Tuesday, June 9, 2009

Kempen Derma Buku Di Jom Heboh Danga Bay

SETELAH berjaya menganjurkan pertandingan tarik tali terbesar yang melibatkan 1,000 orang peserta, kini TV3 kembali dengan acara yang tidak kurang hebatnya iaitu program menderma buku dan bahan bacaan terpakai di Karnival Jom Heboh, Teluk Danga, Johor Bahru, 30 dan 31 Mei lepas.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Pn Nurul Aini Abu Bakar berkata, ”Karnival Jom Heboh kali ini lebih istimewa kerana selain daripada berekreasi dan beriadah bersama keluarga, pengunjung-pengunjung Karnival Jom Heboh turut berkesempatan menderma demi kebajikan.


Cuma kali ini, para pengunjung bukan sahaja berpeluang menyalurkan bantuan untuk Tabung Bersamamu tetapi satu kelainan unik, TV3 juga mengambil inisiatif tambahan untuk mengumpul sebanyak mungkin buku dan bahan bacaan sumbangan orang ramai yang bakal didermakan kepada mereka yang memerlukan seperti rumah-rumah anak yatim, sekolah-sekolah termasuklah pusat tadika selain daripada individu yang disenarai pilih. Alhamdullillah, sambutan yang kami terima amat memberangsangkan dan kami akan meneruskan kempen menderma buku ini ke lokasi-lokasi Jom Heboh yang lain”

“Proses pengagihan akan dijalankan melalui projek TV3 Kids Reading Room di mana pihak kami akan mengunjungi sekolah-sekolah, rumah anak yatim dan tadika untuk menjalankan pelbagai aktiviti dan permainan sambil menderma buku. Jadi, bagi menjayakan kempen berlandaskan kemasyarakatan ini, penyertaan daripada orang ramai amatlah dialu-alukan. Kepada mereka yang ingin menyertai kempen ini, mereka hanya perlu membawa buku atau bahan bacaan terpakai yang masih di dalam keadaan baik dan boleh digunakan untuk dikumpulkan semasa berlangsungnya acara Karnival Jom Heboh pada hujung minggu ini.”


”Bertujuan untuk memupuk semangat suka membaca di kalangan kanak-kanak khasnya dan seluruh rakyat Malaysia, penganjuran kempen derma buku ini juga boleh dilihat sebagai satu platform positif yang menyediakan peluang untuk orang ramai berkongsi buku dan bahan bacaan melalui sumbangan buku-buku terpakai daripada para pengunjung Karnival Jom Heboh di Johor,” tambah beliau.

Kempen menderma buku ini akan dijalankan selama dua hari (Sabtu dan Ahad) dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam berpusat di gerai TV3 Kids.

Masih berkonsepkan ’Rekreasi dan Riadah’ khusus untuk seisi keluarga, Karnival Jom Heboh kali ke-4 untuk tahun ini turut menekankan kepentingan tabiat ’bijak berbelanja’ selaras dengan promosi jualan barangan keluaran tempatan besar-besaran di karnival kali ini. Di Karnival ini, pengunjung berpeluang mendapatkan barangan buatan Malaysia dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran selari dengan konsep agar pengunjung berbelanja dengan lebih berhemah.


Karnival yang sudahpun menjangkau usia 7 tahun penganjurannya ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu karnival ulung TV3 yang berjaya menggabungkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan dengan perbagai aktiviti sihat untuk seisi keluarga. Pelbagai aktiviti dan acara menarik telah disusun sepanjang 2 hari Karnival di Teluk Danga ini. Khusus bagi kanak-kanak, Mini Explorace Kids dan sambutan hari lahir turut diadakan di gerai TV3 Kids. Tidak ketinggalan, pelbagai aktiviti dan permainan turut diatur oleh gerai-gerai Aksi, TV3 Inspirasi Wanita, Kota Ilmu dan MyTV3.

Selain mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan, pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dengan artis-artis dan personaliti terkenal tanah air yang turut memeriahkan Karnival. Antaranya termasuklah Almy Nadia, Kanchana Dewi, Fizzo Omar, Erry Putra, Sharifah Shahora, Kamal Adli, Fizz Fairuz, Iqram Dinzly, Eira Syazira dan ramai lagi. Barisan personaliti TV3 yang turut turun padang termasuklah Siti Hasffiza, Nurul Syuhada, Sasha Basir, Teh Syuhaida, Maria Tunku Sabri, Ally Iskandar, Aidid Marcello, Tabah Sazwan, Irin Putri Azmi, Ahmad Fedtri Yahya dan Azliyanti.

Karnival Jom Heboh di Teluk Danga ini turut mendapat kunjungan istimewa dari Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Othman yang turut meninjau suasana di tapak Karnival Jom Heboh. Turut hadir ialah dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Berhad, Dato’ Amrin Hj Awaluddin.

Sebelum menutup tirai, acara kemuncak yang sememangnya dinanti-nantikan oleh para pengunjung di lokasi mahupun di rumah, Konsert Jom Heboh, turut disiarkan secara langsung pada Ahad jam 9.00 malam hingga 10.30 malam. Tapak konsert di Teluk Danga sudah pastinya lebih gamat dengan dengan persembahan hebat daripada barisan artis terkenal seperti Hattan, Jamal Abdillah, Yuna, Alyah, Tomok OIAM dan Kumpulan Grey Sky Morning.

No comments:

Post a Comment