Tuesday, May 12, 2009

Bagaimana Menjadi Sahabat Sejati

MEMAINKAN peranan sebagai seorang sahabat bukanlah satu kemahiran yang datang secara tiba-tiba. Ia adalah satu proses latihan praktikal yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Ia bukanlah mudah seperti yang disangka. Berikut adalah lapan cara bagaimana menjadi seorang sahabat yang baik.

Sayangkan Diri Sendiri
Langkah pertama dalam menjalinkan persahabatan ialah dengan mempunyai perhubungan yang baik dengan diri kamu sendiri. Apabila kamu benar-benar telah menyukai diri sendiri, personaliti kamu akan kelihatan lebih menarik di mata orang lain.

Kamu juga memiliki lebih banyak perkara yang boleh ditawarkan kepada orang lain memandangkan kamu tidak hanya menumpukan kepada imej dan reputasi diri sendiri. Apatah lagi, Kamu menjadi sahabat baik kerana keupayaanmu untuk tidak bergantung kepada orang lain.

Kamu mempunyai keyakinan yang cukup untuk meluangkan masa bersama kawan-kawan memandangkan kamu sendiri mahu melakukannya, bukannya kerana kita perlu melakukannya.
Perjalanan hidup yang panjang menyebabkan kamu perlu mengambil waktu untuk memahami diri sendiri. Praktikkan sedikit demi sedikit ke dalam kehidupan seharianmu.

Pilih Dengan Bijak
Perhubungan di antara teman-teman rapat memerlukan kamu meluangkan banyak masa dan tenaga, dua sumber yang biasanya agak terhad bagi kebanyakan dari kamu.

Kenal pasti teman yang ingin kamu jalinkan keintiman dalam perhubungan. Tidak mengapa jika tidak semua teman yang termasuk di dalam senarai sahabat karibmu. Keakraban persahabatan adalah lebih penting daripada jumlah sahabat yang ada.
"Kepingin teman sejati? Layanlah orang lain sepertimana layanan yang kamu harapkan dari mereka!"

Luangkan Masa
Sahabat adalah penting dalam banyak perkara, hinggakan kadang-kala hubungan persahabatan itu seakan-akan memiliki nyawanya sendiri. Kamu bertanggungjawab terhadap diri kamu dan juga terhadap rakan-rakan kamu untuk menghidupkan perhubungan ini. Carilah masa yang berkualiti untuk diluangkan bersama.

Ambil Langkah Pertama
Inilah masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan dari kita. Sekiranya kamu berhasrat untuk memperbaiki perhubungan, ketepikan perasaan bimbang dan takut pada penolakan dan mulalah bersedia untuk mengambil risiko. Jemput teman-temanmu untuk makan tengahari. Anjurkan satu permainan secara berkumpulan. Jemput mereka makan malam di rumahmu.

Seringkali, kita gagal membuat susulan dengan teman-teman. Usah biarkan dirimu ketinggalan dan dan hubungilah mereka selalu. Teman-temanmu sudah pasti akan berasa gembira apabila bertemu denganmu.


Peraturan Penting
Layanlah sahabat-sahabatmu sebagaimana kamu mahu mereka melayanmu. Dengan kata lain: “Untuk mempunyai sahabat, jadilah seorang sahabat.”
Beri lebih tumpuan kepada apa yang menarik, bukannya menjadi menarik. Jadilah seorang teman yang bersemangat dan bertenaga. Jauhkan dari mengadu-domba, mengumpat serta mengkritik.

Ambil Perhatian Perkara Kecil
Buat rakan-rakan anda rasa diri mereka penting dengan mengingati perkara-perkara kecil. Tegurlah potongan rambut barunya. Tanya mengenai pembedahan ibu mertuanya. Hantar jambangan bunga atau e-mel ringkas apabila dia memerlukannya.

Jadi Pendengar Yang Baik
Sememangnya teman yang mampu menjadi seorang pendengar yang baik amat sukar ditemui. Lantaran itu, perbaikilah kemahiran mendengarmu. Berikut adalah beberapa panduan:

Bersikap lebih penyabar dan usah sesekali cuba menghabiskan ayat temanmu. Jika kamu sedang menantikan respon ketika temanmu berbicara sekali pun, beri peringatan kepada dirimu agar menumpukan perhatian kepada teman yang sedang bercakap.

Tunjukkan kepadanya bahawa kamu sedang mendengar. Pandang matanya semasa dia bercakap. Anggukkan kepala dan beri respon kecil untuk menandakan bahawa kamu memahami apa yang dia maksudkan, dan kurangkan membuat gangguan.

Ajukan soalan dan berhati-hatilah kala mengeluarkan kata-kata berunsur nasihat. Andaikan temanmu hanya berhasrat mahu meluahkan perasaannya, dan bukan meminta pendapatmu. Elakkan berkata, “apa yang perlu kamu lakukan…” Beri pendapat hanya apabila diminta dan hanya jika kamu percaya pendapat kamu dapat membantunya.

Setia
Setiap dari kita memerlukan seseorang untuk sentiasa menyokong dan berada di belakang kita. Jika seseorang mengumpat atau mengkritik rakanmu di belakangnya, pertahankannya kerana sudah pasti dia juga akan melakukan perkara yang sama apabila itu berlaku kepadamu.

No comments:

Post a Comment