Wednesday, June 24, 2009

Rock bersama Dayang @ Hard Rock Cafe!

ACAP tahun sejak 2003, Dayang Nurfaizah tidak pernah melupakan peminat-peminat kala meraikan hari kelahirannya. Tahun ini, situasi yang sama akan berulang kembali apabila Dayang sekali lagi merancang untuk menyambut kehadiran hari lahirnya yang ke - 28 di Hard Rock Cafe, 19 Julai ini bermula jam 11 malam.

pastinya, kemunculan Dayang kali ini akan tetap memukaukan peminat-peminatnya dengan kelainan persembahan yang sengaja dirahsiakan demi membuat kejutan pada malam tersebut. Apatah lagi istimewanya tahun ini genap 10 tahun Dayang berjuang di dalam dunia muzik tanahair. Itu memberi makna lebih mendalam untuk Dayang secara personal.

Selain itu, persembahan ini juga melambangkan pertunjukan pertama Dayang di Hard Rock Cafe, lokasi paling strategik yang turut menjadi pemangkin kepada arena muzik bertaraf dunia. Pada malam tersebut, Dayang juga akan mendendangkan lagu-lagu popular artis tempatan dan antarabangsa yang memberi makna mendalam buat penyanyi berkulit hitam manis ini.

Tidak ketinggalan, koleksi lagu-lagunya yang terdahulu selain akan memperkenalkan single terbarunya buat kali pertama dari album ketujuhnya, Dayang Live. Pada malam itu juga, peminat-peminat bisa membuat permintaan lagu untuk didendangkan oleh artis kesayangan mereka itu.

Malam itu, persembahan Dayang akan turut diiringi oleh pemuzik-pemuzik tersohor negara di bawah pimpinan Jenny Chin, Pengarah Muzik Terkenal Malaysia. Malam itu juga koleksi barang-barang jenama Dayang akan dijual dan hasilnya akan disalurkan kepada insan-insan memerlukan di bawah naungan dana Dayang Sayang Kamu.
DIVA...Dayang sentiasa menjanjikan kelainan dalam setiap persembahannya...

Peminat-peminat Dayang juga boleh membeli novel luka yang disertakan dengan cakera padat tunggal dan juga album Dayang Live. Bagi peminat-peminat Dayang, dapatkan tiket berharga RM40 termasuk satu minuman. Sebarang pertanyaan, hubungi Hard Rock Cafe di talian 03 - 27155555.

No comments:

Post a Comment