Friday, May 22, 2009

Strategi Jitu Mengubah Nasib!

PERNAHKAH kamu berasa nasib sering tidak menyebelahi? Sekuat daya kamu berusaha hanya kegagalan yang sering menghampiri. Ya! Adakalanya hidup memang begitu. Jika kamu berasa seluruh hidupmu terbelenggu sehingga hilang semangat dan kekuatan untuk lebih berusaha. Kenal pasti halangannya dan segeralah keluar dari kemelut yang hanya mematikan semangatmu semata-mata. Ayuh! Inilah saat-saatnya untuk mengubah nasib!


Terus Berharap
Percayalah bahawa setiap orang yang dilahirkan di dunia ini telah dibekalkan dengan potensi untuk mengubah atau memperbaiki nasib diri. Tetapi masalah akan wujud apabila seseorang itu mula tidak pasti apakah sebenarnya yang diinginkan di dalam hidup dan sejauh manakah pula kesungguhan dan ketahanan dirinya untuk memperbaiki nasib diri. Kamu perlu sedar, apa saja yang di hajati tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa ada usaha yang adakalanya perlu berganda-ganda. Jika hanya sekadar merenungi dan menyesali nasib diri yang kurang baik pastinya takkan memberi apa-apa hasil dan perubahan yang positif. Begitu juga dengan hanya terus mengadu dan berharap dengan impian keadaan akan berubah, mungkin hanya akan menambah rasa frustasimu sendiri.

Terus Menuding Jari
Percaya atau tidak, setiap perkara buruk yang berlaku pada dirimu sebenarnya sedikit sebanyak berpunca daripada kesilapan diri sendiri. Itu adalah hakikatnya. Biar pun kebanyakan daripada kamu gemar menuding jari kepada orang lain acap kali masalah menerpa. Namun, percayalah segala masalah itu takkan selesai jika kamu sering bersikap lepas tangan seperti itu. Malah, langsung tiada kebaikannya. Seperti kata pepatah, “kebiasaan menentukan sifat, sifat menentukan karakter, karakter pula bertanggungjawab menentukan nasib”. Mungkin saja nasib buruk yang kamu alami itu sebenarnya bertitik tolak daripada sikap kamu yang malas, keras kepala, tidak jujur, mudah tersinggung dan tiada ketelusan terhadap orang lain. Jadi, kamu tiada pilihan selain terus kekal jujur pada orang lain dan diri sendiri.

Terus Mengeluh
Acap kali apabila masalah menyelubungi, pasti hanya keluhan yang keluar dari mulut kita. Tetapi kamu peerlu ingat, sedalam dan sehebat mana pun masalah itu, kamu perlu tahu paling penting yang seharusnya dipersoalkan pada diri adalah bukan ‘Mengapa nasibku seburuk ini? tetapi, “Apa yang perlu aku lakukan untuk memperbaiki nasib diri? Belajar untuk tidak menyesali dan berterusan dihantui oleh masalah yang sudah terjadi. Tetapi, ambil inisiatif untuk memikirkan tindakan yang lebih efektif untuk melakukan lebih baik selepas itu. Jangan mencari kambing hitam untuk disalahkan sebagai penyebab nasib burukmu. Tak ada gunanya menyalahkan situasi dan orang lain kerana semuanya bersumber dari dalam diri sendiri.

Inilah Masanya Untuk Bertindak!
Apa Perlu Kamu Lakukan?



Kenalpasti Punca
Pertama, kenali dengan jelas nasib buruk yang sering melanda kamu. Sebetulnya, kamu perlu mengkaji terlebih dahulu, punca yang menyebabkan kamu sering kali di landa masalah bertimpa-timpa. Mungkin agak klise apabila kamu acap kali diserang masalah serupa. Mungkin kesilapannya ada di mana-mana. Misalnya, mungkin selama ini prestasi belajarmu tidak menentu dan usahamu untuk lebih berprestasi sering kali gagal. Apa kata, mulai sekarang belajarlah untuk melupakan “nasib buruk” yang sentiasa memasung hidupmu, hingga membuat kamu berasa terbelenggu dan tidak bebas mengekspresikan diri.

Senaraikan Langkah Penyelesaian
Kemudian, senaraikan apa saja langkah terbaik yang perlu kamu lakukan. Mulai dari langkah yang paling mudah yang bisa segera kamu lakukan. Misalnya meminta pandangan daripada orang yang kamu percayai, mengisi kesibukan dengan berolah raga, atau melakukan hal-hal positif untuk melupakan sejenak luka hati yang membalutimu dan sebagainya. Apabila sudah melewati fasa ini, tingkatkan kepada fasa yang lebih sulit dan penting. Bina tekad untuk mula bertindak memperbaiki semua kekurangan sedaya upayamu.

Minta Bantuan
Sementara kamu berusaha untuk mengubah nasib dengan berbagai upaya yang telah direncanakan, namun berpeganglah dan tetap fokus pada tujuan akhir. Usah sesekali membiarkan kekecewaan merosakkan tujuan dan tekad yang kamu bina. Perubahan yang bakal terjadi sebenarnya bergantung kepada keseriusan perjuangan dan semangatmu. Mintalah bantuan sahabat, keluarga atau sesiapa pun yang kamu percaya untuk memantau perkembanganmu dan memotivasi kamu untuk terus maju. Elakkan daripada berasa takut untuk bersikap terbuka kepada orang-orang yang bisa membantu kamu.

No comments:

Post a Comment