Friday, May 22, 2009

Zati & Si Mawas Kisah Beauty and The Beast Melayu

KEINDAHAN luaran atau dalaman, yang mana agaknya menjadi pilihanmu? Itulah persoalan yang cuba dikupas menerusi siri “Zati & Si Mawas” yang disiarkan melalui slot Lagenda yang bakal menemui penonton. Siri yang menggantikan “Merah Puteh” ini diadaptasi dari kisah animasi dongeng versi Inggeris, “Beauty and The Beast” yang pernah menggegarkan industri perfileman antarabangsa sedikit masa dahulu.


Ia berkisarkan mengenai penilaian dari segi rupa paras atau luaran dan sumpahan ke atas seorang putera. Tetapi pernahkah kamu mendengar kisah sebegitu berlaku kepada pelajar kolej di zaman moden ini? Itulah kelainan yang bakal ditonton oleh penonton TV3.

Bersiaran sebanyak 20 episod siri “Zati & Si Mawas” ini telah pun menemui penonton TV3 setiap Isnin hingga Khamis pada jam 4.30 petang . Siri ini merupakan hasil buah tangan dan kreativiti pengarah terkenal dan berpengalaman Ahmad Idham yang sebelum ini terkenal dengan drama berunsur aksi dan seram.


Kali ini, pengarah muda itu beralih arah kepada siri dongeng yang bertemakan cinta remaja, kekeluargaan dan fantasi. Diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn Bhd, siri “Zati & Si Mawas” ini dibintangi oleh barisan pelakon baru yang berbakat iaitu Lyana Jasmay, Kamal Adli, Sharifah Shahora, Zarina AF, Ika AF, Cat Farish, Dian P.Ramlee, Ruminah Sidek, Enot, Hairee Othman, Den Wahab dan Farisha Ayu.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Pn Nurul Aini Abu Bakar berkata, “Siri “Zati & si Mawas” merupakan versi moden yang diadaptasi dari filem animasi Walt Disney dan dimodenkan bagi menepati citarasa penonton masa kini. Kami sekali lagi bekerjasama dengan Ahmad Idham kerana percaya dengan kesungguhan dan hasil kerja yang ditunjukkan oleh pengarah tersebut.

Drama arahannya sebelum ini, ‘Impak Maksima The Series’ ‘Ezora’ dan ‘Puaka Niang Rapik’ yang pernah disiarkan di TV3 telah mendapat sambutan yang amat membanggakan dan kali ini kami cuba untuk memberikan sesuatu yang baru melalui pengarah itu untuk disajikan kepada penonton kami.
Walaupun berunsurkan dari kisah dongeng, kami cuba menyuntik elemen-eleman yang segar dan pastinya bukan sahaja menghiburkan, malah ia memberi teladan dan pengajaran kepada semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda masa kini,”katanya.

Siri ini mengisahkan seorang gadis biasa bernama Zati (Lyana Jasmay) melalui kehidupan kolej yang juga seringkali dibuli oleh kakak-kakaknya, Rina (ika AF) dan Joey (Zarina). Selain itu, Zati ternyata tidak disukai oleh makciknya Aunty Anita (Sharifah Shahora) kerana dituduh menyebabkan kematian adiknya kerana melahirkan Zati.
Namun, kehidupan Zati mula berubah selepas dia berkenalan dengan seorang jejaka bernama Iskandar (Kamal Adli) di kolej. Persahabatan mereka dicemburui oleh kakak-kakaknya dan Zizi, kawan mereka yang turut bersubahat memperalatkan Iskandar untuk mengenakan Zati.

Di sinilah bermulanya transformasi Iskandar sebagai manusia yang berubah fizikalnya menjadi manusia mawas. Akan tetapi, Iskandar diselamatkan oleh pembantu peribadinya yang bernama Bagio (Cat Farish). Iskandar terpaksa ‘memulihkan’ dirinya dan dikurungkan di rumah. Iskandar dinasihatkan oleh bondanya untuk mencari cinta sejati bagi menamatkan sumpahannya itu.

Selain itu, terdapat konflik antara bapa Zati, Ehsan (Hairee Othman) dengan pakciknya, Uncle Ikbal (Den Wahab) gara-gara kerana kecemburuan tunangnya Cik Fara (Farisha Ayu). Mereka memutuskan percintaan lalu Ikbal bersatu dengan Anita yang juga menaruh perasaan terhadap Ehsan.

Suatu hari, mawas telah menyelamatkan Ehsan dari serangan orang jahat lalu telah memaksa Ehsan membuat perjanjian untuk mengahwinikan Zati dengan dirinya. Apakah cerita selanjutnya? Siapakah Iskandar sebenarnya dan apakah yang telah terjadi kepadanya sehingga dia berubah wajah?

Adakah Zati akan berkorban demi bapanya dan menerima seorang mawas sebagai suami? Mampukah Si Mawas mencari cinta sejati? Jangan lupa menyaksikan “Zati & Si Mawas” setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di TV3 dan 8.30malam di TV9.

No comments:

Post a Comment