Monday, April 13, 2009

Peranan Sofa Melengkapi Ruang Tamu

RUANG tamu. Sepadan namanya merupakan kawasan tumpuan untuk berkumpul dan sesekali meraikan tetamu. Ia lebih merujuk kepada ibu bagi semua ruang yang ada pada sebuah rumah. Kewujudannya dilihat agak berbeza dengan ruang lain memandangkan kelebihan fungsi tersebut.

Lantaran itu, untuk menata hias sesebuah ruang tamu bukanlah satu kerja yang mudah dan ringan. Bagi sesetengah pemilik rumah, kerja menghias ini dianggap terlalu rumit kerana ia memberi gambaran sebenar tahap keupayaan tuan rumah dalam menggabungkan cita rasa dan kreativiti tanpa melupakan praktikal dan fungsi perabotnya.

Di sinilah, pemilihan sofa amat penting dalam menghidupkan sesebuah ruang tamu itu. Memilih dan membeli sofa juga akan menjadi sukar jika tidak dititikberatkan soal-soal asas untuk membentuk ruang tamu idaman.

Sedar atau tidak, membeli sofa juga dianggap sebagai satu pelaburan jangka panjang. Justeru anda perlu memberi perhatian yang lebih ketika membuat pemilihan. Terdapat beberapa faktor asas yang perlu difikirkan sebelum membeli sofa untuk ruang tamu kamu, antaranya,

Memilih Kerana Fabrik Sarung
Sebelum memilih sofa idaman, kamu perlu mengenal pasti terlebih dahulu ciri-ciri fabrik yang bersesuaian dengan kegunaan keluarga. Misalnya, faktor usia penghuni dan ruang yang akan kamu tempatkan sofa tersebut amat penting untuk di ambil kira. Sekiranya kamu amemiliki adik atau anak kecil, sebaiknya pilihlah fabrik yang bercorak agar tidak mudah menonjolkan kesan kotoran atau habuk.

Jangan sesekali memilih sofa bersarung kekal memandangkan sekiranya fabrik kotor atau rosak ia sukar untuk ditukar. Lebih baik sekiranya anda memilih sofa yang memiliki kemasan penyudah bahan kalis kotoran. Namun, kamu perlu memastikan sarung fabrik yang boleh ditanggalkan sepatutnya disertai dengan jahitan kelim yang kemas agar tidak mudah terkoyak ketika dibasuh.

Namun, sebaliknya, jika kamu tidak berminat pada sofa berfabrik, sofa kulit juga cantik dan kebiasaannya turut menampilkan reka bentuk menawan. Selain itu, ia juga tahan lasak, malah penjagaannya juga tidak cerewet. Biarpun sofa kulit agak panas sekiranya tanpa pendingin hawa dan harga untuk sofa kulit lebih mahal berbanding sofa fabrik, tetapi ia tetap menjadi pilihan kerana kualitinya yang terjamin.

Memilih Kerana Kualiti Dan Mutu
Berbicara soal harga sofa, mahal tidak bermakna sofa tersebut memiliki mutu yang baik. Ini memandangkan harga yang tinggi mungkin dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain. Lebih baik sekiranya kamu menitikberatkan kualiti di bahagian dalam sofa agar tidak tersilap menelah mutunya. Oleh itu, jangan mudah berasa ghairah melihat luaran dan harganya untuk menentukan kebaikan sesebuah sofa. Biasanya, terdapat tiga bahagian dalam sofa yang perlu di ketahui sebelum membeli iaitu isi dalam, rangka dan keanjalannya.

Kenal Pasti Isi Dalam Sofa
Bagi ciri-ciri isi dalam yang baik, ia perlu menggunakan bahan semula jadi. Namun begitu, terdapat banyak juga sofa yang mengetengahkan isi dalam yang diperbuat daripada gentian getah berbusa yang kalis api. Jadi, kamu perlu memilih getah berbusa yang memiliki ketumpatan tinggi memandangkan getah berbusa yang berkualiti rendah mempunyai daya cengkaman yang kurang baik. Ini kerana, sofa murah diperbuat daripada getah berbusa yang kemudiannya dilapiskan dengan bod gentian padu.

