Tuesday, June 16, 2009

Bapa Wira Keluarga!

JIKA dengan ibu, biar harta melimpah ruah tidak mungkin dapat membayar harga setitik susu yang bertanggungjawab membentuk kita menjadi insan berguna. Tetapi, bersama ayah, biar dihidang dengan selautan kemewahan tetap takkan sepadan dengan harga setitis keringat yang dikorbankan. Ia umpama paling indah dan bermakna. Bayangkan kali pertama bapa menuntun langkah hidupmu, mengajar kamu untuk lebih kuat mendepani cabaran mendatang.


Andai kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa. Sekalipun sumbangan ibu amat penting, tetapi tugas dan jasa seorang bapa juga tidak harus diperkecilkan kerana mereka turut bersengkang mata menjaga serta berhempas pulas mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak.

Sama seperti hari ibu, sambutan hari bapa bermula di Amerika Syarikat (AS) dengan ideanya dicetuskan oleh seorang wanita, Sonora Dodd dari daerah Spokane. Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan membesarkan enam anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil. Hari bapa yang pertama disambut pada 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran Smart sendiri.

Bapa Penasihat Terbaik
Ibu berfungsi lebih sebagai pemujuk dan menjadi tempat paling selamat untuk berkongsi perasaan dan masalah. Namun bapa pula, sebenarnya merupakan sumber rujukan paling sesuai. Lantaran, secara biologikalnya mereka lebih praktikal dan sukar dilambung emosi, bapa amat sesuai untuk kamu kongsikan segala masalah berkaitan hidup. Sememangnya, seorang ayah yang baik, takkan membiarkan anak-anaknya hanyut.

Lupakan bapa jenis `haruan makan anak' atau gemar menyerahkan segala tanggungjawab mencari rezeki kepada pihak lain. Alihkan pandangan kepada jenis ketua keluarga yang mulia hati dan sanggup menjadi `bapa' kepada anak-anak lain. Seorang bapa yang baik akan mendisiplinkan anak-anaknya.

Membuka minda dan seterusnya menyedarkan anak-anaknya tentang erti hidup yang sebenarnya. Bapa sebeginilah yang seharusnya dijadikan contoh teladan. Pengorbanan daripada bapa seperti ini adalah cerminan kasih seorang ayah ibarat laut tidak bertepi.

Bapa Mencurahkan Kasih Tidak Bersyarat
Dalam banyak-banyak cinta, hanya satu cinta paling suci tanpa bersyarat. Kasih orang tua yang bisa menerima kamu seadanya. Biarpun sering kali kamu menyakiti mereka, tetap juga mereka menyayangi dan menerima kamu seadanya. Itu adalah bukti kasih sayang sebenar seorang bapa. Hidupnya hanya untuk isteri dan anak-anak tanpa pernah meminta balasan.


Bapa Membekalkan Kebaikan
Kasih bapa sememangnya sepanjang masa. Hanya kerna fizikalnya yang kasar dan keras, perasaan mereka adakalanya disalahertikan oleh anak-anak. Sekalipun sumbangan ibu amat penting, tetapi tugas dan jasa seorang bapa juga tidak harus diperkecilkan kerana mereka turut bersengkang mata menjaga serta berhempas pulas mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak.

Lantaran, kemajuan dan percambahan gejala sosial yang semakin parah di kalangan anak-anak remaja, memaksa kebanyakan orang tua terutama bapa bertindak lebih tegas, apatah lagi apabila menyentuh soal-soal moraliti dan disiplin diri. Oleh yang demikian, semenjak kecil anak-anak sudah di asuh untuk menyegani bapa dan perasaan itu akhirnya terbawa-bawa sehingga anak-anak itu dewasa.

Tanpa Bapa Siapakah Kamu?
Sememangnya mengingati dan mengenang jasa ibu atau bapa tidak sepatutnya terhad dalam bulan atau hari-hari tertentu sahaja. Malah ia dianjurkan supaya ibu dilakukan sepanjang masa dan sepanjang hayat mereka.

Menghargai mereka bukan bermakna perlu menyediakan hadiah yang mahal-mahal atau besar-besar! Tetapi lebih bermakna seandainya kamu bisa menghargai mereka menerusi curahan kasih sayang dari tutur bicara, perhatian dan layanan seperti mana yang pernah mereka lakukan untuk kita suatu waktu dahulu malah ia sebenarnya masih berterusan sehingga kini.

Ibu bertanggungjawab menyusu, membelai, memberi kasih sayang dan mendidik kita sehinggalah kita cukup dewasa untuk berdikari. Pada masa yang sama, bapa juga berkewajipan memastikan kebajikan kita terjaga, makan minum mencukupi, pakaian lengkap, tempat tinggal tersedia dan segala keperluan pendidikan terjamin sempurna.
Lantaran itu, dengan kata lain, kejayaan yang kita kecapi hari ini banyak dibantu oleh jasa dan pengorbanan ibu bapa. Tanpa mereka, siapalah kita.

No comments:

Post a Comment