SEMULAJADINYA, kamu punya hak dan prioriti tersendiri untuk memilih sesiapa sahaja teman yang kamu rasakan sesuai dan serasi dengan dirimu. Tetapi dalam pada kesibukan dan keasyikan membina persahabatan, pernahkah kamu terfikir apakah ganjaran yang bisa diperolehi dari ikatan itu? Membina persahabatan tidaklah semudah yang di sangka-sangka. Ia boleh dianggap ibarat proses kehidupan semula jadi yang memerlukan waktu untuk memupuknya.
Membina Ikatan Bermanfaat
Kebiasaannya rakan sekerja boleh menjadi individu tempat kamu untuk meminta sebarang pendapat atau maklum balas tentang apa sahaja. Bagi sesetengah gadis pula, pejabat adalah sebahagian daripada kawasan kejiranan mereka. Malah jika kamu tidak mempunyai keluarga berdekatan, rakan sekerja kamu boleh juga dijadikan sebagai pengganti keluarga. Mereka juga boleh membantu kamu melakukan kerja dengan lebih baik kerana wujudnya daya saing di antara satu sama lain.
Jebakan Teman Berbahaya
Kalau kenalan sosial mungkin boleh dielak. Tetapi jika mereka di kalangan teman sejawat sedia mengintai kesalahanmu untuk menjadi bahan gossip. Mungkin mustahil untuk menghindarinya. Biar pun kamu seorang yang benar-benar prihatin dan sentiasa berjaga-jaga! Kamu juga harus ingat bahawa tidak semua rakan sekerja itu jujur. Memandangkan ada kalanya mereka ini boleh diibaratkan gunting dalam lipatan yang hanya pandai bermuka-muka sahaja bila di hadapan. Jadi kamu perlu lebih bijak memilih siapa yang patut kamu dekati.
Keseimbangan Persahabatan
Bagaimana untuk mencari keseimbangan? Kamu harus ingat bahawa kamu tidak perlu melabur seluruh kehidupan dan emosi kamu hanya di pejabat. Malah kamu tidak perlu risau jikalau kamu turut mempunyai rakan diluar pejabat dan secara semulajadi kamu hanya dapat bersama rakan sekerja dalam sekitar 9 hingga 8 jam sahaja. Cuma ada satu cara sahaja untuk mengetahui jika rakan kamu itu adalah seorang kawan yang benar-benar kawan. Iaitu adakah kamu mempunyai sesuatu untuk diperkatakan atau dikongsikan walaupun selepas habis waktu kerja. Barangkali kamu dan rakan setuju untuk menikmati juadah makan malam diluar bersama.
Membina Kepercayaan
Setiap persahabatan perlu ada teras kepercayaan. Perhubungan yang tidak berlandaskan kepada perkongsian itu pasti tidak akan kekal lama. Biasanya kamu secara automatik akan sedia memahami sama ada mereka sesuai sebagai teman rapat atau sebaliknya setelah beberapa kali berkongsi cerita dan pengalaman bersama. Ingat, membina kepercayaan terhadap seseorang itu bukanlah semudah di sangka.
Aspek Penting Ikatan
Sebuah persahabatan yang terbina, perlu ada kecenderungan tertentu yang perlu diambil kira dan diamalkan demi menjamin ia mampu berkekalan. Sekiranya antara kamu tidak mengamalkan perkara-perkara tersebut, maka sebuah persahabatan itu tidak bisa lengkap dan percayalah, ikatan itu tidakkan lama. Sikap mencemburui teman juga merupakan penyakit berbahaya yang boleh menggugat keharmonian dan kelancaran perjalanan perhubungan itu. Jadi, ada baiknya kamu tangkis ia jauh dari hidupmu itu.
No comments:
Post a Comment