Friday, May 29, 2009

Program Realiti Bijak Wang

KEMAHIRAN mengurus kewangan peribadi harus ada pada setiap pengguna. Pengguna yang bijak dan peka terhadap perbelanjaan seharian akan mendapat manafaatnya, apatah lagi semasa kegawatan ekonomi yang sedang kita alami sekarang.

Menyedari hakikat ini dan atas dasar tanggungjawab kepada penonton, TV3 mengorak langkah dengan menerbitkan program bual bicara, Bijak Wang yang membincangkan topik-topik berkaitan pengurusan kewangan peribadi. Ia sebagai platform untuk mendidik pengguna dan menambah ilmu pengetahuan mereka mengenai kewangan selain meningkatkan kesedaran kuasa pengguna.

Bijak Wang yang mendapat tajaan dari Maybank Berhad mula menemui penonton pada 23 Mei 2009, setiap Sabtu jam 7.00 malam. Program yang disiarkan secara langsung dari Studio B, Sri Pentas Bandar Utama diterbitkan oleh Primeworks Studios.

Program berinformatif ini dikendalikan oleh Nurin Mastura bersama personaliti yang berpengalaman di dalam bidang kewangan iaitu Azizi Ali, penulis buku ‘Millionaires are from a Different Planet’ yang juga merupakan seorang Perunding Kewangan bertauliah.

Antara topik-topik yang dibincangkan semasa siaran langsung Bijak Wang ke udarakan ialah mengenai wang simpanan, faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli rumah/kereta/hartanah, menguruskan perbelanjaan bulanan, pengurusan hutang dan pelaburan. Para penonton juga berkesempatan mendapatkan informasi dengan membuat panggilan ke studio

ketika siaran langsung disiarkan untuk mendapatkan tips dan nasihat pengurusan kewangan. Tetamu undangan bertauliah turut dijemput ke studio berdasarkan topik-topik perbincangan yang diutarakan setiap minggu.

Menurut penerbit Bijak Wang, Norlizah Yusoff, “Idea untuk menerbitkan program bual bicara berbentuk kewangan ini tercetus selaras dengan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.




Bijak Wang memberi tips dan informasi berguna kepada pengguna terutama mereka yang tidak mempunyai masa lapang untuk mendapatkan khidmat ini di bank-bank. Melalui Bijak Wang ia dapat menjawab pertanyaan pengguna menerusi panggilan telefon siaran langsung ke studio selain daripada penerangan yang diberikan oleh pengacara dan tetamu jemputan mengenai pelbagai topik yang dibicarakan setiap minggu. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai pengantara memudahkan lagi pengguna untuk mendapatkan pemahaman terutama sekali kepada penduduk luar bandar.”

Sidang produksi yang menjayakan Bijak Wang ialah Mazlin Nordin selaku Penerbit Eksekutif, Norlizah Yusoff, Penerbit, Nuraffenda Mohd Ibrahim, Penolong Penerbit/Wartawan dan Azli Aziz, Pembantu Penerbitan.

No comments:

Post a Comment