Saturday, June 20, 2009

Suria Fm Rai Media

GAMAT. Itulah gambaran ringkas tentang suasana di majlis penghargaan media anjuran stesen radio popular, Suria FM baru-baru ini. Ternyata kehadiran Puteri Hang Li Po sebagai pengacara pada petang itu berjaya menyempurnakan tanggungjawabnya dengan baik.

Menurut Ketua pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, majlis tersebut merupakan antara usaha untuk menghargai pihak media cetak dan elektronik yang banyak memberikan sokongan di dalam setiap majlis yang dianjurkan oleh Suria FM yang mula beroperasi sejak 30 disember 2005. Malah turut berjanji ia akan menjadi acara tahunan mereka.

"Kami memang sudah merancang untuk adakan acara ini setiap tahun sebagai tanda penghargaan kami terhadap pihak media yang sentiasa menyokong stesen radio ini.


"Ini adalah cara kami untuk menghargai pihak media. Di dalam majlis seumpama ini, kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan malah ia mampu menjadi medan pertemuan di antara pihak media, selebriti dan juga penyampai radio," katanya.

Mengulas tentang prestasi stesen radio itu, menurut Emran buat masa ini, Suria FM sentiasa menyusun strategi tersendiri untuk meningkatkan lagi prestasi stesen radio itu, antaranya ialah penganjuran kuiz dan kempen untuk para pendengar.




"Ketika ini, kami sedang menjalankan kuiz Senyum & Menang bersama Tuah dan Zizi. Sebuah lagi kuiz yang bakal menyusul selepas ini ialah Lagu Berduit," katanya tentang projek terbaru Suria FM.

Ditanya mengapa Suria FM seolah-olah dilihat memberikan 'pendedahan' yang lebih terhadap dua DJ program pagi breakfast@suria, Tuah dan Zizi untuk sebarang program, kata Emran, stesen radio itu sebenarnya tidak pernah mengamalkan polisi 'anak emas'.

"Pendukung tulang belakang mana-mana stesen radio ialah promosi, muzik dan program pagi mereka. Begitu juga dengan Suria FM. Bukan sebab kita menganggap mereka adalah anak emas atau sebagainya, tetapi menerusi kajian kami sendiri, memang segmen di waktu pagi meraih jumlah pendengar yang ramai.

Sementara itu, pelbagai publisiti serta cerita positif yang diberikan oleh pihak media membantu stesen radio itu memperkukuhkan namanya. Oleh sebab itu untuk menghargai pihak media, stesen radio yang mula beroperasi sejak 30 Disember 2005 itu telah menganjurkan malam media baru-baru ini.


Nubhan pembuka tirai majlis ...

Kehadiran selebriti-selebriti hangat seperti Noryn Aziz, Ramlah Ram, Azharina Azhar, Jay Jay, Siti Sarah, Stacy, Nubhan, Aizat, Farah Af2, Dafi dan ramai lagi selain turut dimeriahkan dengan kehadiran penyampai radio Suria FM seperti Tuah, Zizi, Naim, Bob, Zaff, Akhtar dan Lin, ternayata turut memeriahkan lagi acara itu.

Ternyata, persembahan Stacy yang sentiasa bertenaga berjaya menyepikan seketika dewan dengan lagunya “Pakai Buang”. Tidak kurang hebat juga Aizat yang mendendangkan lagu “Kau Aku”.Liyana Jasmay yang sebelum ini hanya dikenali sebagai pelakon remaja berbakat turut menghangatkan pentas dengan lagu “Tak Percaya Cinta” sejurus selepas persembahan Nubhan yang menyanyikan lagu barunya, “Seadanya Aku” sebagai pembuka tirai majlis.

Noryn Aziz yang sentiasa tampil menawan dalam majlis dihadirinya juga tidak menghampakan dengan alunan vokal mantapnya. Dia yang bakal mengadakan persembahan Di Istana Budaya itu ternyata sentiasa hebat.

Dafi juga tidak kurang hangatnya ketika menyanyikan lagu “Seumur Hidup” diikuti oleh Ramlah Ram yang sempat memperkenalkan lagu barunya. Fazli Zainal cukup mendayu ketika menyanyikan lagu “Kalbu” manakala Siti Sarah sangat bertenaga ketika mendendangkan lagu “Malis Cinta”.

Aril AF7 tidak ketinggalan beraksi dengan menyanyikan lagu “Terima Kasih Cinta” yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh penyanyi dari seberang, Afgan dan diikuti oleh Azharina Azhar yang menyampaikan lagu barunya, “Rasa”.

Ameng Spring yang telah lama tidak muncul berjaya menarik perhatian ramai ketika menyanyikan lagu popularnya “Bougainvilla”. Seluruh dewan yang sudah sekian lama merindui vokalnya, menyanyi bersama-sama Ameng.Sebagai penutup, Hafiz AF7 menghangatkan pentas dengan lagu “Masih Jelas”.

Foto: Yati

No comments:

Post a Comment