Wednesday, June 17, 2009

Melodi Baru Lebih Panas...

SEJAK mula diterbitkan pada tahun 1992, Melodi bagaikan tidak punya masa untuk berhenti bersiaran!. Aktiviti persada hiburan yang sentiasa bergolak mendorong Melodi untuk terus tampil setiap minggu menghidangkan paparan yang dinanti umum dalam cara pengolahannya yang tersendiri.

Memasuki era awal 2009 lalu, Melodi mencatat sejarah baru dengan pencapaian rating tertinggi iaitu 2.3 juta!. Oleh kerana sambutan yang diterima sehebat ini, maka program Melodi perlu diteruskan penerbitannya untuk tahun demi tahun mendatang bagi memenuhi kemahuan penonton serta peminat setianya.

Menurut Penerbit Melodi, Nas Ahmad, “Pelbagai faktor menyumbang kepada pencapaian Melodi iaitu dari segi kualiti penerbitan, kandungan paparan, malah promosinya perlu diperkemas dan dimantapkan lagi bagi mengekalkan prestasi serta kredebilitinya sebagai antara program paling popular di TV3. Ini berdasarkan hakikat bahawa ‘bukan mudah mencipta kejayaan, tapi bukan mudah juga untuk mengekalkan kejayaan itu’.

Tahun silih berganti, fungsi Melodi turut menempuh reformasi. Jika dulu Melodi hanya berfungsi menghidangkan paparan sekitar hiburan tempatan dan antarabangsa, kini secara tidak langsung Melodi menggalas suatu tanggungjawab umum iaitu memaparkan masalah yang diadukan kepada Melodi sama ada oleh penggiat seni, pengamal media, malah penonton dan masyarakat amnya. Ini bukan suatu tanggungjawab kecil, dan unit produksi Melodi sentiasa bersedia untuk menyempurnakan tanggungjawab ini sebaik mungkin seadilnya.”

Pasti ramai masih ingat suatu ketika dulu perhatian utama atau minat penonton Melodi tertumpu kepada pengacara sahaja. Situasi ini kian berubah. Selain pengacara, kini ramai memberi tumpuan utama atau meminati Melodi kerana isi kandungannya, termasuk wartawannya juga! Kerana itu ‘Skuad Melodi kini ditampilkan!, Ia dianggotai oleh sekumpulan lima wartawan penyiaran hiburan yang kesemuanya punyai ketrampilan dan kehebatan tersendiri.



Pengacara Melodi paling sensasi

Skuad Melodi diterajui oleh penerbit rancangan ini sendiri iaitu Nas Ahmad. Segmen popular ‘Terjah’ yang dikendalikannya akan diteruskan dan tampil pada masa-masa tertentu. Selain Nas, satu-satunya wartawan kaum Cina iaitu Michelle Wee juga akan terus menggalas tugasan mengendalikan segmen ‘Serkap’ yang kian sinonim dengan dirinya.

Bagi segmen ‘Kes’ – wartawan Zamzuri Zaini atau ‘Ayau’ akan mengendalikannya. Azmi Jamsari pula tampil dengan segmen baru iaitu ‘S.A.M.A.N’ (Selesaikan Apa Masalah Artis Negara). Seorang lagi wartawan iaitu Azwan Azmi akan mengendalikan segmen baru iaitu ‘Bicara Filem’ – sebuah segmen yang khusus membincang dan memaparkan sekitar dunia perfileman tempatan dan antarabangsa.

Walaupun setiap anggota Skuad Melodi mempunyai segmen tersendiri, namun kesemua mereka turut memaparkan hasil tinjauan untuk segmen-segmen lain, seperti segmen Panas, Album, Konsert, Kontroversi, Teater, Sensasi, Eksklusif, dan banyak lagi.

Memandangkan hasil paparan Melodi yang semakin menyeluruh, beberapa segmen baru akan mula diperkenalkan. Ini bagi menepati citarasa penonton yang semakin bervariasi. Antara segmen baru tersebut ialah Usik-usik Aja, Gegar!, Potensi, Simpati, Tahniah, Sila Jawab, Takziah, dan Gosip.

Mulai 21hb Jun 2009, Melodi muncul dengan wajah baru. Ini merangkumi montaj, grafik dan set. Kemunculan ini penting kerana memikirkan penonton dan peminat setia sentiasa berhak untuk mendapat ‘kesegaran’ bila menonton program yang paling mereka minati ini.

Melodi era 2009 berwajah baru ini masih mengekalkan pasangan pengacara Wahid dan Fara Fauzana. Ujar Nas Ahmad lagi “Pihak penerbitan berpendapat belum masanya lagi menukar pasangan pengacara ini kerana keserasian antara mereka yang semakin mendapat perhatian.

Skuad glamor Melodi
Fungsi pasangan pengacara ini kekal iaitu meredakan suasana setelah paparan panas dan sensasi dihidangkan. Mereka akan mengalih perhatian penonton dengan gurauan dan usikan yang bukan lawak aksi atau slapstick. Pasangan Wahid & Fara Fauzana ternyata mampu menyerikan program ini dengan corak pengacaraan yang sudah sebati dengan penonton.”

Sudah menjadi kelaziman, setiap Ahad jam 12:30 tengahari, lebih 2 juta rakyat Malaysia akan berkumpul seisi keluarga menonton Melodi siaran langsung di TV3. Adakah hanya berita atau paparan terkini yang menjadi perhatian ramai? Sudah pasti jawapannya, tidak!

Jika menurut perhatian dasar, sudah tentu paparan terkini dan sensasi menjadi tumpuan ramai. Namun Melodi merentasi situasi itu. Menurut kajian pihak penerbitan Melodi, penonton Melodi bukan sekadar menantikan paparan terkini sahaja, malah mereka turut meminati garapan Melodi yang tersendiri walaupun sesuatu berita atau isu itu telah pun diketahui umum.

Walaupun berita-berita telah dipaparkan dalam media cetak, namun penonton tetap menunggu paparan dari Melodi kerana garapannya yang nyata berbeza. Ini merangkumi komen secara langsung, reaksi wajah pihak berkenaan, kesan bunyi serta muzik latar, dan sebagainya. Lebih menyokong hakikat ini, catatan rating setiap minggu adalah antara yang tertinggi!

Kewujudan sumber maklumat alam maya atau internet juga ternyata tidak menjejaskan kadar penonton Melodi yang menontonnya menerusi televisyen.. Malah khalayak penonton Melodi semakin meningkat bila ianya dapat ditonton secara online di seluruh dunia menerusi
www.tv3.com.my. Menerusi website itu penonton di seluruh dunia dapat menonton bukan sahaja episod terbaru, malah koleksi episod terdahulu dalam tempuh siaran selama setahun.

Walau berwajah baru, namun Melodi tetap mengekalkan konsep persembahannya iaitu memaparkan segala berkaitan persada hiburan, merangkumi aktiviti, visi, sensasi, luahan rasa, kontroversi, gossip, potensi, dan seumpamanya bagi memeriahkan persada. Ini adalah sumbangan Melodi kearah memajukan persada seni tempatan.. Terserah kepada penonton untuk memilih paparan mana lebih menarik perhatian mereka dan membuat pertimbangan atau rujukan.

No comments:

Post a Comment