Thursday, May 14, 2009

Pengorbanan vs Impian Ellyas

IRONINYA sebuah kehidupan! Persis sebatang lilin menyala yang menerangi dunia, biarpun perlu membakar dan mencairkan diri sendiri. Klisenya, klausa itu membayangkan betapa agungnya usaha seorang insan demi mencari jejak-jejak kejayaan dan sememangnya itulah investasi untuk menikmati sebuah kebahagiaan. Mustahilkah sebuah kehidupan tanpa pengorbanan?



Tidak Perlu Berkorban Jika Punya Pilihan - Ellyas


PENGORBANAN? Tidak semestinya perlu lantaran insan sentiasa saja diberi banyak pilihan. Itu kata anak muda kelahiran Kuala Lumpur ini apabila diasak mindanya tentang soal pengorbanan dan harapan.

Malah bagi Ellyas, 27, dia turut mengakui sentiasa cuba menyogokkan diri untuk tidak menggunakan istilah pengorbanan lantaran percaya untuk menghirup madu kejayaan tidak semestinya perlu melepaskan perkara-perkara tertentu yang terbentang didepan mata. “ Sememangnya, kebanyakan orang beranggapan, bagi mengecapi kejayaan perlu ada pengorbanan.
" Secara individu, saya percaya, kebahagiaan masih boleh dikecapi tanpa perlu ada pengorbanan. Sekiranya setiap insan lebih bertoleransi, memikirkan orang lain lebih dari diri sendiri, pasti kita semua mampu meraih bahagia.
“ Tetapi, semua itu bergantung pada individu itu sendiri dan yang pastinya, setiap masalah tentu ada jalan penyelesaian dan setiap insan punya pilihan. Paling penting sejauhmana cara kita menggunakan kerasionalan diri untuk menentukan keputusan," bicaranya lagi kala memulakan perbincangan kami.

Malah, ternyata rezeki anak bujang Abdullah ini semakin murah, apatah lagi tidak dinafikan aura bakat terpendamnya itu hanya menunggu masa untuk digilap agar tidak menyirna begitu saja.

“ Setiap orang pastinya punya sejarah silam yang bisa dijadikan sandaran untuk membina kejayaan. Apatah lagi, hidup saya hari ini benar-benar berbeza berbanding sebelum ini.
Usaha Cipta Mimpi
“ Seperti orang lain, saya juga punya masa yang terhad untuk melakukan banyak perkara. Terpaksa belajar untuk membahagikan masa dan tenaga demi memenuhi setiap kepentingan dalam hidup.

"Saya sememangnya orang yang menggemari aktiviti mencabar seperti mengembara lantaran bisa memperolehi sesuatu yang baru. Dengan kerjaya seperti ini, saya belajar yang masa harus digunakan sepenuhnya untuk memenuhi setiap sudut sekiranya mahu berjaya dan gembira.

“ Memang pada awalnya saya terpaksa mengurangkan aktiviti personal lantaran tuntutan jadual kerja yang tidak menentu. Namun sekarang ini, alhamdullillah, saya sudah mula memahami rentak perjalanan kerjaya ini dan alhamdulilah sudah bisa mengadaptasi semuanya dan hampir berjaya mengekalkan kehidupan yang saya pernah miliki sebelum saya menceburi industri seni.

“ Kini saya sedari peri pentingnya usaha untuk mencipta mimpi. Sementelah lagi, saya masih baru di dalam industri ini, terlalu banyak yang harus dipelajari dalam mengharungi liku-liku hidup bergelar selebriti,” ujar anak muda berbintang Virgo ini lagi.

Justeru, bagi Ellyas tidak mudah menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelapis dalam industri serba mencabar ini, pastinya ia menuntut usaha yang bukan sedikit. Dan seperti orang lain, dia turut menyimpan aspirasi sendiri untuk mencipta kejayaan yang boleh dibanggakan semua.

Elak Sesali Keputusan
“ Saya cuba melatih diri agar tidak mudah menyesali apapun keputusan yang telah diambil. Namun sebagai orang biasa, saya juga tidak lepas daripada memikirkan kemungkinan kiranya berlaku kesilapan dalam membuat pilihan.

"Biarpun saya seorang risk-taker, dan tidak gemar mengambil serius terhadap sesuatu masalah lantaran baginya kehidupan ini terlalu singkat untuk diambil serius semua perkara. “ Buatlah keputusan, dan terima segala kemungkinan yang berlaku. Jangan terlalu memikirkan sama ada tindakan yang dibuat itu betul atau sebaliknya, sukar untuk memuaskan hati semua orang, lebih-lebih lagi diri sendiri.

“ Pendek kata, sememangnya saya sudah bersedia untuk mendepani ujian getir bergelar anak seni. Kehidupan ini saya sendiri yang pilih, jadi, sakit, perih atau letih sekalipun saya perlu berani dan bersemangat untuk menghadapinya biarpun terpaksa membuat pengorbanan yang bukan sedikit.

