Masa kamu banyak dihabiskan berdua, pasti hidupmu kucar-kacir awalnya kan? Jika dulu bangun pagi aktiviti kamu bebas, tapi kini kamu terpaksa menyusun jadual untuk berdua. Kebebasan juga semakin terhad dan kamu perlu berfikir dua kali untuk melakukan apa-apapun demi menjaga hati si dia.
Memang susahkan! Namun, jika kamu tahu erti sebenar kehidupan ini yang serba sederhana maka hidup kamu akan menjadi lebih bermakna. Jadi apakah kunci sebenarnya dalam mencari kebahagiaan itu? Carilah ia menerusi diri kamu terlebih dahulu.
Apa yang perlu kamu tahu?
Perhubungan yang berjalan lancar adalah kunci utama untuk mendapat sebuah ketenangan. Jadi bagaimana pula untuk memperolehi dan menikmati sebuah perhubungan yang baik? Paling penting adalah kepercayaan antara satu sama lain.
Sememangnya bukan mudah untuk mempertaruhkan kepercayaan pada orang lain, walaupun adakalanya orang itu terlalu rapat dan intim denganmu, namun adakalanya perasaan cemburu dan iri hati membuatkan kamu berasa ia satu kejanggalan yang bukan dibuat-buat.
Menurut Joel Block menerusi tulisannya di dalam buku bertajuk Broken Promisses, sekiranya seseorang itu gagal memiliki kepercayaan terhadap orang di sekelilingnya terutama sekali pasangannya maka individu itu sudah pun membuka jalan bagi sebuah perhubungan yang gagal.
Mempercayai Satu Taruhan Besar
Namun, tahukah kamu meletakkan kepercayaan kepada orang lain sebenarnya ibarat satu pertaruhan hidup amat besar. Jika gagal, kesannya pasti menyakitkan. Tetapi jika berjaya, satu hubungan harmoni dan bahagia pasti terbina sehingga ke akhir hayatmu.
Kepercayaan bermakna kebebasan. Di mana kamu bebas untuk berkomunikasi, berkongsi apa saja malah tempat berpaut kala ditimpa masalah. Sekiranya kamu sudah mula mempercayai seseorang, tidak akan timbul lagi soal rahsia bocor.
Pengalaman lalu telah membuatkan seseorang itu begitu cepat menjadi pasif dan amat berhati-hati. Malah, mereka ini akan lebih mudah dilukai berulang kali. Namun, apabila jujur, orang lain juga akan mudah meletakkan kepercayaan terhadap dirimu. Jadi, tunjukkan sikap positifmu agar mereka menghormati kamu, misalnya dengan beberapa cara dibawah:
Mulakan langkah kamu dengan berkongsi sedikit demi sedikit perihal diri dengan mereka. Mulakan dengan perkara paling asas, misalnya latar belakang dan pengalaman lalu yang pernah menjadi rahsia kamu.
Elakkan Si Dia Berprasangka
Usah sesekali terlibat dengan sebarang sesi bergosip atau mengumpat. Biarpun teman kamu juga berada di dalam kumpulan tersebut. Ini untuk mengelakkan dia berprasangka yang kamu juga bersikap talam dua muka.
Di awal perhubungan, tidak semua perkara mampu dikongsi bersama teman atau pasangan. Di sini kamu boleh lihat bagaimana reaksi si dia dalam menerima rahsia kamu itu. Setiap insan sudah tentu mempunyai sensitiviti tersendiri yang mampu menafsir erti di sebalik penerimaan mereka itu. Selain itu, usah terburu-buru menerima dan mendesak pasangan kamu bercerita soal rahsianya.
Sebaik-baiknya kamu juga tidak harus terburu-buru mempercayai, tetapi dalam pada itu juga usah terlalu cepat cemburu dan berprasangka terutama terhadap insan yang menyintai dan menyayangi kamu.
Utamakan Naluri
Di dalam sebuah ikatan, kepercayaan amat diperlukan bagi memastikan ikatan kalian berdua akan berkekalan dan berjalan lancar. Bagi mengatasi kekusutan di dalam sebuah perhubungan yang terbina, pastikan dahulu beberapa kriteria, antaranya:
Sesetengah individu begitu mementingkan naluri hati mereka. Naluri hati biasanya mampu membantu mereka mengesan sesuatu situasi dan memberi jalan untuk mereka membuat keputusan. Apabila ia melibatkan sebarang perubahan dan rasa tidak telus di kalangan orang yang berada disekeling kamu jadikan ia sebagai satu cabaran dan bukannya halangan.
Sebaiknya, buatlah penilaian yang didasari oleh pemerhatian kamu bukannya sangkaan rambang yang sengaja kamu ada-adakan. Jika kamu mula senang dengan kehadiran si dia di dalam hidup kamu teruskan berkongsi cerita tentang minat dan impian kamu di dalam hidup. Hubungan akan berjalan dengan lancar secara sendirinya jika kamu saling memiliki keserasiannya.
No comments:
Post a Comment