Tuesday, April 14, 2009

Kamu Kalis Kecewa?

KECEWA dengan cinta sang kekasih yang asyik memberi harapan palsu. Ataukah kamu mungkin pernah dijadikan mangsa ujian test market atau sekadar untuk suka-suka. Pasti perih bila ditinggalkan bukan? Namun, perlukah kamu berterusan menjeruk perasaan, yang hanya memberi kesan buruk terhadap kualiti kehidupanmu seharian. Ayuh! Gandakan usahamu untuk lebih menikmati kehidupan dan positifkan diri agar lebih kalis kecewa!



Usaha 1
Tenangkan Diri
Setiap individu pastinya memiliki aura negatif yang mendorong kamu bertindak negatif. Apatah lagi, apabila kepalamu berceramuk dengan aneka masalah yang bersimpang siur pasti sesekali kamu akan hilang fokus. Usahamu: Cubalah mengawal diri dengan cara mengembalikan semula fokus pada hidupmu. Emosimu akan menjadi lebih baik sekiranya kamu mampu meraih kembali hala tujumu itu.

Usaha 2
Meluahkan
Ingat! Setiap kali kecewa dan patah hati. Jangan sesekali mengikut kata hatimu untuk mencari privasi dan menjauhkan diri daripada teman-teman dengan alasan untuk memulih luka. Semua itu Cuma omongan memandangkan orang yang kecewa takkan mampu memulih luka sendiri. Usahamu: Cuba cari seseorang yang boleh dipercayai untuk mendengar luahan hatimu. Orang yang menjadi pendengar yang setia, amanah dan jujur. Jangan salah pilih teman kerana ia akan lebih memburukkan keadaan. Usah terlalu ego memendamkan apa yang dirasa kerana ia hanya melemahkan diri sendiri.

Usaha 3
Berterus Terang
Adakah kamu berpura-pura? Tidak? Fikirkan kembali... Adakalanya apabila seseorang itu kecewa, mereka akan cenderung untuk membohongi diri sendiri dan seterusnya memberitahu pada orang lain dengan menganggap itu suatu kebenaran demi mengukuhkan lagi penipuan tersebut. Usahamu: Belajar untuk mengakui akan kebenaran. Cuba singkap kembali mengapa dan bagaimana kasih itu boleh terhenti. Jangan takut sekiranya kamu di pihak benar. Sebaliknya jika kesilapan itu datang dari sebelahmu, jangan takut untuk mengaku kesilapan itu kerana itulah yang sebaik-baiknya. Biar teman yang mendengar, faham situasi yang sebenar dan dapat membuat penilaian. Bukan untuk menentukan siapa yang salah dan siapa yang benar, tapi untuk memudahkan mereka memberi pandangan dan tidak lari dari masalah yang sebenar.

Berani berterus terang dan menghadapi kenyataan lebih baik dari terus berpura-pura yang bisa memakan diri sendiri kelak

Usaha 4
Berhenti Menyalahkan
Itu adalah sikap hipokrit yang seharusnya dibuang jauh. Mereka yang gemar menyalahkan orang lain demi menutupi kesalahan diri sendiri adalah mereka yang tiada keyakinan diri sendiri. Usahamu: Singkap semua jendela yang ada pada diri sendiri. Jika tidak, kamu tidak dapat menerima hakikat, pandangan mahupun nasihat daripada orang lain. Ibarat sebuah rumah yang ditutup semua jendela. Bukan sekadar angin tidak dapat masuk, cahaya, pemandangan alam sekitar dan pelbagai lagi tidak akan kelihatan. Tinggal mereka dalam sebuah rumah yang kelam dan lemas dalam dunia sendiri. Buka, dan cuba terima apa yang diberikan oleh orang lain.

Usaha 5

Dengar Pandangan Orang Lain
Ibarat pepatah, malu bertanya sesat jalan. Pendek kata, kamu tidak boleh menilai diri dari sudut penglihatanmu yang cetek. Orang lain sahaja yang mampu melihat citra dirimu sebenar. Usahamu: Tukarkan apa yang mereka katakan kepada suatu tindakan yang positif dan memberikan impak yang berkesan pada diri sendiri. Dengar dulu pandangan orang lain untuk membetulkan kesilapanmu. Apa yang sering berlaku adalah, kamu tidak memberi peluang mahupun ruang kepada orang lain untuk membantu diri sendiri sedangkan hakikatnya kamu memerlukan bantuan. Pendek kata, ego.

Usaha 6
Beri Peluang Pada Diri Sendiri
Istilah mudah yang biasa digunakan adalah serik. Kononnya, sekali kecewa bercinta, kamu sudah serik mencubanya buat kali berikutnya. Namun, hakikat sebenarnya, kamu sebenarnya putus asa dan tiada keberanian untuk menduga diri sendiri. Usahamu: Inilah perkara yang sukar untuk dilakukan. Biar pun, kamu akur dengan kesilapan yang berlaku. Tidak salah untuk merendah diri meminta maaf dan memaafkan orang lain. Kemudian berilah ruang dan peluang untuk diri sendiri dan mereka yang terlibat membetulkan diri bagi mengukuhkan semula talian kasih yang terhenti itu. Kasih sayang yang suci lahir dari hati yang ikhlas dan murni. Bila tertitik noktah hitam maka tercemarlah kesucian itu dan terlerailah ikatan kukuh sebuah kasih sayang. Justeru, perbetulkan kembali keadaan dan cantikkan percaturan. Jangan nafsu dijadikan sandaran kerana ia hanyalah khayalan yang lebih membawa ke arah kesesatan.

No comments:

Post a Comment