Kenal Pasti Rangka Sofa
Biasanya sifat kayu beech yang keras dan lembut menjadikan ia lebih popular untuk digunakan sebagai rangka sofa. Sekiranya rangka sofa mudah dilihat pastikan tidak ada bonggol, rekahan atau retakan di bahagian rangka kayunya kerana ia akan mencacatkan penampilan sofa pilihan anda itu.

Malah, untuk tujuan keselamatan, kamu juga perlu memeriksa sambungan rangkanya sama ada kukuh atau tidak. Kamu boleh memeriksa dengan cara meneliti di bahagian bawahnya bagi menentukan buatannya adalah baik atau sebaliknya.

Sentuh pelapiknya. Ini merupakan antara cara paling mudah dan berkesan untuk menguji mutu sofa memandangkan sukar untuk kamu meneliti spring dan rangka yang telah ditutup dengan fabrik sofa. Di samping itu, apabila duduk pastikan kaki kamu mencecah lantai dan lebar tempat duduk cukup untuk menampung badan kamu.

Kenal Pasti Keanjalannya
Duduk dan lihat sama ada kusyen sofa tersebut segera kembali kepada bentuk asal atau sebaliknya. Jika kusyen tempat duduknya melendut, itu bermakna sofa tersebut telah rosak dan tidak akan bertahan lama. Sebenarnya setiap pembuatan sofa dan kerusi yang beralas tangan turut dilengkapi dengan ciri keanjalan tersendiri untuk tujuan memberi keselesaan kepada pengguna.

Jika dahulu, sofa dibentuk dengan gegelung spring yang besar dan dijalin dengan jejaring yang lembut. Tetapi hari ini caranya telah bertukar kepada spring zig-zag yang berbentuk leper dan digunakan bersama jaring yang diperbuat daripada getah. Manakala sesetengah reka bentuknya pula menggunakan jaringan getah sepenuhnya bagi menggantikan spring.

Sofa berangka besar bukanlah pilihan bijak untuk ruang tamu kecil


Memilih Kerana Saiz Dan Ukuran
Sekiranya melawat ke ruang-ruang pameran perabot, terdapat berpuluh puluh set sofa yang dipamerkan di ruang yang luas. Jadi untuk mengelakkan daripada masalah selepas membeli sofa, ada baiknya kamu mengukur dahulu keluasan ruang tamu dan pintu masuk, lalu buat lakaran kasar bagi gambaran setiap perabot dengan mengenai kira jenis dan ukuran sofa.

Lantaran itu, janganlah sesekali kamu lupa untuk membawa pita pengukur setiap kali berkunjung ke galeri atau pameran perabot. Selain itu, untuk ruang tamu yang kecil kamu dinasihatkan tidak memilih sofa yang memiliki penyandar tinggi atau besar kerana ini akan menyempitkan lagi ruang.

Paling bijak sekiranya kamu menggunakan kaedah mix and match dan membeli sofa berasingan. Faktor warna juga turut memainkan peranan penting disini kerana ia turut memberi pengaruh besar terhadap penampilan ruang tamu kamu. Sekiranya ingin ruang tamu tampil luas pilihlah sofa berwarna cerah dan lembut.

Memilih Seisi Keluarga
Bawa seisi keluarga ketika kamu berhasrat untuk membeli sofa baru, supaya setiap ahli keluarga berpeluang memilih dan mencuba pelbagai jenis sofa mengikut keselesaan serta cita rasa mereka.

Memilih Dengan Tenang
Usah memilih sofa kala sedang terburu-buru. Ada baiknya kamu mengambil masa terluang yang ada supaya dapat memberi lebih ruang untuk meneliti pelbagai jenis dan gaya dengan tenang. Jangan sesekali membeli ketika badan anda letih atau tidak sihat semata-mata untuk mengejar masa kerana kamu kemungkinan akan membuat kesilapan ketika membuat penilaian.

No comments:

Post a Comment