“ Ia terlalu subjektif. Namun, pengorbanan itu wajib dilakukan apabila ia bisa menyumbangkan kebaikan meskipun bermakna diri akan kehilangan dan kecewa. Realitinya, untuk memulakan sesuatu, banyak yang harus dilepaskan, atau sekurang-kurangnya bisa ditangguhkan.

“ Namun, awas! Usah bersikap tamak dan berhasrat memiliki semuanya pada satu masa, lantaran bila-bila saja kelapangan pasti diri bisa kembali dan mengejar semula impian yang terbantut seketika. Kerana itu saya percaya seseorang itu tidak semestinya perlu berkorban, tetapi lebih afdal seandainya dapat menyusun prioriti dan keutamaan terhadap sesuatu kehendak yang didamkan.

“ Alhamdulilah, saya begitu bersyukur, malah setakat ini kebolehan saya untuk mengadaptasikan diri dengan pelbagai keadaan begitu banyak membantu. Dan itu sudah cukup membahagiakan, terang jejaka peramah ini lagi.

Walaupun begitu, menurut Ellyas lagi, dia tidak pernah sesekali menyesali terhadap jalan yang dirintisnya. Apatah lagi, apabila terpaksa berkongsi privasi hidup dengan orang lain setelah bergelar dan dikenali ramai.

Pengalaman Setahun Jagung Jadi Sandaran
“ Memang saat pertama kali terasa kekok terpaksa berkongsi privasi. Tetapi, hakikatnya ini adalah realiti dunia seni. Penuh dengan dugaan dan ranjau cabaran. Jadi, seringkali saya cuba membuatkan diri ini percaya serta jelas terhadap logikal serta buruk baik tindakan yang akan diambil terhadap diri dan orang lain. Jadi dengan cara itu, saya akan lega dan tidak terbeban di kemudian hari,” ujarnya.

Luah Ellyas, dia punya mimpi untuk menyumbangkan keringat serta bakatnya kepada industri seni tanahair biarpun sebagai seorang yang tidak pernah didedahkan dengan aktiviti lakonan sebelum ini, dia terpaksa membiasakan diri berlakon sebaik mungkin dengan hanya bersandarkan pengalaman setahun jagung.
“ Mujurlah tunjuk ajar pelakon –pelakon senior yang berpengalaman banyak membantu. Saya begitu bertuah dan beruntung kerana diberi kepercayaan untuk melakonkan watak berbeza berbanding diri saya yang sebenar. Namun, cabaran tersebut bukanlah mudah untuk disambut.

“ Apapun, yang sentiasa saya pahatkan di dalam diri adalah berusaha sesungguhnya untuk yang terbaik selain menghadapinya dengan fikiran positif dan tenang, terang Ellyas yang mula popular menerusi Siri Dunia Baru ini lagi.

Berbicara soal perjalanan kariernya, kata Ellyas, dia menceburi dunia lakonan sekadar kebetulan apabila dihampiri oleh seorang talent scout, ketika menemani seorang teman ke audition sebuah rancangan realiti, malah ketika itu dia langsung tidak pernah memasang impian dapat menongkah kejayaan sebagai pelakon seperti hari ini.

“ ketika itu, mereka menyarankan saya agar mencuba nasib untuk iklan komersil. Selama hampir 2 tahun, saya mula berjinak-jinak dengan penggambaran iklan komersil. Tidak lama selepas itu, saya dihubungi pula oleh wakil TV3 setelah melihat gambar saya menerusi sebuah majalah ketika dicalonkan sebagai salah seorang 'FEMALE's 50 Most Gorgeous People of 2004'.

“ Dari situ, saya disarankan pula untuk mencuba nasib dalam pencarian pelakon baru bagi sebuah drama bersiri remaja "Dunia Baru". Bermula dari situlah saya belajar untuk berlakon tanpa sebarang pendedahan awal. Alhamdullillah, ternyata saya amat bersyukur dengan anugerah ini.

“ Saya berharap dapat menjadi buah hati penonton suatu hari nanti dan seterusnya bisa diberi kepercayaan melakukan sesuatu yang jauh lebih hebat dari peluang yang bisa direbut hari ini. Di samping itu, dalam mengejar impian, saya amat berharap agar dapat mengekalkan jati diri dan tidak akan di ganggu-gugat dengan anasir-anasir yang mampu melumpuhkan karier,” ujar Ellyas lagi yang kini ternyata semakin bersinar pentas lakonan.

Kenali Elyas
Nama Penuh: Wan Ellyas Wan Abdullah
Nama Komersil: Ellyas Abdullah
Tarikh Lahir: 7 September1981
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak bongsu dari 4 beradik
Pendidikan: SPM
Kerjaya: Pelakon & Pengacara
3 Gambaran Diri: Lincah, Pendiam, Risk-taker
Tabiat Buruk: Menangguhkan kerja
Prinsip Hidup: "Cuba segala-galanya walaupun sekali, dan cuba sedaya upaya yang termampu untuk berjaya"

No comments:

Post a Comment