Monday, May 11, 2009

Adakah Cintamu Berdasarkan Ukuran Badan?

‘Size does matter…!’ Namun, bagi sesetengah individu, saiz badan merupakan kriteria yang dititikberatkan. Ada yang sanggup ‘ikat perut’ untuk mendapatkan bentuk dan saiz badan yang menarik. Bentuk dan saiz badan juga memainkan peranan dalam kehidupan seharian seseorang.

Ia juga mempengaruhi keyakinan seseorang. Sesetengah orang merasa rendah diri dan kurang berkeyakinan dengan bentuk dan saiz badan mereka. Oleh itu mereka sanggup melakukan apa sahaja sehingga sanggup memperdayakan orang lain kerana malu dengan bentuk dan saiz badan sendiri. Itulah yang terjadi kepada Ozi, seorang lelaki yang bersaiz besar dalam drama bersiri “Kasanova XXL” yang bakal menemui penonton TV3 tidak lama lagi.

“Kasanova XXL” bakal menemui penonton setiap Selasa, jam 11.00malam mulai 13 Januari 2008 menggantikan siri “Dendam”. Drama bersiri 13 episod ini merupakan hasil buah tangan dari Dato’ Shuhaimi Baba selaku penerbit dari Pesona Pictures Sdn. Bhd. Skrip siri ini ditulis oleh Niba dan telah digarap sempurna oleh pengarahnya, Ibrahim Elias. Kedua-dua Niba dan Ibrahim pernah menulis skrip dan mengarah untuk siri seram ‘Pontianak’. Kali ini mereka berganding bahu sekali lagi dalam siri yang berbeza genrenya iaitu komedi romantik pula. Drama ini mengetengahkan tema kasih sayang dan cinta yang tidak mengenal sempadan untuk menerima seseorang itu seadanya.


Siri ini menampilkan pelakon baru Shaheizy Sam yang membawa watak Ozi (Osman Halim), seorang pemuda berbadan gemuk yang gemar berbual di laman internet dengan menggunakan nama samaran ‘Wira Internet’. Dia mempunyai seorang abang bernama Aman yang dilakonkan oleh Rusdi Ramli.
Emelda Rosmila juga turut membintangi siri ini dengan memegang watak sebagai Larra Sue yang sering berbual dengan Ozi di laman internet dengan menggunakan nama samaran ‘Merpati Blu’. Siri ini juga turut dibintangi oleh Nanu Baharuddin yang membawa watak Kiki, kekasih Aman yang berusaha menolong Ozi menurunkan berat badan. Tidak ketinggalan, Nadia Mustafa yang membawa watak Mila Vanilla, gadis yang menggilai ‘Wira Internet’ dan menyangkakan Amanlah orangnya.


Siri ini berkisarkan mengenai Ozi, seorang pemuda yang mempunyai berat badan 350 paun dan malas berdiet tapi bijak. Tanpa pengetahuan abangnya, Aman, dia telah mengguna gambar abangnya, Aman sebagai mewakili dirinya di Internet. Bila ada gadis internet yang mahu berjumpa dengannya, dia akan terus memutuskannya. Ini telah menimbulkan berbagai masalah. Aman juga bergaduh dengan teman wanitanya, Kiki, apabila seorang gadis internet bernama Milla Vanilla menyangka Aman adalah Ozi.
Ozi yang menggunakan nama samaran ‘Wira Internet’ gemar berbual dengan Larra yang dikenali sebagai ‘Merpati Blu’ lalu jatuh cinta padanya. Apabila identiti sebenarnya terbongkar, Larra mula bertindak menjauhkan diri darinya. Dengan itu, Ozi berazam untuk menurunkan berat badan dan memenangi semula hati Larra. Dengan bantuan abangnya Aman dan kekasihnya, Kiki, mereka memulakan misi menguruskan badan Ozi dengan slogan ‘Mikuzi – Misi Kuruskan Ozi’. Berjayakah mereka dengan misi tersebut dan dapatkah Ozi menambat semula hati Larra?
Untuk kesudahannya, pastikan kamu tidak ketinggalan menyaksikan siri ini mulai 13 Januari 2008, setiap Selasa, jam 11.00malam hanya di TV3!

No comments:

Post a Comment