ANGIN bulan Mei sudah berlalu menggamit kehadiran Jun penuh makna. Jika Mei pergi meninggalkan seribu satu cerita indah berkisar pengorbanan ibu, Jun pula hadir kini berisi impian dan sketsa cinta seorang lelaki bernama bapa.
Kalau ibu ibarat ratu di hati, bapa pula umpama hero di jiwa kita. Biarpun kebanyakan anak-anak lebih manja dan rapat dengan ibu, namun barang kali ada yang bersetuju bahawa jasa dan pengorbanan bapa juga sebenarnya bukan calang-calang, hanya ia kurang jelas dari pandangan mata kasar.
Lantaran itu, bukan hanya cinta dan pengorbanan seorang ibu yang perlu diraikan, tetapi kasih seorang bapa juga seharusnya dibanggakan. Biarpun pandangan sesetengah orang, anak lebih manja dan rapat dengan ibu kerana senang didekati, bapa pula hanya menjadi tempat rujukan kala anak-anak ingin berkongsi masalah.
Tetapi bagaimana pula pandangan masyarakat. Ada apa sebenarnya pada cinta seorang bapa? Esse meneroka hero terhangat di Malaysia berbicara soal impiannya andai bergelar suami dan bapa kelak.
SERONOK mendengar Ikram Dinzly, 26, bercerita perihal orang tuanya. Ya! Sememangnya apalah yang diidamkan lagi jika seluruh kebahagiaan itu sudah terbentang di depan mata.
Bagi anak kelahiran Perak ini, dia benar-benar bersyukur dianugerahkan orang tua yang cukup penyayang, memahami dan terlalu banyak memberi sokongan terhadap jatuh bangun kerjayanya selama ini.
“ Bayangkan, setiap kali drama atau filem lakonan saya ditayangkan di kaca tv, mereka tidak akan lupa merakamkannya. Begitu juga acap kali cerita saya keluar di dada majalah atau surat khabar, mereka tidak jemu menggunting dan menyimpannya.
“ Bagi saya, bapa adalah the best father in the world! Dia seorang yang serba boleh, penyabar dan very cool. Apatah lagi, sejak kecil tabiat buruk saya memang suka memberontak jika berhajatkan sesuatu. Jadi, bapa akan banyak menggunakan teknik psikologi demi memujuk saya, cerita anak ketiga dari empat adik beradik ini lagi.
Anak lelaki Mohd Saifuddin Datuk Seri Ahmad ini turut mengakui amat mengagumi cara ibu dan bapanya menganyam cinta, malah keupayaan mereka mengekalkan kesefahaman dan kebahagiaan di dalam rumah tangga amat menyentuh hatinya.
“ Bapa saya bukan seorang lelaki yang suka mengekspresikan kasih sayangnya menerusi kata-kata dan bujukan. Sebaliknya, meluahkan perasaan itu menerusi tindakan yang bisa membuat kami rasa istimewa dan dihargai.
“ Terlalu banyak kenangan manis yang telah kami ciptakan bersama. Antara yang saya tidak lupa, dia selalu memanjakan saya. Setiap kali saya berasa lelah, saya akan tidur di ribanya dan dia akan mengusap kepala saya sambil menyulamkan kata-kata nasihat, ujarnya lagi.
Menurut Ikram lagi, dia dan bapanya berkongsi minat yang sama iaitu suka melayani filem Hindustan. Pernah mereka menangis bersama-sama apabila menonton kisah sedih.
“ Orang tua saya tidak kisah mempamerkan keintiman dan kasih sayang mereka di hadapan saya. Sehingga kini mereka masih tetap loving couple! Mungkin kerana itu, saya sudah terbiasa dan terikut-ikut cara mereka, terang jejaka hot yang semakin tinggi sahamnya ini lantaran tidak surut-surut lamaran berlakon yang diterimanya.
Malah, jejaka hot ini turut mengakui Frenz! adalah media pertama yang diberitahu tentang lamaran terbaru yang diterimanya untuk berlakon filem di bawah naungan pengarah Bernard Chauli.
“ Jika bergelar seorang bapa suatu hari nanti, saya berimpian untuk menjadi seorang bapa yang murah kasih sayang, selain bisa menjadi guru dan idola terbaik untuk anak-anak.
“ Saya pernah mengimpikan sebuah keluarga yang penuh dengan cinta seperti yang telah ibu dan bapa saya bina selama ini. Ringkasnya, saya ingin menjadi seperti bapa, tidak pernah menunjukkan kasih sayangnya secara terang-terangan, tetapi lebih suka mencurahkannya menerusi penghargaan dan layanan istimewanya pada kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment