Sunday, June 28, 2009

Apa2 Aje! Musim Baru Lebih Membina

JIKA kehidupanmu agak suram dan perlukan ilham, TV3 ada penawar untuk mengembalikan seri dan menambahkan keceriaan! Jangan lupa untuk menonton program Apa-Apa Aje, bersiaran setiap Isnin dan Khamis jam 10.00 pagi yang kini menampilkan konsep yang lebih informatif dan relevan yang disampaikan secara santai.

Sudahpun memasuki musim ke-5, program Apa-Apa Aje (AAA) yang mewarnai slot ‘Senda Pagi’ TV3 memperkenalkan gabungan pengacara, Amy Mastura dan Shamsul Ghau-Ghau yang cukup serasi dan berjaya menarik lebih ramai penyertaan penonton.


Apa-Apa Aje diberikan nafas baru dengan memperkenalkan empat segmen menarik, ‘Cari Duit Lebih’, ‘Redah Rumah’, ‘Makan Ape Aje’ dan ‘Apa Yang Bagus’ di samping menyelitkan unsur-unsur spontan, elemen kejutan, audio visual ceria, informasi jitu dan segmen sponsor.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Pn Nurul Aini Abu Bakar berkata, “Bukan senang untuk sesuatu program terus bertahan sejak 5 tahun ia bersiaran, apatah lagi, mengekalkan kedudukannya di hati penonton TV3.

Tetapi Alhamdulillah Apa-Apa Aje, terus mendapat sambutan yang menggalakkan dan masih diterima oleh peminat-peminat setia yang menonton untuk mengikuti perkembangan semasa dan isu-isu yang menjadi bualan hangat.

Jadi untuk mendapatkan idea-idea segar bagi konsep dan memastikan pengisian program ini agar sentiasa menarik dan relevan dengan peredaran zaman, pihak Pengurusan Jenama sentiasa peka terhadap perubahan baru di samping mengambil-kira cadangan daripada peminat-peminat program ini sendiri.”

“Contohnya, dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang, program Apa-Apa Aje mampu membantu dan membuka minda para penonton untuk mempelajari cara-cara mengatasi masalah kewangan. Walaupun konsep ini baru diperkenalkan ia sudah mendapat maklumbalas positif dan memberangsangkan daripada penonton. Sudah pasti pihak kami akan memastikan AAA sentiasa mendapat tempat di hati penonton dan berbeza daripada rancangan yang sedia ada” tambah Pn. Nurul.

Jika dulu program ini disiarkan secara langsung berfokuskan perbincangan sepenuhnya di set lokasi di Sri Pentas, konsep baru pula membawa pasangan pengacara ‘turun padang’ membuat liputan sambil melawat tempat-tempat yang dikenalpasti selari dengan topik yang dipaparkan.

Bermula dengan segmen ‘Cari Duit Lebih’, penonton dipaparkan pelbagai ikhtiar kreatif untuk mencari wang sampingan, Manakala segmen ‘Makan Ape Aje’ membuka mata penonton tentang tempat-tempat atau cara-cara di mana orang ramai boleh menikmati juadah harian dengan bajet terhad.

Ikuti segmen ‘Redah Rumah’ yang mengajak para penonton mengunjungi rumah-rumah yang dilihat di kaca televisyen melalui drama-drama di TV3 atau majalah tempatan. Jangan lepaskan peluang menonton Amy dan Shamsul memberi penerangan mengenai ciri-ciri unik dan bersejarah setiap rumah yang disinggahi.

Tidak lengkap konsep terbaru ‘Apa-Apa Aje’ tanpa segmen ‘Apa Yang Bagus’, mengupas persoalan mengenai dilema di antara kepentingan demi kecantikan atau mengekalkan kesihatan yang baik untuk tubuh badan.

Intan Suraya mengendalikan segmen ini dengan menunjukkan cara-cara yang betul untuk menjaga kesihatan, maklumat penting menerusi temubual bersama pakar kesihatan dan juga penerangan sebenar di sebalik mitos popular dan petua kecantikan dan kesihatan yang sering diamalkan.

Selain menonton melalui kaca televisyen, program Apa-Apa Aje juga mengajak para penonton untuk berinteraksi dengan lebih dekat melalui laman web TV3 di
www.tv3.com.my ataupun menjadi ahli kelab Apa-Apa Aje melalui ‘Facebook Group’.
Dengan cara ini, sebarang panduan, tip positif ataupun cadangan yang berguna boleh dikongsi terus bersama.

Untuk mengetahui lebih lanjut perubahan mantap baru program variasi yang penuh infomasi dan mencuit hati ini, jangan lupa temujanji kamu dengan Amy dan Shamsul setiap hari Isnin dan Khamis, jam 10 pagi di TV3. Pastinya suasana pagi kamu akan menjadi lebih bermakna dan penuh Inspirasi!

No comments:

Post a Comment