MUNGKIN dia bagaikan pucuk muda. Namun usah sekali-kali menjeling sebelah mata kepada gadis bernama Noorfaezah Elai, 27, ini. Apa tidak, lihat saja pada kehebatan lakonannya. Gadis kelahiran Pulau Pinang ini juga tidak kurang bergetah. Namun, tidak benar jika ada yang menganggap bisa getah yang ada pada anak dara Elai ini hanya pada pakej rupa yang dikurniakan kepadanya semata-mata.
Sesungguhnya, Faezah ternyata bertuah punya pakej lengkap bergelar seorang bintang dan kelebihan ini umpama platform yang bisa memuncakkan namanya. Hasilnya, hari ini gadis manis bergelar Faezah Elai, sudah mula bermain di bibir peminat-peminatnya.
SYUKURLAH masih bernafas. Masih ada upaya diri untuk menikmati keindahan pentas kehidupan yang pastinya tiada tara ini. Ya. Begitu pantas waktu berlalu pergi. Sesungguhnya inilah resam kehidupan, satu-satu anak tangga didaki, meninggalkan jejak-jejak memori semalam dengan iringan tekad serta iltizam untuk terus kuat mendepani gelombang hidup yang penuh cabaran.
Itu satu kemestian! Biarpun demi menggapainya, pasti ada yang jatuh terluka, namun langkah perjalanan masih tegar diteruskan. Esse sengaja mengajak seorang selebriti remaja berdiskusi tentang inspirasi dan impian tahun barunya. Jom ikuti cerita menarik pelakon remaja yang semakin hot ini.
Namun usah ada yang cuba menidakkan, kesempurnaan sesebuah kejayaan tanpa diduga ujian pancaroba dan getir cabaran, bukan kejayaan yang sebenarnya. Tetapi, kepasrahan yang bisa menjadi penguat semangat untuk terus bertahan terhadap pelbagai hujaman gosip serta tohmahan itulah kekuatan yang memberi kepuasan dan kejayaan yang sebenar. Lantaran itulah harga yang perlu dibayar untuk mencipta sebuah impian.
“ Benar, terlalu banyak dugaannya untuk bergelar anak seni. So many things happen that I cant forget, bad and sweet things. Kalaulah saya tidak kuat semangat, berjiwa rapuh serta mengambil hati terhadap segala gosip yang dilemparkan kepada saya sebelum ini, tentu saja saya akan kecewa.
Tetapi sebaliknya saya anggap semua itu sebagai satu pengajaran dan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Saya tidak pernah menyesal lantaran sentiasa sedar sejauh mana keupayaan serta kelemahan diri ini. Segalanya saya harungi penuh sabar, ujarnya lagi.
Melewati persoalan penghayatan sebuah impian dan azam, Faezah menganggap ianya hanya satu amalan. Sedangkan padanya, azam perlu disematkan setiap hari di dalam hati. Tidak hanya menunggu menjengahnya tahun baru setahun sekali.
Motivasi Diri Setiap Hari
“ Sememangnya, tiada keistimewaannya untuk saya. Ia juga sama seperti hari-hari biasa lain lantaran untuk berjaya, pastinya seseorang itu memerlukan motivasi serta kesedaran setiap hari. Sebaliknya, jika menunggu setahun sekali untuk diperbaharui pastinya azam itu takkan ke mana.
“ Itulah sebabnya saya hanya menyambut kehadiran tahun baru di rumah bersama keluarga. Lagipun, tidak mudah mencapai impian jika jiwa serta kudrat diri tidak kuat. Mungkin, jika ingin menganyam impian besar perlu dirancang sejak awal tahun. Jika tidak pastinya hidup akan tersasar kemudinya,” terangnya lagi.
Lewat usahanya meniti kejayaan di dalam dunia seni, gadis manis ini juga tidak pernah melupakan keluarga. Malah, mereka umpama nadi kekuatan kepadanya untuk terus melangkah melewati dunia penuh pancaroba ini. Malah, dirinya begitu yakin terhadap nawaitunya yang suci untuk mencari rezeki di bidang lakonan dan pengacaraan adalah segalanya.
Dan untuk tujuan itu, dia sudah berusaha untuk menyiapkan diri untuk teguh berdiri demi berjuang menghasilkan yang terbaik. Tidak sekadar untuk dirinya semata-mata, tetapi paling penting demi kebahagiaan keluarganya juga.
Keluarga Paling Utama
“ Mereka adalah keutamaan dan kecintaan saya. Saya begitu mementingkan maruah dan nama baik mereka, apa saja demi mereka saya sanggup berkorban. Jika ingin diikutkan, sememangnya sukar untuk menempuhi gosip. Tetapi saya percaya, untuk menikmati kemanisan madu, pahit hempedu perlu terlebih dahulu ditelan.
“ Mungkin selama ini, kekuatan yang ada di dalam diri semuanya datang daripada keluarga. Mereka adalah sumber inspirasi dan semangat saya untuk terus gagah menongkah gelombang di lautan kehidupan ini,” akuinya lagi.
Cerita Faezah lagi, perjalanan seninya mula mengharum sejak muncul di dalam filem Otai pada tahun 2006. Sejak itu rezekinya ternyata semakin murah apabila lamaran demi lamaran diterimanya.
“ Sememangnya, saya terlalu bersyukur dengan apa yang telah dianugerahkan Tuhan kepada saya. Sudah cukup membahagiakan. Selama ini mereka terlalu banyak mendorong saya untuk mengukir kejayaan. Tanpa mereka entahlah apa akan terjadi.
“ Walaupun diasak pelbagai kata nista dan hujaman gosip yang tidak berasas, untungnya saya punya keluarga yang sentiasa tidak jemu memberikan sokongan moral. Betapa saya terlalu bersyukur memiliki mereka yang begitu memahami dan mengerti ranjau perjalanan karier saya selama ini.
“ Kini azam saya hanya untuk melihat keluarga saya lebih bahagia dan impian mereka untuk membuka sebuah restoran akan berjaya. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang telah berlalu. Bagi saya, setiap apa yang berlaku, punya hikmahnya yang tersendiri. Itu rahsiaNya. Walau bagaimanapun sakitnya dugaan dan ujian yang dikurniakan kepada kita, hadapinya dengan tenang. We have to go thru bad things in order to success in life,nothing comes easy,” ceritanya lagi.
Kenali Faezah
Nama Penuh: Noorfaezah Elai
Nama Komersil: Faezah Elai
Tarikh Lahir: 16 Ogos 1982
Tempat Lahir: Pulau Pinang
Keluarga: 3 Beradik
Pendidikan: Diploma Rekaan Fesyen
3 Gambaran Diri: Tegas, Fokus,Penyayang
Prinsip Hidup: There is no need an explaination to people who love you coz they trust you and there is no need and explaination to people who hates you coz they wont trust you so whay waste time explaining?
Tabiat Buruk Sukar Dikikis: Goyang kaki
Kerjaya: Model, Pengacara, Pelakon
Thursday, May 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment