masih jelas bergetar. Masih menggoncang sukma ini! Ohhh bayu malam, bawalah kepedihan ini bersamamu. Kembalikan ceria hati yang sejak sekian lama diragut dariku. Suburkan kembali gersang jiwa ini yang semakin tandus! Terbangkan memori cinta kami ini menjauh selama-lamanya!


Nukilan
Fidalia

No comments:

Post a Comment