Tuesday, May 12, 2009

Halitosis Musuh dalam Selimut

SUDAH menjadi kelaziman, remaja sentiasa aktif dengan aktiviti sosial setiap hari. Pasti kamu juga tidak terlepas dari melaluinya setiap hari bukan? Ini semua memerlukan kamu berdepan dan berkomunikasi dengan teman-teman, guru, pensyarah malah ketua di tempat kerjamu!

Tidak perlu bimbang dengan gaya penampilan. Remaja seperti kamu hari ini sememangnya up to date dan sentiasa peka dengan aliran fesyen berpakaian. Tetapi bagaimana pula dengan kebersihan diri?

Mungkin pertanyaan ini lebih cenderung sekiranya kamu adalah remaja lelaki. Bagaimana pula dengan bau mulutmu? Adakah kamu sedar kebersihan mulut sebenarnya lebih utama berbanding perkara lain, jika tidak usah salahkan orang lain jika mereka semua menjauhkan diri bila terlihat saja kelibatmu!

Bayangkan kamu mungkin tergolong diantara remaja bertuah yang memiliki segala-galanya bijak, cantik/kacak dan pandai bergaya. Akan tetapi, segala-galanya musnah sebaik saja kamu mula membuka bicara.

Tidak seperti masalah kesihatan atau kecantikan lain, nafas berbau ibarat 'musuh' dalam selimut, merosakkan imej kamu secara senyap. Memang sukar mengesan bau nafas sendiri. Petanda awal yang boleh kamu teladani hanya apabila apabila kamu mula dijauhi teman-teman atau menjadi bahan gosip.

Penyebab Halitosis

"Mulut yang sihat senyuman pasti menawan!"

Bakteria
Bakteria antara punca utama bau nafas.Menurut pakar pergigian, punca utama merebaknya bakteria mulut atau lebih dikenali sebagai anaerobic adalah kegagalan menggosok gigi setiap hari.

Apabila kamu malas menggosok gigi dan membersihkan mulut terutamanya sebelum tidur, bakteria tersebut akan membiak di dalam mulut dengan memakan sisa protein makanan yang melekat di celah gigi dan gusi. Bagi memudahkan penghadaman, makhluk halus ini melarutkan sisa protein dengan gas volatile sulfur compounds (VSCs). Bau gas ini sangat busuk dan meloyakan.

Biarpun pembiakan bakteria ini sangat pantas, tetapi pada masa yang sama ia juga mudah mati seandainya terdedah kepada oksigen. Jadi, untuk pengetahuan kamu, bakteria ini amat gemar berselindung di kawasan tersembunyi seperti di bawah lidah dan di celah-celah gigi yang jauh ke dalam rongga mulut.

Apabila sarangnya yang berlapis-lapis daripada lendir dan cecair sisa makanan yang kamu makan itu terhasil, secara tidak langsung proses ini akan menyebabkan gas VSCs terhasil dan impaknya akan membuatkan nafas dan mulut kamu akan mengeluarkan bau gas tersebut. Ngerinya…

Kebergantungan pada ubat-ubatan
Kebergantungan kamu dengan ubat-ubatan mungkin juga adalah penyebab lain mengapa mulut kamu berbau. Ini berlaku akibat daripada kandungan dadah di di dalam ubat-ubatan tersebut. Apabila kamu bergantung kepada ubat setiap hari, ia kan mengakibatkan penghasilan air liur berkurangan ketika tidur, akibatnya mulutmu akan kering dan nafas berbau setiap pagi.

Program menguruskan badan
Adakah kamu sedang dalam program menguruskan badan? Jika ya, mungkin itu antara penyebab mengapa mulut kamu berbau. Jika biasanya ketika kamu mengunyah makanan, pengeluaran air liur meningkat. Tetapi jika kamu berdiet dan berpuasa makan bermakna air liur kamu akan kurang dirembeskan dan seterusnya menyebabkan bau nafas. Selain itu perubahan hormon terutama menjelang haid juga menyebabkan masalah ini berlaku.

Pemakanan seharian
Kamu peminat bawang putih, kubis, bawang dan brokoli? Kalau betul bermakna kamu seharusnya tidak terkecuali dari senarai mereka yang bermasalah mulut berbau. Jadi makan usah sebarang makan dik…kerana makanan yang tersenarai di atas mengandungi sulfur yang akan menyerap ke dalam darah menerusi perut dan kemudiannya ia akan ke paru-paru dan dilepaskan kala kamu bernafas. Punca lain adalah penyakit sinusitis atau resdung yang kamu hidapi juga penyumbang besar pada masalah ini.

Cara mengesan masalah
Cara paling mudah yang sering penulis gunakan adalah dengan menekup kedua-dua belah tapak tangan pada mulut dan menghembus nafas, ataupun sesetengah orang pula akan mencium benang selepas mencuci celah gigi.

Tetapi mungkin kaedah ini agak kurang berkesan hasilnya. Cara terbaik ialah menggunakan alat khas pengukur bau nafas. Ia berfungsi dengan cara mengukur jumlah pengeluaran gas sulfur melalui pernafasan hidung atau mulut. la cepat dan tepat. Maklumat dapat diperolehi dalam tempoh seminit.

Biasanya, pakar pergigianlah yang akan menggunakan alat ini untuk mengukur seteruk mana masalah nafas kamu. Tiada bahan kimia atau ubat sampingan diperlukan ketika menggunakan alat ini.

Lakukan sendiri…kamu pasti boleh!

1.Gosoklah gigimu setiap hari. Fikirkan masalah besar yang mungkin akan menyerang kamu jika kamu gagal lakukan biarpun sehari.

2.Biasakan dirimu mencuba ubat kumur yang disyorkan doktor atau beli di farmasi. Jika tidak mahu menggunakan selalu. Cukuplah sehari sekali iaitu sebelum tidur.

3.Pastikan kamu minum air yang banyak setiap hari. Selain itu, kurangkan pengambilan air manis dan berkafein.

4.Amalkan memberus gigi selepas makan makanan pepejal seperti daging, susu atau ikan. Ini untuk mengelakkan lebihan yang melekat dicelah gigi.

5.Kunyah gula-gula getah. Terutama kalau kamu berasa kering mulut. Ini akan melancarkan penghasilan air liur.

6.Amalkan diri untuk menikmati sayuran berserat yang segar dan hijau

7.Elakkan merokok atau mengambil minuman beralkohol

8.Kunjungi doktor gigi selalu. Paling tidak enam bulan sekali.

No comments:

Post a Comment