Namun, menyepi tidak bermakna Ella hanya menongkat dagu tanpa memikirkan buah tangan untuk peminat-peminat yang selama ini begitu setia menyokong sehingga dia mampu memegang peranan sebagai ratu rock negara selama lebih dua dekad.
Terbaru, buat pertama kalinya Ella kembali dengan sebuah album kompilasi paling komprehensif Ella - The Greatest Hits yang menggabungkan koleksi lagu-lagu terbaiknya bersama Warner Music dan EMI Records.
" Secara jujurnya, Ella - The greatest Hits adalah album yang paling Ella dambakan selama ini.
semua lagu-lagu yang terkandung di dalamnya adalah pilihan Ella sendiri yang begitu bermakna sekali sepanjang 25 tahun Ella berada di persada seni hiburan tanahair.
"pendek kata, ia adalah ekspresi diri Ella yang sebenar dan Alhamdulilah, Ella amat bersyukur kerana dapat memberikan apa yang Ella sendiri mahu persembahkan untuk peminat-peminat.
Sesungguhnya, Ella hari ini bukan sekadar seorang ratu di arena muzik rock Malaysia, malah tidak keterlaluan untuk melayakkan dia memegang gelaran Ikon Rock Negara yang tiada galang gantinya sehingga saat ini.
Sememangnya tidak mudah untuk Ella menerima penghormatan seperti itu. Pastinya, ia perlu diiringi ketabahan serta kematangan demi melewati arus perubahan selari dengan selera peminat-peminatnya dan kata Ella ia bisa ditemui lewat kebanyakan lirik di dalam album terbarunya itu.
Ella - The Greatest Hits memperkenalkan tiga buah lagu baru yang tidak kurang memukaunya, iaitu Puisi Hamba, Jiwa Setia dan Mencari, ciptaan Amir, seorang komposer baru yang turut dipilih sendiri oleh Ella.
" Sebenarnya, sebelum ini peluang memang terbuka kepada sesiapa saja yang ingin menjadi komposer untuk lagu-lagu baru Ella. Tetapi, pemilihan Amir sebenarnya adalah berdasarkan chemistry yang wujud antara kami ketika bekerja selain persamaan idea dan ciptaannya yang sesuai dengan diri Ella, ujarnya lagi.
Selain tiga buah lagu baru, dimuatkan juga 29 buah lagu hebat Ella yang bertaraf lagenda antaranya, Layar Impian, Rama-Rama, Dua Insan Bercinta, Menanti, Standing In The eyes Of The World dan banyak lagi.
No comments:
Post a Comment